PETALING JAYA – Seorang pemuda berusia 22 tahun telah ditahan polis pada 11 September dengan tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita berusia 24 tahun di Subang Jaya. Masalahnya, pemuda ini berusia 22 tahun tetapi mempunyai kapasiti mental seperti seorang anak berusia 13 tahun kerana menghidap autisme. Dengan keadaannya itu, pemuda ini yang bernama Ahmad Ziqri Morsidi tidak memahami kesan perbuatannya dan mengapa dia telah ditahan oleh pihak polis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Mohammad Azlin Sadari mendakwa penahanan Ahmad Ziqri telah dilakukan menurut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Segala tindakan dan urusan dalam penyiasatan yang dijalankan adalah menurut undang-undang, selepas laporan polis telah dibuat oleh wanita tersebut dan  mengenal pasti suspek pada 11 September.

Kredit: Escabytes/Youtube

Ahmad Ziqri telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan ‘niat’ untuk mencabul kehormatan.

Perkataan ‘niat’ ditekankan di sini kerana pemuda berusia 22 tahun ini sememangnya seorang dewasa tetapi dia menghidap autisme, yang tidak memahami kesan dan akibat tindakannya melakukan kelakuan tersebut dan mengapa dia ditahan.

Dalam rakaman video, Ahmad Ziqri yang bergari dan memakai pakaian lokap telah dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk dibacakan pertuduhan. Ibunya dilihat sedang cuba menenangkan Ahmad Ziqri yang berasa keliru dengan berbohong bahawa dia sedang berada di dalam filem Gerak Khas dan akan berjumpanya di balai polis sebentar lagi.

Jelas kelihatan wajahnya yang bingung dan keliru sambil tidak memahami apa yang sedang berlaku, dan di mana dia akan dibawa pergi selepas itu.

Ibu Ahmad Ziqri, Hasnah Abdul Rahman memberitahu The Star bahawa anak lelakinya dilahirkan dengan tahap pemikiran terhad dan tidak faham dengan kesan tindakannya dan mengapa dia ditahan.

 

Katanya, “Saya tidak menyalahkan pihak polis, dan juga pihak pengadu. Saya meletakkan diri dalam situasi yang telah dialami oleh wanita berkenaan, tentu sekali ia merupakan satu situasi yang menakutkan, terutama sekali bagi mereka yang tidak memahami dan didedahkan dengan penyakit autisme. Tambahan anak saya kelihatan seperti seorang pemuda yang normal.”

Hasnah berharap pihak polis akan mengendalikan kes anaknya dengan cara yang berbeza dan unik.

Hasnah berkata, “Kita perlu menangani perkara ini dengan betul dan pihak polis juga harus mendedahkan diri dengan berinteraksi bersama pihak yang mempunyai pengalaman mengendalikan kes dan hal pelik seperti ini supaya mereka lebih faham mengendalikan situasi dan kes melibatkan golongan kelainan upaya.”

Hasnah menambah, beliau tidak mengetahui sama ada pihak polis mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang khusus dalam kes yang melibatkan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Katanya, “Saya tidak keberatan untuk memberi kerjasama kepada pihak polis dengan memberi sampel darah dan laporan kesihatan, keluarga kami bersedia membawanya membantu siasatan.”

Pihak polis telah membuat permohonan tempoh reman selama empat hari tetapi ia telah ditolak oleh majistret, sebelum Ahmad Ziqri telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 12 September.

Kredit : Hasnah Abd Rahman / Facebook

Hasnah berkata, selepas membawa anaknya pulang, kelakuan Ahmad Ziqri telah berubah.

“Saya menyedari selepas dia pulang dari mahkamah, dia tidak mahu menukar pakaian dan makan,” katanya yang berasa lega pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat akan datang melawat dan memberi khidmat kaunseling kepada anaknya pada 17 September.

Kata Hasnah lagi, “Satu perkara yang baik apabila mereka akan datang, kerana saya sendiri tidak dapat memahaminya. Saya tidak pasti sama ada dia tahu apa yang telah terjadi kepadanya. Saya tidak mahu dia menjadi trauma. Tiada apa-apa reaksi daripadanya, jadi saya sendiri tidak berapa pasti.”

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Feilina Muhammad Feisol menggesa kerajaan supaya mengkaji serta merangka satu polisi berbeza apabila pihak berkuasa menangani kes tertuduh dengan keadaan kelainan upaya.

Katanya, “Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa di sini. Saya mempercayai pihak polis hanya mengikut prosedur standard mereka apabila berdepan dengan tertuduh. Akan tetapi, prosedur yang berbeza diperlukan apabila mereka mengendalikan orang kelainan upaya. Dan ia tidak ada. Jadi, pihak polis telah bertindak menurut pemahaman mereka kerana mereka hanya mengikut prosedur yang telah ditetapkan.”

 

Kredit : Hasnah Abd Rahman / Facebook

Menurut Feilina lagi, “Seorang kanak-kanak autistik, yang berada di dalam badan seorang dewasa, melihat seorang yang cantik pada pandangannya dan dengan tiada niat lain akan pergi melihat dan menyentuhnya. Pada pandangan kita ini adalah salah, tetapi dia tidak tahu perkara itu salah.”

Tambahnya lagi, “Malangnya, dia telah menyentuh seseorang (secara salah) dan wanita ini hanya mengetahui yang haknya telah dicabuli. Saya juga tidak mahu menyalahkan wanita tersebut.”

Feilina juga mencadangkan kepada kerajaan agar dapat menyediakan perlindungan kepada golongan yang memegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU), sekiranya terjadi lagi kes seperti ini di masa hadapan.

Menurut laporan The Star, satu petisyen telah dilancarkan pada 17 September melalui laman change.org bagi tujuan menuntut keadilan bagi Ahmad Ziqri. Satu artikel dengan tajuk “Kesaksamaan untuk Ziqri, Keadilan untuk Autisme”, setakat ini telah ditandatangani oleh lebih 16,000 orang menyatakan tanda sokongan.

Kredit : Change.org

Organisasi ini mensasarkan seramai 25,000 orang akan menandatangani petisyen ini bagi menuntut keadilan supaya pihak berkuasa mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) mereka dalam menguruskan kes membabitkan OKU dan Ahmad Ziqri perlu dilayan secara adil dan saksama. Petisyen ini telah ditujukan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta Ketua Polis Negara.

Sumber : The Star , Hasnah Abd Rahman / Facebook , Escabytes/Youtube, SAYS  , World of Buzz

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds