Sekiranya anda sedang berfikir untuk meninggalkan kerjaya dan memulakan perniagaan, kisah bekas pegawai bank ini mungkin memberi kekuatan dan motivasi bagi diri untuk memulakan langkah.

Rio Vamory yang berasal dari Indonesia, baru-baru ini telah meletakkan jawatan sebagai pegawai bank yang berjaya demi merealisasikan impian dan minatnya dalam bidang perniagaan dengan menjual sate ayam. Rio telah memulakan perniagaan ini sejak bulan Mei, 2017.

Kredit : Selendang Biru

Menurut Selendang Biru, Rio yang berusia 35 tahun pada mulanya menetap di Padang Panjang, Indonesia dan dibesarkan oleh ibunya yang merupakan ibu tunggal. Sejak kecil, Rio merupakan pelajar cemerlang dan pintar sehingga beliau diberi pengecualian melompat kelas di sekolah kerana pencapaiannya di dalam pelajaran yang amat cemerlang. Selepas menamatkan pengajian, Rio meninggalkan Indonesia, berkahwin dan berhijrah ke Zurich, Switzerland bersama isteri tercinta.

Dua tahun kemudian, Rio menjemput ibunya untuk tinggal bersamanya di Switzerland. Kerjaya Rio sebagai seorang pegawai bank berjalan dengan lancar dan berjaya sehingga membantu kehidupannya menjadi amat selesa dengan gaji yang lumayan.

Namun begitu, Rio menjadi bosan dengan rutin hariannya sebagai pegawai bank, dengan berkata kerjayanya telah berjaya memenuhkan dompetnya tetapi tidak pada jiwanya. Oleh itu, Rio telah memberanikan diri dengan membuat keputusan nekad untuk meletak jawatan dan mengubah kerjaya sebagai seorang penjaja menjual sate ayam di tepi jalan.

Kredit : Selendang Biru

Rio tidak lagi menyikat rambutnya dengan rapi setiap hari, malahan membiarkan ia tidak dipotong selama enam bulan. Sut kerja bertali leher yang mahal diletak ke tepi, sebaliknya Rio memakai baju-T dan seluar jeans dengan dilitupi apron.

Untuk menjayakan perniagaan tersebut, Rio menggunakan laman sosial pengumpul dana untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada orang ramai dan beliau juga menaksir maklum balas mereka tentang ideanya untuk menjual sate ayam. Rio juga telah membuat rakaman video dengan menjelaskan secara terperinci mengenai projeknya bagi menarik perhatian pelabur berpotensi.

Kredit : Selendang Biru

Melalui platform tersebut, Rio telah berjaya mengumpul dana untuk memulakan perniagaannya sebanyak RM52,000. Dengan modal yang sederhana, Rio telah dapat membeli gerai bergerak beroda tiga dan lain-lain peralatan memulakan perniagaan sate ayam. Sebagai langkah permulaan, Rio dengan gigih telah membuat strategi pemasaran dan jualan dengan menjual sate ayam tersebut dari pintu ke pintu dan mendapatkan maklum balas daripada para pelanggan.

Kini , perniagaan Rio berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan hangat daripada para pelanggan. Pendapatannya sebulan mencecah RM50,000. Ramai pelanggan yang terpaksa beratur panjang untuk membeli dan merasa sendiri sate ayam Rio yang enak dan berjus. Perniagaan unik Rio di Switzerland telah menarik perhatian akhbar tempatan, Neuer Zurcher Zeitung (NZZ).

Kredit : Selendang Biru

Salah seorang editornya mengulas, “Apa yang telah Rio lakukan amat menakjubkan. Tidak ramai pegawai bank yang telah berjaya dan berpendapatan lumayan sanggup menukar profesion dengan menjadi penjaja yang berniaga sate ayam.”

Sesungguhnya ini adalah kisah yang amat memberi inspirasi kepada semua. Diharap Rio terus berjaya di dalam perniagaan sate ayamnya. Semoga di masa hadapan, Rio Vamory akan merealisasikan impian membuka sebuah restoran menjual sate di Switzerland dan membantu mempopularkan makanan Asia Tenggara di sana.

Tonton rakaman video Rio di sini.

Sumber : Selendang Biru , World of BuzzKrisna Diantha Akassa/Youtube

 

Share
Kategori: BISNES INSPIRASI Pesona

Video Popular

Ad will display in 09 seconds