JAKARTA – Gunung Anak Krakatau di Jawa, Indonesia meletus dan mengeluarkan lava tidak lama selepas letusan Gunung Berapi Soputan di Sulawesi Utara dan bencana gempa bumi serta tsunami yang melanda Sulawesi Tengah, yang telah mengorbankan sekurang-kurangnnya 1,400 mangsa setakat ini.

Gunung Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda mengeluarkan lava dan abu ke udara pada 3 Oktober, menandakan Indonesia akan dilanda bencana alam sekali lagi.

Kredit : Sutopo_PN/ Twitter / Express UK

Gegaran dan letusan lava masih berterusan dan mengalir ke lautan. Letusan gunung berapi tersebut sentiasa dipantau, ketika negara sedang berdepan pasca-bencana gempa bumi dengan magnitud 7.5 skala richter dan tsunami yang melanda Sulawesi pada 28 September. Selain letusan Gunung Berapi Soputan yang terletak di Sulawesi Utara pada 3 Oktober, beberapa minit sebelum letusan Gunung Anak Krakatau.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) , Sutopo Purwo Nugroho dalam kenyataannya di halaman Twitter berkata, “Gunung Anak Krakatau meletus hampir setiap hari. Pada 2 Oktober 2018, sebanyak 156 letusan telah dicatatkan, mengeluarkan pasir dan abu, serta percikan dan aliran lava panas.”

Kredit : Sutopo_PN/ Twitter / Express UK

Sutopo menambah, “Keadaan gunung berapi berada dalam situasi selamat jika ia tidak didekati dan berada di luar jarak radius sejauh 2 kilometer dari kawah. Satu fenomena alam yang menarik perhatian pelancong kerana gunung berapi ini meletus di kawasan yang selamat.”

Indonesia terletak di jajaran Lingkaran Api Pasifik, dan negara ini terdedah kepada bencana gempa bumi, letusan gunung berapi dan tsunami paling buruk dan terkesan di dunia.

Kredit : Sinar Harian

Zon gunung berapi menempatkan kedudukan 452 gunung berapi dalam jajaran Lingkaran Api Pasifik, dengan Indonesia mencatatkan lokasi 127 gunung berapi aktif setakat tahun 2012.

Letusan Gunung Anak Krakatau tidak lama selepas letusan Gunung Berapi Soputan yang terletak di Kabupaten Minahasa, Wilayah Sulawesi Utara pada jam 8.47 pagi waktu Indonesia Timur. Letusan mengeluarkan abu gunung berapi setinggi 4,000 meter dengan kepulannya menghala barat laut. Namun, ia tidak menjejaskan aktiviti penduduk.

Kredit : REUTERS/Adwit B Pramono/ Antara Foto

Arahan dari BNPB dan pihak berkuasa telah dikeluarkan, dengan larangan kepada penduduk untuk tidak melakukan apa-apa kegiatan dalam lingkungan 4 kilometer dari Gunung Berapi Soputan.

Buat masa ini, BNPB bersama Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) di Indonesia sentiasa memantau perkembangan letusan Gunung Berapi Soputan dan Gunung Anak Krakatau.

Kredit : Getty Images / Express UK

Pada 28 September, Sulawesi Tengah dilanda gempa bumi berskala richter 7.5 dan tsunami yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,400 mangsa setakat ini, dengan angka kematian dijangka terus meningkat. Kemusnahan yang amat besar akibat tsunami telah menyebabkan penduduk yang berada di kawasan terjejas berada dalam keadaan tertekan berikutan bantuan kecemasan dari wilayah luar yang lewat tiba.

Kredit: TicToc/Facebook

Sumber : Express UK, Astro Awani, Tribun Batam, TicToc/Facebook

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds