Sebut sahaja kentang putar, ia pasti menjadi makanan yang amat digemari oleh kanak-kanak. Kentang putar paling enak dimakan bersama ayam goreng, seperti yang disediakan dalam hidangan restoran makanan segera. Juga sesuai disediakan sebagai hidangan sampingan parti barbeku. Bagi ibu bapa yang ingin membuat sendiri kentang putar kegemaran anak-anak di rumah, apa kata anda mencuba resipi kentang putar ala KFC yang mudah dibawah.

Resipi Kentang Putar ala KFC dengan bahan-bahan dan cara-cara membuat adalah seperti berikut :

Bahan-bahan

8 biji kentang

1 kotak susu segar

Mentega dengan anggaran 2 hingga 3 sudu besar

Serbuk lada hitam dan lada sulah secukup rasa.

Cara-cara membuat kentang putar

1. Kupas kulit kentang dan potong dua. Masukkan kesemua kentang yang telah dikupas dan dipotong ke dalam periuk dan rebus dengan air yang mencukupi sehingga kentang tenggelam. Rebus kentang dalam tempoh masa 10 hingga 15 minit dengan api sederhana.

2. Apabila kentang sudah empuk, toskan airnya.

3. Masukkan mentega ke dalam kentang dan lenyekkan ia sehingga sebati.

4. Tambahkan lada hitam dan lada hitam mengikut citarasa. Jika untuk anak-anak kecil, kurangkan sedikit penggunaan bagi mengurangkan rasa pedas. Tetapi, jika mereka sukakan pedas, boleh ditambah mengikut rasa.

5.Tuangkan susu sedikit demi sedikit mengikut citarasa. Fungsi susu diletakkan bagi menghasilkan kentang putar berasa lemak serta nampak gebu dan cantik. Kacau dan lenyek campuran bahan sehingga rata dan sebati. Jika mahu kentang putar nampak lebih cantik dan halus, anda boleh gunakan pengisar tangan.

Bahan-bahan bagi sos atau ‘gravy’

1 labu bawang besar yang dipotong dadu

2 ulas bawang putih yang dicincang halus

4 sudu besar mentega

2 sudu besar tepung gandum atau tepung jagung

2 kiub pati ayam

Sedikit serbuk lada hitam dan lada sulah

2 1/2 cawan air

Cara-cara membuat sos ‘gravy’

1. Cairkan mentega di dalam kuali atau periuk dan tumis bawang besar dan bawang putih pada api sederhana sehingga berwarna keperangan (menjadi karamel).

2. Masukkan tepung gandum atau tepung jagung dan terus kacau sehingga ia menjadi warna coklat atau sehingga menjadi warna yang dikehendaki oleh anda mengikut citarasa.

3. Masukkan sedikit demi sedikit air sambil mengacau. Kacau sehingga sebati. Tutup api dan biarkan sejuk seketika. Kisar di dalam mesin pengisar sehingga hancur. Kemudian masukkan semula ke dalam kuali atau periuk dan masak dengan api sederhana.

4. Masukkan kiub pati ayam bersama serbuk lada sulah dan lada hitam mengikut citarasa.

5. Jika kuah terlalu pekat, tambahkan sedikit air.

6. Kacau sehingga rata dan tutup api. Sekiranya sos kentang putar masih berketul, masukkan sos ke dalam pengisar dan kisar sehingga bertukar tekstur halus dan licin.

Masukkan kentang putar ke dalam bekas dan tuangkan sos. Apabila sudah siap, rupanya lebih kurang seperti ini.

Selamat mencuba!

Sumber : Cik Lyns Kitchen, Sirap Limau

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds