MUMBAI – Lebih 30 penumpang penerbangan alami insiden pendarahan hidung dan telinga akibat kecuaian juruterbang yang terlupa untuk menghidupkan suis kawalan tekanan udara dalam kabin pada 20 September yang lalu.

Dilaporkan pesawat Jet Airways 9W 697 yang sedang membuat perjalanan dari Mumbai ke Jaipur itu terpaksa berpatah balik selepas keadaan menjadi tidak terkawal sekali gus mencetuskan panik.

Kredit: Khaleej Times

Pesawat yang membawa seramai 166 penumpang itu mendarat di lapangan terbang Mumbai dan terus diberikan rawatan serta pemeriksaan lanjut. Menurut laporan Khaleej Times, kesemua mangsa yang mengalami pendarahan segera dikejarkan ke hospital Mumbai dan mengambil masa sekitar 10 hari untuk sembuh.

Terdapat juga beberapa penumpang mengongsikan situasi cemas pada ketika itu menerusi Twitter yang menunjukkan bagaimana mereka perlu memakai topeng oksigen akibat kejadian berkenaan.

“Kebodohan di tahap tertinggi. Anda mempunyai satu tugas untuk dilakukan. Penumpang alami pendarahan pada hidung dan telinga disebabkan kru #JetAirways terlupa memasang suis tekanan udara untuk mengekalkan tekanan kabin. Penumpang dimasukkan ke hospital”

“Keadaan panik kerana kesilapan teknikal dalam @jetairways 9W 0697 dari Mumbai ke Jaipur. Kembali ke Mumbai selepas 45 minit. Semua penumpang selamat termasuk saya.”

Selepas kira-kira 45 minit berlepas, juruterbang mengambil keputusan untuk berpatah semula selepas ramai penumpang mengadu mengalami sakit telinga selain pendarahan pada hidung mereka.

Sementara itu, syarikat penerbangan Jet Airways telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa kesemua kru penerbangan telah digantung tugas buat sementara waktu sementara pihak berwajib menjalankan siasatan. Malah, pihak syarikat turut memohon maaf dan kesal kerana kejadian tersebut telah mengakibatkan ketidakselesaan terhadap para penumpang.

Satu lagi luahan kesal daripada salah seorang penumpang penerbangan Jet Airways, “Pesawat 9W 697 membuat pendaratan kecemasan di Mumbai. Pesawat hilang kawalan tekanan sejurus selepas berlepas… beberapa penumpang termasuk saya alami pendarahan hidung… tiada kakitangan cuba membantu… tiada pengumuman untuk memakai topeng oksigen dibuat. Keselamatan penumpang tidak diendahkan.”

Sekitar bulan Januari lalu, satu kejadian memalukan telah berlaku apabila dua juruterbang Jet Airways telah digantung tugas mereka gara-gara bertumbukan sesama sendiri dan bertindak keluar dari kokpit semasa sedang membuat perjalanan dari London ke Mumbai. Pesawat pada ketika itu dilaporkan sedang membawa seramai 324 penumpang.

Sumber: Harian MetroAstro Awani

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL VIDEO

Video Popular

Ad will display in 09 seconds