Ini Kendar. Berasal dari Desa Karang Bawang, Kecamatan Ajibarang, Banyumas, Jawa Tengah. Kanak-kanak ini sebenarnya menanggung sesuatu yang pastinya meruntun hati sesiapa yang mengikuti kisah hidupnya. Rupa-rupanya di saat rakan-rakan sebaya sedang leka bermain, Kendar sibuk menguruskan ayahnya yang terlantar sakit.

Kredit: detikNews

Kendar bersekolah di Sekolah Dasar Negeri 1 Karang Bawang. Walaupun usianya sudah mencecah 13 tahun, namun akibat sering tertinggal pelajaran dia masih belajar di kelas IV SD.

Setiap hari sebelum ke sekolah, Kendar akan mempersiapkan ayahnya seperti mengambilkan makanan, menyuapkan makan, memandikan dan memakaikan pakaian. Kendar juga turut melakukan kerja-kerja rumah seperti pembersihan, mencuci pinggan, mencuci pakaian dan sebagainya. Sebagai anak, Kendar dilihat begitu ikhlas melakukan semua perkara tersebut.

Kredit: Detik.com

Ramai yang tertanya-tanya, mengapa Kendar yang menguruskan semuanya dan di manakah ibu Kendar. Menurut Kendar, ibunya Tasmini yang berusia 40 tahun terpaksa merantau ke Jakarta untuk mencari rezeki dengan bekerja sebagai pembantu rumah.

Manakala abang Kendar iaitu Darmanto, dihantar ke sekolah berasrama penuh secara percuma demi meringankan beban keluarganya.

Menurut Kendar, untuk kegunaan seharian, mereka akan menunggu wang kiriman dari ibunya. Jika ibu sudah mengirimkan duit perbelanjaan, dapatlah mereka makan, jika tidak, dia terpaksa berhutang dengan warung dahulu.

Kredit: Cerpen

Kendar berharap agar ayahnya segera sembuh dan menjaga dia serta abangnya. Kendar ingin terus bersekolah supaya dapat bekerja dan membantu ekonomi keluarganya pada masa hadapan.

“Saya berharap agar ayah segera sembuh dan dapat menjaga saya dan abang. Saya mahu keadaan ayah seperti dahulu. Sudah lama ayah sakit,” ujar Kendar yang kesedihan.

Sebelum ayah Kendar, Rasim yang berusia 42 tahun terlantar sakit kerana lumpuh, dia merupakan tulang belakang keluarga dan bekerja sebagai pembuat nira untuk menghasilkan gula jawa.

Kemudian, pada tahun 2010, Rasim diserang penyakit cikungunya. Dia ditahan di wad selama seminggu untuk mendapatkan rawatan. Selepas seminggu dirawat, Rasim tidak beransur pulih lalu dia dibawa pulang ke rumah kerana tidak memiliki wang untuk menanggung kos perubatan.

Disebabkan tiada punca rezeki, Tasmini terpaksa merantau ke Jakarta demi membantu keluarganya. Sejak dari itu, semua urusan rumah dilakukan oleh Kendar termasuklah menjaga dan menguruskan ayahnya.

Kredit: Cerpen

Kendar dan abangnya Darmanto sebenarnya menghidapi gejala penyakit seperti ayahnya. Mereka tidak mampu melakukan aktiviti yang memerlukan dia bercangkung kerana kakinya tidak dapat dibengkokkan dan tangannya tidak dapat menggenggam.

Menurut Darsim, jiran Rasim, sehingga kini belum ada lagi bantuan dihulurkan oleh kerajaan untuk membantu keluarga tersebut dan mereka terpaksa bergantung sepenuhnya kepada Tasmini.

Wantoro yang merupakan guru kelas Kendar berkata Kendar adalah seorang anak murid yang rajin dan suka membantu ibu bapa. Biarpun Kendar sering terlambat ke sekolah dan ada masanya tidak hadir langsung, Wantoro sangat memahami keadaan kanak-kanak itu.

Selain itu, menurut Wantoro, Kendar akan berterus-terang dan meminta izin daripada jika dia tidak mahu memakai kasut sekolah atau selipar ke sekolah kerana kakinya sakit. Wantoro memberi kebenaran asalkan Kendar mahu datang ke sekolah.

Kredit: detikNews

Walaupun Kendar tidak aktif dalam acara olahraga di sekolah yang disebabkan oleh fizikalnya namun fikirannya jauh lebih matang berbanding kawan-kawannya yang lain.

Mujurlah kawan-kawan Kendar begitu baik dan memberi perhatian akan keadaan Kendar. Mereka tidak teragak-agak untuk membantu Kendar. Sekiranya mereka melihat Kendar duduk termenung bersendirian, mereka akan mendekati dan menghiburkan Kendar.

Semoga Kendar dan keluarganya tabah mengharungi ujian ini dan semoga kebahagian menjadi milik mereka sekeluarga.

Sumber: CERPENdetikNews

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds