KUALA LUMPUR – Peguam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.00 pagi, 13 September dan pada jam 11.22 pagi beliau telah dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta atas dakwaan empat pertuduhan pengubahan wang haram serta membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki telah mengesahkan perkara tersebut menurut laporan Malaysiakini. Pertuduhan terhadap Muhammad Shafee telah dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Kredit : BH Online

Muhammad Shafee, 66 tahun telah mengaku tidak bersalah di atas empat pertuduhan menerima wang RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib hasil aktiviti wang haram serta membuat penyata tidak betul kepada LHDN, dan memohon untuk dibicarakan. Mahkamah membenarkan ikat jamin RM1 juta dan pasport milik Muhammad Shafee diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes selesai.

Pendakwaan bagi kes ini akan dijalankan oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram, Kamal Bahrin Omar, Ahmad Akram Gharib dan Afzainizam Abdul Aziz.  Sementara pembelaan Muhammad Shafee diwakili oleh peguam Datuk Hasnal Rezua Merican, Harvinderjit Singh, Chetan Jethwani dan Rahmat Hazlan.

Penahanan Muhammad Shafee ekoran pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata pasukan peguamnya sudah menyerahkan afidavit yang ditandatangani oleh pegawai Jabatan Peguam Negara yang mengesahkan pembayaran sebanyak RM9.5 juta yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Muhammad Shafee antara September 2013 sehingga Februari 2014, sebelum Anwar disabitkan dan menjalani hukuman penjara bagi kesalahan sodomi.

Kredit :  NSTP

Muhammad Shafee bertindak sebagai pendakwa raya khas dalam rayuan terhadap pembebasan kes Datuk Seri Anwar bermula Julai 2013 sehingga rayuan terakhir selesai di Mahkamah Persekutuan pada Februari 2015.

Muhammad Shafee didakwa menerima RM9.5 juta dalam dua transaksi daripada akaun bank peribadi Datuk Seri Najib. Transaksi pertama bernilai RM4.3 juta diterima pada 13 September 2013 dan transaksi kedua bernilai RM5.2 juta yang diterima pada 17 Februari 2014.

Selepas pengumuman tersebut, Muhammad Shafee telah menafikan menerima bayaran RM9.5 juta daripada akaun peribadi Datuk Seri Najib dan menjelaskan beliau sudah menafikan tuduhan berkenaan seperti yang direkodkan dalam afidavit pada 3 Ogos 2017 dalam kes saman Datuk Seri Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kredit : Mohd Yusni Ariffin / Berita Harian

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001, tertuduh akan berdepan hukuman penjara sehingga 5 tahun dan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta, atau kedua-duanya.

Bagi dua pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu membuat penyata tidak betul mengikut perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.

Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah mengetuai barisan peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi perbicaraan kes tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Sumber : Malaysiakini, Berita Harian, SAYS

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds