Baru-baru ini, tular di media sosial apabila seorang pengawal keselamatan yang berkhidmat di Masjid Putra di Putrajaya dikatakan belajar tujuh bahasa demi memudahkan proses berkomunikasi dengan para pelancong di situ. Khairul yang berasal dari Kelantan ini dilaporkan mula berkhidmat sejak 15 bulan yang lalu.

Khairul bukan sahaja bertugas selama 12 jam pada setiap hari, malahan dia juga akan bertugas lebih lama pada hari-hari tertentu, namun dia tetap gigih mempelajari bahasa baharu pada penghujung harinya, lapor Sinchew. Kami tidak dapat menafikan bahawa pemuda ini sememangnya seorang yang optimis kerana baginya, halangan untuk mempelajari bahasa baharu bukanlah datang daripada bahasa itu sendiri, tetapi ianya datang daripada sikap diri sendiri.

Kredit: Sinchew

Berasal dari negeri Kelantan, Khairul turut mengakui bahawa pada mulanya dia menghadapi masalah komunikasi kerana dialek yang digunapakai olehnya agak sukar difahami oleh orang sekeliling. Disebabkan oleh itu, Khairul berusaha untuk mempelajari bahasa Malaysia (tanpa dialek) dan tiga bulan kemudian, dia berjaya berkomunikasi dengan semua orang dengan selesa.

Apa yang mengagumkan tentang pemuda ini adalah usahanya yang tidak putus-putus mahu mempelajari bahasa asing antaranya Mandarin, Vietnam, Korea, Jepun, Thailand, Parsi dan Bahasa Inggeris. Hebat!

“Ini (masjid) adalah destinasi pelancongan, kita perlu memahami bahasa mereka kerana sesetengah pelancong tidak begitu memahami arahan dalam bahasa Inggeris dengan baik. Untuk kemudahan mereka, kita perlu mempelajari bahasa mereka sekiranya keadaan memerlukan,” kata Khairul.

Khairul tidak menerima pembelajaran rasmi, oleh itu dia berusaha untuk belajar dengan cara mencatat setiap ayat yang dibetulkan oleh para pemandu pelancong dan pelancong kepadanya. Dia juga mempunyai buku nota khas!

Kredit: Sinchew

Menjadi kelaziman buat Khairul untuk mengulangi ayat atau perkataan yang baru diketahuinya dalam masa satu minggu agar dia biasa dengan penggunaan ayat yang sepatutnya. Proses pembelajarannya juga tidaklah diambil ringan. Khairul akan mula dengan perkataan dan sebutan, seterusnya dia akan mempelajari frasa dan pembinaan ayat yang sepatutnya pula.

Disamping itu, Khairul turut mendedahkan bahawa pelancong lebih bersedia mematuhi arahannya jika dia bercakap dalam bahasa mereka. “Pelancong yang tidak patuh dengan peraturan berpakaian dalam kawasan masjid perlu meminjam jubah (dari masjid). Kami akan menasihatkan wanita untuk menutup bahagian rambut dan memastikan pakaian mereka cukup sopan sebelum memasuki masjid,” katanya.

Kredit: Sinchew

Menjadi seseorang yang mengetahui tentang berbagai bahasa sememangnya telah membantu Khairul dalam menyampaikan mesej kepada para pelancong. Tiada apa yang dapat kami ucapkan selain dari kata ‘hormat’ kepada pemuda yang gigih ini!

Sumber: World of Buzz, Sinchew

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds