Pendaftaran bagi Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) boleh dibuat bermula hari ini bagi mereka yang layak.

Kredit: Ulama Sedunia

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, mereka yang layak perlu mendaftar sebagai ahli KWSP untuk menyertai caruman tersebut.

“Suri rumah, balu dan ibu tunggal yang profilnya didaftarkan di Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih), boleh menyertai i-Suri dan membuat caruman minimum sebanyak RM5 setiap bulan.

“Caruman itu akan dimasukkan ke dalam akaun simpanan persaraan mereka bagi melayakkan mereka menerima insentif kerajaan sebanyak RM40 setiap bulan yang akan dimasukkan ke dalam akaun KWSP mereka,” katanya dalam kenyataan media.

Mereka yang layak boleh mendaftar sebagai ahli KWSP dengan mengunjungi mana-mana 67 cawangan KWSP di seluruh negara.

Pendaftaran i-Suri dibuka susulan pelancaran Insentif Suri Rumah oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Persidangan Keselamatan Sosial Antarabangsa KWSP 2018, minggu lalu.

Kredit: Saddam Yusoff

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi menjayakan fasa pertama Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) itu. I-Suri dilaksanakan dalam tiga fasa.

“Fasa pertama bermula 15 Ogos ini dengan kerajaan akan menyumbang sebanyak RM40 sebulan bagi setiap caruman sukarela dengan jumlah minimum RM5 ke akaun KWSP.

“Bagi fasa kedua, sumbangan kerajaan akan meningkat kepada RM50 dengan RM10 daripadanya akan disumbangkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Fasa ini dijangka bermula tahun depan.

“Fasa ketiga insentif SURI adalah di mana dua peratus sumbangan KWSP suami akan dimasukkan ke akaun isteri dengan pelancaran fasa ini dijangka pada awal 2020, namun beberapa pindaan perlu dilakukan terhadap akta berkaitan,” katanya.

Individu yang layak mendaftar i-Suri akan menikmati manfaat yang sama seperti ahli KWSP lain seperti dividen tahunan ke atas simpanan persaraan, pengeluaran umur 50, 55 dan 60, bantuan hilang upaya dan bantuan kematian.

Kredit: FMT

Berdasarkan statistik eKasih, seramai 221,890 suri rumah, balu (98,536) dan ibu tunggal (28,116) dari golongan miskin tegar layak menerima insentif kerajaan itu selepas mendaftar untuk i-Suri.

Untuk mendapat maklumat lanjut mengenai eKasih, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MGCC) di talian 03-80008000.

Penjelasan lanjut mengenai produk dan perkhidmatan KWSP, boleh hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di talian 03-89226000 atau rujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau kunjungi mana-mana cawangan KWSP seluruh negara.

Kredit: Buletin TV3/Facebook

Sumber: Says, Buletin TV3/Facebookwww.kwsp.gov.my

 

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds