Feng E baru berusia 10 tahun, tetapi memiliki bakat dalam menarik perhatian orang ramai dan penonton dengan persembahannya yang memukau.

Pemain ukulele elektrik kecil dengan bakat yang besar ini bukan sahaja telah membuat para penonton berasa terpesona tetapi juga menarik perhatian panel juri David Foster, Anggun dan Jay Park dengan gaya profesionalnya memainkan muzik ciptaan sendiri dari ukulele elektrik.

Feng E yang berasal dari Taiwan telah menunjukkan satu persembahan yang hebat di atas pentas dalam rancangan “Asia’s Got Talent” dengan penuh keyakinan sambil mengalun muzik dari ukulele bagai seorang bintang rock sebenar. Sungguh berbakat besar!

Feng E juga menggunakan pedal kaki di dalam persembahan uji bakat ini sebagai menambah sedikit kelainan persembahan, tidak seperti bermain ukulele yang biasa.

Juri David Foster berasa begitu kagum dengan persembahan yang telah ditunjukkan oleh Feng E sehingga menarik hatinya untuk menekan butang “Golden Buzzer”. Kata David dalam komennya, “Ramai yang berfikir ukulele hanya sebagai alat permainan biasa, dan kamu telah menukarnya menjadi satu pengalaman!”

Bakat muzik Feng E telah dicungkil apabila bapa kanak-kanak lelaki ini mula menggalakkannya bermain ukulele sebagai sebahagian daripada pemulihan jari jemarinya yang lemah. Pergerakan jari Feng E tidak setangkas kanak-kanak lain, jadi bapanya telah meyakinnya untuk berlatih menjadi cekap dengan bermain ukulele.

Pada mulanya Feng E tidak berminat, tetapi dia terus bermain dengan galakan bapanya. Bapanya berjanji selepas menghabiskan sesi latihan bermain ukulele, Feng E boleh bermain Lego. Akhirnya, daripada latihan yang biasa telah menjadi satu minat yang mendalam sehingga Feng E menjadi pemain ukulele yang mahir dengan bakat luar biasa.

Dengan dorongan dan sokongan bapanya, kini Feng E yang sudah terpilih dan layak kerana mendapat ‘Golden Buzzer’, akan menyertai peserta uji bakat dari negara Asia lain yang akan dipilih menampilkan persembahan seterusnya di atas pentas “Asia’s Got Talent” musim kedua.

Saksikan persembahan memukau ukulele elektrik hasil sentuhan Feng E di bawah.

Kredit : AXN Taiwan / Facebook 

Sumber : AXN Taiwan/Facebook , Good Times

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds