KUALA LUMPUR– Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin membuat laporan polis pada 9 Ogos jam 2 petang di Ibu Pejabat Daerah Sentul, Kuala Lumpur berhubung dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa sebanyak RM18 bilion wang tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sepatutnya dibayar balik kepada peniaga telah ‘dirompak’ oleh bekas Menteri Kewangan dan kerajaan terdahulu.

Kredit : Ibdilillah Ishak/ Twitter

Terdahulu, Khairy Jamaluddin dalam akaun Twitter menulis bahawa beliau akan membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas pegawai tertinggi Kementerian Kewangan.

Walaupun Khairy Jamaluddin tidak menamakan pegawai terbabit, pada asasnya semua mengetahui yang beliau akan menamakan Datuk Seri Najib Razak, yang menjadi Menteri Kewangan pada waktu itu, bersama beberapa nama pegawai lain yang bertanggungjawab.

Kredit : Khairy Jamaluddin /Twitter

Alasan Khairy Jamaluddin membuat laporan polis tersebut ialah untuk membolehkan siasatan terbuka akan dilakukan berhubung dakwaan Lim Guan Eng bahawa kerajaan Barisan Nasional telah ‘merompak’ RM18 bilion wang tuntutan balik GST, supaya pihak yang didapati bertanggungjawab melakukan penyelewengan akan dibawa ke muka pengadilan. Dakwaan yang dibuat amat serius dan memerlukan bukti yang kukuh, demi membersihkan nama kerajaan yang lepas yang kini sentiasa menjadi tajuk sensasi.

Pada 7 Ogos, ketika sesi penggulungan berbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 di Dewan Rakyat, Lim Guan Eng mendedahkan bahawa bayaran balik GST yang sepatutnya dibuat dalam masa dua minggu telah tertangguh sehingga dua tahun.

Kredit : Ibdilillah Ishak / Twitter

Sebelum itu, Khairy Jamaluddin mencadangkan agar kerajaan Pakatan Harapan menambah baik sistem GST dan bukan menggantikannya dengan sistem SST.

Susulan itu, Lim Guan Eng kemudian bertanya sama ada Khairy Jamaluddin sedia maklum akan punca di sebalik penangguhan bayaran balik GST. Dan Khairy menjawab bahawa ia adalah kerana pertikaian kastam, dan kemudian dibalas oleh Lim Guan Eng, “Adakah itu sebab yang diberitahu kepada anda? Saya terkejut dengan alasan Rembau, jika anda tidak faham mengapa bayaran balik GST tidak dibuat.”

Kredit : Ibdilillah Ishak /Twitter

Selepas digesa oleh Khairy Jamaluddin untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaannya, Lim Guan Eng telah mendedahkan dalam sesi Parlimen pada 8 Ogos ketika pembentangan Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)(Pemansuhan) 2018 dengan menyatakan tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak 1 April 2015 sehingga 31 Mei 2018 berjumlah RM19.4 bilion. Bagaimanapun , baki semasa dalam Tabung Bayaran Balik hanya RM1.49 bilion, yang bermakna terdapat pengurangan kira-kira RM18 bilion.

Kredit :  Miera Zulyana/Malay Mail

Berikutan itu, Kementerian Kewangan sedang giat menjalankan satu siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca pengurangan RM18 bilion wang tuntutan balik GST dari Tabung Bayaran Balik.

Menurut laporan Malay Mail Lim Guan Eng berkata, pihaknya tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan dan akan menunggu hasil siasatan selesai. Katanya, “Secara dasar, ia agak jelas dan berlegar di dalam lingkungan pembuat keputusan daripada pentadbiran terdahulu.”

Kredit : Ibdilillah Ishak / Twitter

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berkata beliau akan membuat laporan berhubung perkara yang sama di atas dakwaan Lim Guan Eng kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ) pada 10 Ogos.

Kredit: The Star TV/Facebook

Sumber  : Twitter, Sinar Harian, Malay Mail, Malaysiakini, Oriental Daily, SAYSThe Star TV/Facebook

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds