KUALA LUMPUR: 17 orang anggota keselamatan yang bertugas di Jabatan Perdana Menteri ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa mencuri wang tunai berjumlah RM3.5 juta daripada pejabat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada malam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Kredit: New Straits Times

Wang tersebut dikatakan sebahagian daripada dana pilihan raya UMNO namun mereka bertindak mengambilnya apabila mengetahui bahawa Barisan Nasional akan tewas pada pilihan raya itu, sebuah portal berita melaporkan.

Anggota keselamatan tersebut adalah sebahagian daripada pasukan yang bertugas di bangunan utama tempat terletaknya Pejabat Perdana Menteri.

“Sebaik sahaja mereka mengetahui Barisan Nasional bakal kalah pilihan raya, kesemua suspek memutuskan untuk masuk ke pejabat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan mengambil sesuatu yang berharga,” sumber memberitahu portal itu, sambil menambah bahawa wang tunai itu tidak disimpan dalam peti keselamatan.

“Pihak berkuasa mula curiga dan mengesyaki kesemua suspek telah mengambil kesemua wang tunai yang berada di pejabat berkenaan apabila mereka dilihat menayangkan kemewahan secara mendadak, termasuk membeli motosikal baru.”

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memperoleh perintah tahanan reman selama lima hari terhadap suspek yang berusia antara 31 dan 51 tahun di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

SPRM telah merampas wang tunai berjumlah RM840,700 daripada suspek, bersama sembilan motosikal bernilai hampir RM90,000.

Sumber: New Straits Times

 

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds