Kes kematian bayi akibat tersedak susu bukan satu perkara yang baru. Setiap tahun pasti akan terdapat laporan kes kematian bayi akibat tersedak susu yang disebabkan kecuaian oleh ibu bapa di rumah atau penjaga di pusat penjagaan.

Kecuaian seperti ini sebenarnya tidak sepatutnya berlaku walaupun kematian itu sudah satu takdir. Namun kes bayi tersedak susu harus dipandang serius oleh semua pihak dan ia perlu dibenteras bagi mengelak kejadian yang sama sentiasa berulang.

Kredit : Dreaming Child

Ikuti panduan yang diberi dan dikongsikan oleh Dr Ezairy M. Sallih bagi mengelak bayi tersedak susu.

Tips bagi mengelak bayi tersedak susu:

1. Jangan beri susu ketika bayi kita sedang menangis dan meronta-ronta, sebaliknya tunggu bayi bertenang dan diam.

Cuba bertenang. Tenangkan kondisi bayi anda. Tarik nafas untuk dapatkan ketenangan. Apabila keadaan anak terkawal, barulah berikan susu kepadanya. Jangan kelam-kabut.

2. Pastikan bayi disusukan dengan kepalanya sedikit tinggi dan elakkan menyusu bayi dalam keadaan berbaring atau terlentang.

Ini adalah perkara penting bagi mengelak insiden yang tidak diingini daripada berlaku. Perkara ini nampak mudah, tetapi ramai pengasuh dan ibu bapa sering mengabaikannya. Bayi tidak boleh disusukan dalam keadaan berbaring atau terlentang.

Kredit : Siakap Keli

3. Jika bayi menyusu botol, pastikan saiz puting yang digunakan adalah saiz yang sesuai.

Saiz puting yang terlalu besar contohnya boleh menyebabkan lebihan susu keluar daripada puting. Saiz yang tidak sesuai dengan usia anak juga boleh menyebabkan bayi mudah tersedak, dan perkara ini boleh membahayakan jika tidak diambil serius.

4. Jangan biarkan bayi menyusu sendirian sekiranya mereka menggunakan botol.

Bayi yang sedang menyusu serta ditinggalkan tanpa pengawasan ibu bapa dan penjaga adalah amat berbahaya. Tambahan sekiranya bayi masih belum dapat memegang botol susu dan menyusu dalam keadaan berbaring. Risiko untuk tersedak susu adalah sangat tinggi.

5. Sekiranya bayi menyusu badan, pastikan ibu tidak tertidur dan membiarkan puting berada di dalam mulut bayi.

Kita semua tahu menjadi ibu yang baru melahirkan anak adalah satu perkara yang meletihkan, tambahan pula sekiranya seorang ibu itu bertanggungjawab mengurus rumahtangga dengan membuat pelbagai perkara lain di dalam rumah. Namun begitu, ketika tiba menyusukan bayi, para ibu perlu mengelakkan diri daripada tertidur. Pastikan bayi anda sudah kenyang menyusu dan tarik puting itu, bayi sudah ditepuk untuk disendawakan dan anda bolehlah tidur bersamanya sekira berasa keletihan.

Kredit : Siakap Keli

6. Jika bayi sering tersedak susu, bawalah anak anda berjumpa dengan doktor untuk rawatan lanjut.

Bawa bayi berjumpa dengan doktor pada kadar segera sekiranya anda melihat ada tanda-tanda tersedak susu dan masalah ini sering berulang di rumah. Ada beberapa keadaan yang boleh dipastikan oleh doktor apabila memeriksa seorang bayi yang sering mengalami masalah ini.

Apakah langkah yang perlu dilakukan sekiranya bayi tersedak susu?

Kredit : Dr Ezairy M.Sallih/ Facebook

a. Letakkan anak secara meniarap pada lengan dengan tangan memberi sokongan kepada kepala bayi.

b. Kepala anak diletakkan ke bawah daripada badan.

c. Berikan lima tepukan kuat pada bayi di antara tulang belikat.

d. Jikalau bayi masih mempunyai tanda-tanda tersedak susu atau objek tetapi masih lagi sedar teruskan dengan lima tepukan kuat atau ‘5 chest thrust’.

e. Pusingkan bayi secara menelentang dan dengan menggunakan dua jari, tekan dada bayi sebanyak lima kali di antara puting bayi.

f. Ulangi sehingga objek atau susu itu keluar.

g. Jika masih tidak bermaya dan tidak bernafas, hubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan dan berikan juga bantuan CPR.

Semoga para ibu bapa dan penjaga mendapat manfaat daripada panduan yang diberikan ini.

Sumber : Dr Ezairy M.Sallih/ Facebook, Siakap Keli

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds