GENEVA – Panel hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengesahkan menerima banyak laporan yang boleh dipercayai mengenai dakwaan lebih sejuta etnik Uighur di China telah ditahan oleh pihak kerajaan di sebuah kem pengasingan politik secara rahsia bagi tujuan proses indoktrinasi.

Ahli jawatankuasa PBB berhubung Penghapusan dan Diskriminasi Bangsa, Gay McDougall telah mendedahkan dakwaan tersebut pada 10 Ogos dalam satu persidangan yang berlangsung selama dua hari di Geneva, Switzerland mengenai rekod hak asasi manusia di China, termasuk Hong Kong dan Macau.

Kredit : Getty Images /BBC News

Gay McDougall menyatakan rasa kebimbangan akan laporan yang dikemukakan mengenai pihak berkuasa China telah menukar wilayah autonomi Xinjiang yang diduduki etnik Uighur kepada satu kawasan yang dikawal secara rahsia dan menyamakan ia sebagai satu kem tahanan dan kurungan berskala besar.

Delegasi China yang terdiri daripada 50 orang pegawai tidak membuat sebarang komen dalam soalan yang diajukan berhubung ucapan yang dibuat ketika sesi di Geneva diadakan. China sebelum ini telah menafikan yang kem sebegitu rupa wujud di Xinjiang.

Siapakah etnik Uighur?

Etnik Uighur adalah golongan minoriti Muslim yang majoritinya tinggal di wilayah Xinjiang di China. Etnik Uighur merangkumi 45% populasi di Xinjiang. Xinjiang merupakan wilayah autonomi di China seperti wilayah Tibet di selatan.

Beberapa organisasi yang memantau hak asasi manusia di seluruh dunia melaporkan etnik Uighur menjadi sasaran kerajaan Parti Komunis China sebagai satu kempen pengawalan keganasan dan keselamatan, dengan menghantar etnik minoriti ini ke kem tahanan dan pendidikan semula berunsur politik yang wujud secara rahsia.

Kredit : The Patriot

Gay McDougall berkata terdapat laporan lebih 100 orang pelajar keturunan Uighur yang pulang ke China setelah menamatkan pengajian dari negara Islam seperti Mesir dan Turki telah ditahan secara rahsia, dan ada di antara mereka yang telah dianiayai sehingga meninggal dunia di dalam tahanan.

Pertubuhan Amnesty International dan Human Right Watch telah mengemukakan laporan kepada jawatankuasa hak asasi manusia PBB dengan dakwaan bahawa terdapat penahanan etnik Uighur berskala besar sedang berlaku, di mana para tahanan telah dipaksa untuk menyatakan taat setia kepada pemerintahan Presiden Xi Jinping dan mereka juga dipaksa menjerit melaungkan slogan Parti Komunis China.

Kongres Etnik Uighur Sedunia melaporkan kem tahanan yang berupa kem pendidikan semula itu sangat sesak dan berkeadaan buruk. Para tahanan telah dilayan dengan buruk dengan tidak diberi makan yang cukup, serta ramai yang telah diseksa dan dianiayai.

Kebanyakan tahanan tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan jenayah, dan mereka tidak dibenarkan dan dinafikan hak untuk melantik wakil khidmat guaman serta tidak dibicarakan.

Kredit : BBC News

Penjelasan Kerajaan China mengenai dakwaan wujud penindasan etnik dan agama.

Kerajaan China telah menafikan wujudnya kem seumpama itu di China.

Pada bulan April, diplomat kanan Amerika Syarikat di China, Laura Stone berkata, seramai beratus ribu orang telah ditahan di kem tahanan pendidikan semula dan ditindas oleh kerajaan China.

Pihak Amerika Syarikat mengambil perhatian yang serius akan penganiayaan, penindasan dan halangan yang telah dilakukan oleh rejim Parti Komunis China terhadap golongan minoriti di China yang ingin mengamalkan kepercayaan dan agama secara bebas.

Kredit : Getty Images / BBC News

Dalam satu kenyataan rasmi oleh Kedutaan Amerika Syarikat di China pada 27 Julai menyebut, “Kebanyakan golongan dan etnik minoriti di China yang mengamalkan kepercayaan dan agama, termasuk etnik Uighur, etnik Hui, Muslim Kazakh, Buddha Tibet, penganut Katolik dan Protestan, serta pengamal Falun Gong, berhadapan penindasan, penganiayaan dan diskriminasi yang amat buruk, semata-mata kerana mereka ingin mengamalkan kepercayaan dan agama masing-masing.”

Jurucakap Kementerian Luar, Hua Chunying dalam satu kenyataan balas berhubung dakwaan penindasan terhadap etnik Uighur berkata, “Semua dapat melihat yang pelbagai etnik di Xinjiang boleh hidup dan bekerja dengan aman serta bebas, dan mereka berpuas hati menjalani kehidupan masing-masing.”

Kredit : AFP/ Utusan Online

Dakwaan timbul ekoran ketegangan agama yang tercetus di beberapa wilayah di China. Pada 3 Ogos, ratusan penduduk Muslim di Wilayah Ningxia telah bertempur dengan pihak berkuasa China apabila sebuah masjid yang baru dibina telah diarah untuk dirobohkan. Pihak berkuasa berkata Masjid Besar Weizhou tidak mendapat kelulusan permit membina yang sah dan ia terpaksa dirobohkan.

Namun begitu, kumpulan hak asasi manusia berkata penindasan dan penahanan oleh rejim China terhadap masyarakat Muslim semakin meningkat di China. Mana-mana kegiatan keagamaan dan kepercayaan sebenarnya sentiasa dikawal ketat dan dipantau oleh kerajaan Parti Komunis China.

Sumber : BBC UK, Epoch Times

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL Kebenaran

Video Popular

Ad will display in 09 seconds