Forest City merupakan projek mega berkaitan pembangunan hartanah bernilai RM413.77 bilion, yang dibangunkan berdekatan Singapura kini berhadapan masalah dan ketidaktentuan apabila Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr.Mahathir Mohamad menyelar secara terbuka penjualan hartanah itu kepada pembeli dan pelabur warga asing.

Dengan ketidaktentuan pasaran hartanah yang semakin merosot di Malaysia, Tun Dr. Mahathir membuat kenyataan dalam satu sidang media pada 27 Ogos dengan berkata, “Satu perkara perlu dipastikan, satu bandar yang dibina di sini tidak boleh dijual kepada warga asing.”

 

Kredit : Roslan Rahman/AFP/Getty Images

Perdana Menteri Malaysia dengan pandangan mengalih ke belakang berkata ini bermakna warga asing tidak boleh dengan serta-merta memohon dan diberikan visa jangka masa panjang untuk menetap dengan membeli hartanah di Forest City.

Katanya, “Kita tidak akan memberikan visa kepada rakyat negara lain untuk datang dan menetap di sini.”

Tun Dr. Mahathir berkata lagi, “Dengan membeli hartanah tidak semestinya menjamin mereka mendapat hak pemastautin secara automatik di negara ini.”

Kenyataan Tun Dr. Mahathir telah membangkitkan kebimbangan kepada penduduk warga asing, pembeli dan penjual projek pembangunan Forest City yang merupakan pembinaan projek mega di atas empat pulau buatan tambakan laut yang berada di Iskandar Malaysia di Johor, iaitu lokasi satu jam perjalanan dari Singapura.

Projek kontroversi Forest City bernilai RM413.77 bilion pada mulanya telah diumumkan pelancarannya di bawah pelan koridor pembangunan Malaysia pada 2013. Projek ini telah dibangunkan oleh gergasi pelaburan hartanah Hong Kong, Country Garden Pacific View (CGPV) yang dimiliki Country Garden Holdings Co Ltd dengan kerjasama sebuah firma yang dimiliki oleh seorang Sultan di Malaysia.

Kredit : FMT

Forest City merupakan satu projek pembangunan hartanah bersifat futuristik mewah yang berpotensi menempatkan 700,000 penduduk apabila siap sepenuhnya pada tahun 2035 menurut rancangan yang meliputi kediaman mewah dalam taman, hotel, pusat membeli-belah, sekolah antarabangsa dan padang golf bertaraf lima bintang yang direka oleh legenda golf Amerika Syarikat, Jack Nicklaus.

Projek berkenaan yang dilancarkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri terdahulu, Datuk Seri Najib Razak menyasarkan kemasukan pelaburan dari negara asing, khususnya pelabur kaya dari negara China, menjadikan projek Forest City satu projek pembangunan hartanah bertaraf ‘lima bintang’. Projek mewah tersebut telah melonjakkan nilai hartanah kepada lebih dua kali ganda untuk warga Malaysia yang ingin membeli kediaman dan hartanah di kawasan tersebut.

Purata harga sebuah pangsapuri satu bilik yang ditawarkan kepada pembeli dilaporkan bernilai RM442,659.00. Sesuatu yang tidak mampu dibeli oleh warga tempatan.

Kebimbangan Tun Dr. Mahathir Mohamad

Kredit : Today Online

Pemimpin Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan tegas menentang projek Forest City yang bernilai ratusan bilion ringgit ini dengan membuat kenyataan, “Ia dibina untuk warga asing, bukan untuk rakyat Malaysia. Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu membeli pangsapuri itu.”

Tun Dr. Mahathir menyatakan kebimbangan bahawa projek Forest City tidak memberi faedah kepada rakyat Malaysia.

Dalam temubualnya bersama wartawan Malaysiakini dan Sinar Harian, Tun Dr. Mahathir bertanya, “Siapa yang menjadi pemilik di sini (dalam perniagaan dan pelaburan) : Rakyat Malaysia atau warga asing?  Warga asing banyak wang dan boleh membina bangunan yang cantik, tetapi kita di sini tinggal di rumah kayu dengan atap rumah yang sudah bocor.”

Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng juga menyatakan kebimbangan bahawa projek mega itu akan memberi kesan, “pembinaan bandar warga China yang terbesar di Malaysia.”

Pihak pengurusan CGPV dalam satu kenyataan kepada Washington Post mengakui yang projek itu menyasarkan pasaran dan pelaburan secara spesifik kepada warga China.

Seorang pegawai CGPV yang enggan namanya disiarkan berkata, “Amat jelas harga hartanah di Forest City adalah terlalu tinggi untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia, dan pihak kami secara spesifik telah melancarkan strategi pemasaran dengan menyasarkan pembeli dan pelabur warga China.”

Kredit : The Star

Ketua Pegawai Eksekutif Institut IRIS (Interdisciplinary Research & International Strategy), Syed Ahmad Israa’ berkata projek mega itu tidak dilihat sebagai ‘pembangunan sebenar’ kepada negara.

Menurut Syed Ahmad Israa’, “Ia adalah satu pelaburan yang akan menjana peluang pekerjaan baru atau meningkatkan tahap ekonomi nasional. Dan ia juga dilihat secara meluas sebagai satu pelaburan persendirian yang hanya menjana kekayaan kepada pelabur asing yang berpeluang memperolehi hak milik hartanah berhampiran Singapura.”

Forest City juga menjadi salah satu projek yang diteliti dan dikaji semula oleh kerajaan Malaysia apabila kebanyakan unit kediaman yang dibangunkan telah diberikan kepada warga China sebagai pertukaran pelaburan yang dilakukan di negara China oleh kerajaan China. Perkara ini telah didedahkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Azmin Ali.

Azmin Ali dalam kenyataannya di satu sidang media di Kuala Lumpur berkata, “Terdapat satu program khas di sana (China) di mana jika anda melaburkan sekian banyak wang tertentu di China, anda akan mendapat satu unit kediaman secara percuma di Forest City.”

Azmin Ali menegaskan, “Jadi, secara jelas, kita tidak akan membenarkan perkara ini berlaku.”

Langkah sekatan aliran keluar modal dari China juga telah menjejaskan permintaan hartanah berkenaan. Biro Statistik Kebangsaan China melaporkan nilai pelaburan aset tetap di negara itu sedang mengalami kemerosotan. China juga kini berdepan masalah pertikaian perdagangan dengan negara Amerika Syarikat.

Kepentingan rakyat Malaysia menjadi keutamaan

 

Kredit : The Star

Kenyataan Tun Dr. Mahathir mengenai projek Forest City telah dibuat beberapa hari selepas kerajaan Pakatan Harapan membatalkan dua projek mega berkaitan infrastruktur yang akan dibiayai kerajaan China iaitu projek berkaitan Inisiatif Belt and Road (OBOR), Laluan Rel Pantai Timur ( ECRL ) dan projek Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Projek mega yang telah ditandatangani di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu yang dipenuhi skandal rasuah dan salah guna kuasa Datuk Seri Najib Razak, telah dilihat sebagai menjual Malaysia kepada China.

Tun Dr. Mahathir mengambil pendirian tegas untuk menghentikan projek mega yang melibatkan pelaburan China bernilai RM91 bilion itu dengan berkata keutamaan dan kepentingan Malaysia kini ialah untuk mengurangkan bebanan hutang dan pinjaman negara.

Tindakan Tun Dr. Mahathir dalam membuat keputusan tersebut sebagai memberi jaminan dan penjelasan mengenai maksud sebenar pelaburan asing yang bukan hanya ditujukan kepada China.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temu bualnya bersama Bloomberg berkata, “Tun Dr. Mahathir mengambil inisiatif mengadakan lawatan ke China, bagi memastikan dan memberi jaminan kepada mereka akan hubungan bilateral, perdagangan, dan pelaburan dengan China sentiasa berjalan dengan baik dan diteruskan. Kami menerima hakikat bahawa negara mesti diselamatkan, dan kepentingan negara menjadi keutamaan.”

Keputusan Tun Dr. Mahathir membatalkan projek infrastruktur yang telah ditandatangani sebelum ini jelas untuk mengelak negara bergantung pembiayaan kewangan kepada negara China. Hutang Malaysia kini mencecah RM1 trilion.

Maklum balas pelabur asing

Kredit : Marsha Sawyer Peter / Shattuck -St.Mary’s Forest City International School

Ketua Pengajar Bahasa Inggeris di Sekolah Antarabangsa Shattuck-St.Mary di Forest City, Marsha Sawyer Peter memberitahu, terdapat kebimbangan di kalangan warga asing mengenai kenyataan Tun Dr. Mahathir berkenaan status pemastautin.

Katanya, “Saya berasa bimbang dengan masa depan pelajar yang belajar di sini berikutan pelbagai kenyataan yang dibuat. Saya juga berasa ia melibatkan kebimbangan banyak pihak.”

Marsha Sawyer menambah, “Para pelabur di sekolah kami telah melabur wang hampir RM1 bilion di sini. Sekiranya saya melaburkan wang sebanyak itu, saya berasa sangat bimbang.”

Setakat ini seramai 100 orang pelajar telah diterima memasuki sekolah antarabangsa tersebut, dengan yuran pendidikan yang diperuntukkan ialah sebanyak RM168,000 setahun. 80 peratus daripada pelajar di sekolah tersebut adalah warga China. Oleh kerana pelajar yang memasuki sekolah tersebut masih rendah kerana kapasiti sebenar kemasukan pelajar ialah beberapa ribu orang, sekolah tersebut menerima kemasukan pelajar secara berterusan.

Seorang warga Johor yang bekerja di Singapura bernama Robin Gan dan telah melabur di dalam hartanah Iskandar Malaysia berkata, apa yang diperkatakan oleh Tun Dr. Mahathir itu ada kebenarannya dan berasas kerana beliau mengakui nilai hartanah di Forest City adalah terlalu tinggi dan tidak mampu dibeli oleh rakyat Malaysia.

Katanya, “Pendapatan rakyat Malaysia tidak begitu tinggi, dan para pelabur asing pula akan membeli hartanah di sini sebagai rumah kedua, atau rumah hujung minggu. Tetapi saya merasakan kenyataan Tun Mahathir itu bersifat politik sebagai memenuhi janji pilihan raya.”

Dalam pilihan raya umum lalu yang dimenangi parti komponen Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir, antara janji kerajaan terkini itu ialah mengurangkan hutang yang membebankan negara.

Pelaburan asing di Malaysia mungkin menjadi satu halangan

Kredit : New Straits Times

Seorang profesor di Universiti Bath, United Kingdom, Jens Roehrich mempercayai bahawa melainkan para pelabur dan pembeli mendapat penjelasan secara pasti mengenai apa yang mereka harapkan dengan membeli hartanah di Forest City, pelabur asing akan merasakan pelaburan di Malaysia sebagai satu halangan apabila mendengar kenyataan tersebut.

Katanya, “Kini perlu satu kenyataan yang jelas mengenai apa yang boleh diharapkan dengan membuat pelaburan di Malaysia terutama di Forest City. Dengan ketidaktentuan, penukaran persekitaran parti politik yang memerintah dan sikap mereka terhadap pelaburan asing, akan hanya melemahkan kemahuan pelabur asing untuk melabur di dalam projek berskala tinggi di Malaysia.”

Tetapi Syed Ahmad Israa’ berpendapat Perdana Menteri Malaysia mungkin akan menukar pandangannya kerana kenyataan tersebut lebih berunsur politik yang ditujukan kepada Sultan Johor yang terbabit di dalam projek berkenaan. Katanya, “Tun Dr. Mahathir mungkin akan membuat pusingan-U berhubung kenyataannya berkaitan Forest City.”

Tun Dr. Mahathir dalam pendirian tegasnya berkata, beliau mengalu-alukan pelaburan asing yang ‘melibatkan pemindahan teknologi, memberikan peluang pekerjaan kepada warga tempatan dan meningkatkan sektor industri negara.’

Peraturan lebih ketat dalam pemberian visa bagi program ‘Malaysia Rumah Keduaku’?

Rakyat asing yang berada di Malaysia sebelum ini telah diberi kelonggaran di sisi undang-undang untuk membeli hartanah di Malaysia yang bernilai RM1 juta dan ke atas di Johor. Kini mereka mulai menyatakan kebimbangan akan kenyataan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia.

Menurut jurucakap bahagian pemasaran Country Garden, mereka membantu setiap pelanggan yang membeli hartanah di Forest City dengan memohon visa menetap untuk jangka masa panjang yang sah sehingga 10 tahun, melalui program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang disasarkan kepada warga asing yang kaya. Permohonan visa tersebut termasuk dalam syarat yuran tempahan dan pembelian.

MM2H telah diperkenalkan pada tahun 2002 semasa era terakhir Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri yang ke-4. Pada masa itu, Asia sedang pulih daripada mengalami krisis kewangan 1997-1998.

Kredit : Voice of Malaysia

Skim yang ditawarkan ini telah menarik minat pelabur asing yang berminat untuk menetap di Malaysia yang kebanyakannya adalah warga China. Kini mereka berdepan dengan undang-undang dan peraturan yang lebih ketat yang telah diumumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan terkini, Zuraida Kamaruddin sebagai langkah menangani kebanjiran pemilikan hartanah oleh warga asing.

Kerajaan Malaysia telah mengumumkan satu penubuhan jawatankuasa bagi menyemak semula syarat yang telah dipersetujui dalam menyediakan pembangunan dan pemilikan asing di Forest City. Langkah itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai cubaan pihak berkuasa untuk menghentikan projek berkenaan. Sehingga kini pihak yang terlibat dalam pembelian hartanah di Forest City masih belum jelas dengan cadangan jawatankuasa yang akan dikemukakan.

Pada masa ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia sedang mengkaji dan meneliti kemungkinan untuk memperkenalkan kuota pemilikan kepada warga tempatan dan peluang membeli hartanah pada harga yang lebih berpatutan di Forest City.

Menurut Zuraida Kamaruddin, “Buat masa ini, tumpuan utama kami berkenaan projek ini ialah polisi kerajaan terdahulu yang membenarkan 70 peratus pemilikan hartanah yang diberikan kepada warga asing.”

Zuraida menjelaskan, “Saya berasa isu ini perlu diteliti dan dikaji semula dalam memastikan hak dan kepentingan rakyat tempatan tidak akan diketepikan.”

Sumber : The Epoch Times

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds