Seorang penembak jitu Australia terlatih menemui beberapa calon yang tidak mungkin menyertai pasukan elitnya yang berdedikasi untuk menghentikan pemburuan gajah di Zimbabwe. Zimbabwe merupakan salah satu populasi gajah terbesar di Afrika.

Damien Mander penembak jitu terlatih tentera Australia yang mengendalikan Yayasan Anti-Pemburuan Antarabangsa, dilanda dilema tentang apakah strategi terbaik yang boleh dilaksanakan untuk menghentikan pemburuan gajah yang berleluasa di Zimbabwe.

Pada tahun-tahun yang lalu, Damien mengambil 200 orang lelaki untuk menjalani latihan gaya tentera khas namun pada penghujung hari pertama yang tinggal untuk meneruskan latihan tersebut hanyalah tiga orang lelaki.

Damien melihat perkara tersebut berlaku disebabkan kurangnya tekad dalam diri lelaki. Mereka berasa tidak berdaya untuk menangkap penceroboh yang sebenarnya adalah orang yang sama-sama membesar bersama mereka, penceroboh yang merupakan orang kampung mereka sendiri atau orang yang mereka anggap adalah kawan mereka sendiri.

Penyelesaian yang Damien ada hanyalah wanita.

Menurut Damien semasa ditemubual oleh wartawan BBC, seramai tiga puluh enam orang wanita memulakan latihan bersama mereka dan latihan yang diberikan adalah lebih berat berbanding latihan yang diberikan kepada kumpulan lelaki sebelum ini.

Namun, akhirnya hanya tiga orang wanita sahaja yang menarik diri. Damien sendiri seperti tidak dapat mempercayai situasi tersebut.

Kumpulan anti-pemburu elit Zimbabwe yang terdiri daripada wanita itu digelar Akashinga yang bermaksud “Yang paling berani”. Merekalah yang berusaha keras untuk melindungi salah satu populasi gajah terbesar di Afrika dan mereka tidak mempunyai masalah untuk menangkap penceroboh.

Menurut salah seorang askar wanita tersebut iaitu Vimbai Kumire, sukar untuk menangkap seorang penceroboh yang tinggal di kampung yang sama seperti kita atau kampung sebelah.

Namun biarpun mereka adalah jiran atau saudara sendiri, mereka tetap akan ditangkap sekiranya didapati melakukan kesalahan terhadap haiwan.

Ramai wanita yang menyertai pasukan itu sebenarnya terdiri daripada wanita yang pernah didera dan ibu tunggal. Mereka mempunyai alasan yang tersendiri untuk melindungi haiwan yang semakin pupus itu.

Bagi Vimbai ia adalah kuasa. Dia berasa tidak berdaya selepas ditinggalkan suami yang pada ketika itu dia sedang mengandungkan anak kedua. Dia hampir berputus asa dan tidak mempunyai tempat hendak dituju lalu memutuskan untuk menyertai Akashinga dengan niat supaya dia dapat memperbaiki hidup keluarganya.

Dengan menyertai pasukan ini, dia mendapat pendapatan yang cukup untuk menghantar anaknya ke sekolah dan membeli pakaian atau makanan.

Walaupun sukar untuk meneruskan hidup namun Vimbai tetap bertahan dalam bidang yang diceburi tambahan pula dia telah jatuh cinta terhadap haiwan dan mahu memastikan spesies tersebut terus terpelihara di muka bumi.

Vimbai sebenarnya adalah salah seorang askar yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang serta sering memberikan komitmen yang tinggi terhadap tugasnya.

Pihak pengurusan berbesar hati untuk menaikkan pangkatnya atas usaha yang telah dilakukannya selama ini. Bagi Damien sendiri, cara yang berkesan untuk memenangi hati dan minda masyarakat adalah melalui wanita.

Wanita, jika diberi peluang dan ruang pasti mampu untuk mengubah dunia menjadi yang lebih baik.


Kredit: BBC News/Facebook

Sumber: NTD.TVBBC News/Facebook

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds