Semakin dewasa, semakin banyak tanggungjawab yang harus kita pikul. Bukan sahaja tanggungjawab kepada Tuhan tetapi juga tanggungjawab sebagai seorang anak yang tidak patut mengabaikan kebajikan orang tua masing-masing.

Kredit: Yanie Tawil/Facebook

Pada 5 September lalu, seorang netizen yang dikenali sebagai Yanie Tawil telah mengongsikan satu kisah yang amat menyentuh hati menerusi Facebook. Semenjak entri berkenaan dimuat naik, ia telah menarik lebih 38,000 likes dan 25,000 kali perkongsian!

Berdasarkan kepada kisah yang dikongsikan itu, Yanie Tawil telah menceritakan bagaimana dia dan lapan orang adik-beradiknya berpakat untuk menghadiahkan bapanya sebuah kereta baharu model Axia!

Antara salah satu sebabnya adalah kerana kereta milik bapanya seringkali rosak di jalan raya dan menyebabkan si bapa tersadai di tepi jalan sendirian.

Kredit: Facebook

“Kami sebagai anak-anak yang sepatutnya ada untuk menolong dia dalam keadaan macam ini tidak dapat membantu disebabkan masing-masing sedang bekerja…”

Bagaimanapun, nasib baik pada ketika itu, salah seorang adik-beradik Yanie ada dan segera datang untuk membantu bapa mereka.

“Kakak ada pada masa kereta itu rosak dan abah buat keputusan untuk tarik kereta ini balik menggunakan tali dan tali itu diikat pada kereta kakak.”

Kakak kepada Yanie telah mengongsikan gambar keadaan kereta bapanya menerusi aplikasi WhatsApp dan hal ini membuatkan mereka adik-beradik menjadi sayu dan sedih melihat bapa yang sudah tua dalam keadaan seperti itu.

Kredit: Facebook

Semenjak kejadian itu, mereka semua sebulat suara bersetuju untuk menghadiahkan bapa sebuah kereta baharu bagi memudahkan bapanya untuk bergerak.

“Kami 9 orang adik-beradik bukan dari orang yang senang. Yang dah kahwin atau yang belum kahwin, masing-masing ada tanggungjawab sendiri dan kami sama-sama berfikir mencari jalan untuk memudahkan abah bergerak selepas ini. Semua sepakat mahu carikan abah kereta.”

Jelas Yanie, mereka adik-beradik telah bersepakat untuk membeli sebuah kereta baharu dan mencadangkan untuk membayar kereta ini secara ansuran beramai-ramai selama lima hingga sembilan tahun…

“Kami tidak kisah untuk membayar ansuran ini selama bertahun-tahun dari dibandingkan dengan pengorbanan yang abah buat untuk membesarkan kami 9 adik-beradik dari lahir sampai kami besar dan menjadi orang yang berguna sampai ke hari ini.”

Kesemua adik-beradik ini telah membahagikan tugas masing-masing demi melaksanakan niat murni mereka itu. Seorang ditugaskan untuk menguruskan hal berkaitan pinjaman bank, seorang lagi dipertanggungjawabkan untuk mengutip duit deposit daripada setiap adik-beradik dan bermacam-macam lagi tugas lain.

Bagaimanapun, Yanie tidak menolak dakwaan segelintir individu yang meluahkan kata-kata tidak enak kepada keluarga mereka.

“Ada juga orang membawang cakap ‘Banyak duit adik-beradik kau belikan abah kereta baharu?’ Tetapi hakikatnya, kami ambil masa berbulan-bulan untuk kumpulkan duit deposit demi mengeluarkan kereta ini.”

Sebaik sahaja kereta itu dihadiahkan kepada bapa mereka, ternyata riak wajah si bapa sangat terkejut dan langsung tidak mempercayai dengan apa yang dilihatnya. Kedua-dua ibu dan bapa Yanie menangis kerana tidak menyangka bahawa anak-anak mereka sanggup menghadiahkan sebuah kereta.

Kredit: Facebook

Yanie turut mengucapkan rasa syukur dan terharu kerana rancangan mereka untuk menghadiahkan kereta itu berjaya dan dipermudahkan…

“Alhamdulillah… Terima kasih abang-abang, kakak dan adik-adik semua atas rezeki yang kita ada dan kita kongsikan bersama untuk kita berikan kepada emak abah kita. Alhamdulillah.”

Sejujurnya, tidak banyak kisah menyentuh hati seperti ini dapat kita dengari pada zaman sekarang. Apa yang Yanie dan adik-beradiknya lakukan boleh dijadikan sebagai satu sumber inspirasi dan juga pedoman buat kita semua untuk sentiasa menabur bakti kepada kedua orang tua sementara mereka masih bernafas.

Sumber: Yanie Tawil/Facebook

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI VIDEO

Video Popular

Ad will display in 09 seconds