PUCHONG – Negara dikejutkan dengan tragedi enam anggota bomba dan penyelamat yang lemas pada malam 3 Oktober semasa sedang menjalankan tugas dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang hilang di sebuah lombong tinggal di Taman Putra Perdana, Puchong.

Menurut New Straits Times dan Harian Metro, operasi menyelamat seorang remaja berusia 17 tahun, Mohd Ilham Fahmy telah dijalankan bermula jam 6.30 petang apabila pihak bomba menerima panggilan kecemasan akan kehilangan remaja itu yang dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam lombong berkenaan. Difahamkan Mohd Ilham dan dua orang rakannya telah pergi ke lombong tinggal tersebut untuk memancing.

Kredit : Facebook

Setelah tiba di tempat kejadian kira-kira jam 9.15 malam, enam orang anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba Pelabuhan Klang dan Shah Alam telah melakukan operasi menyelam ke dalam lombong berkenaan untuk mencari dan menyelamatkan mangsa.

Anggota pasukan PPDA melakukan operasi selaman dengan mengikat tali yang panjang di antara satu sama lain. Tali dihulurkan perlahan-lahan dari tebing ketika pihak penyelam merapatkan diri di tempat mangsa terjatuh. Secara tiba-tiba aliran arus air lombong yang kuat telah menarik seorang demi seorang anggota penyelamat ke dalam arus itu, menyebabkan peralatan menyelam mereka juga tertanggal dan dibawa arus.

Kredit : Facebook

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata beberapa anggota bomba dan penyelamat yang berada di tebing telah cuba sedaya upaya menyelamatkan enam penyelam yang sedang lemas di dalam lombong tersebut dengan menarik mereka keluar tetapi aliran arus itu sangat deras dan kuat.

Kredit : Facebook

Penyelam pertama telah berjaya dibawa keluar dari lombong tersebut 30 minit kemudian.

Asisten Komisioner Abdul Aziz berkata, “Apabila kesemuanya dibawa naik ke darat, keenam anggota penyelamat telah tidak sedarkan diri. Pasukan paramedik telah menjalankan bantuan pernafasan (CPR) selama 30 minit tetapi kesemua mangsa tidak memberikan apa-apa tindak balas dan kesemua mereka telah disahkan meninggal dunia.”

Anggota bomba dan penyelamat yang terkorban ialah :

  1. Mohd Fatah Hashim, 34 tahun
  2. Izatul Akma Wan Ibrahim, 32 tahun
  3. Mazlan Omarbaki, 25 tahun.
  4. Yahya Ali, 24 tahun.
  5. Adnan Othman, 33 tahun
  6. Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 tahun.

Kesemua enam jenazah anggota bomba telah dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

Kredit : Free Malaysia Today

Berita ini telah mengejutkan bapa remaja yang hilang, Mohd Azzam Naim, 46 tahun yang tidak menyangka operasi menyelamat ini telah bertukar menjadi tragedi yang lebih buruk dan menyayat hati.

Difahamkan, Mohd Azzam telah melarang anak lelakinya untuk pergi memancing ke lombong tersebut selepas dua orang telah ditemui lemas semasa sedang memancing dua bulan yang lalu. Tambahan kini adalah musim hujan dan arus air di lombong amat kuat dan deras.

Berita Harian melaporkan, mayat Muhammad Ilham Fahmy telah ditemui pada jam 5.45 petang, 4 Oktober, kira-kira 800 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

 

Sumber : Berita Harian, New Straits Times , Harian Metro , World of Buzz

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds