JAKARTA- Gempa bumi yang kuat dengan magnitud 7.0 pada Skala Richter telah melanda Pulau Lombok Utara, Nusa Tenggara Barat, Indonesia pada Ahad, 5 Ogos jam 6.46 petang waktu tempatan. Gempa bumi yang kuat turut menggegarkan Bali dengan pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran tsunami singkat. Sekurang-kurangnya 91 angka korban telah dilaporkan setakat ini.

Kredit : Ahmad Subaidi/ Antara /BBC Indonesia

Agensi Meteorologi Indonesia telah mengesahkan kejadian gempa bumi berlaku lebih kuat, selepas seminggu yang berlaku di Pulau Lombok Timur pada 29 Julai dengan magnitud 6.4 Skala Richter yang telah mengorbankan 17 orang.

Menurut Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan Indonesia, ribuan mangsa telah meninggalkan kediaman masing-masing di Pulau Lombok dan berkumpul di kawasan terbuka yang menjadi tempat perlindungan kecemasan.

Kredit : Antara / BBC Indonesia

Gempa bumi telah mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan bangunan sehingga ke Denpasar di Bali, termasuk beberapa pusat membeli belah dan lapangan terbang. Menerusi beberapa rakaman video yang dimuat naik di halaman sosial, didapati orang ramai yang panik bertindak melarikan diri dan menjerit. Terlihat gegaran dan goncangan yang kuat pada bangunan dan kenderaan.

Kredit : ABC News

Menurut Ketua Bahagian Gempa, Harry Tirto, setakat 6 pagi Isnin, sebanyak 124 gempa bumi susulan telah direkodkan. Gempa susulan tertinggi setakat ini dicatatkan dengan magnitud 5.4 Skala Richter. Orang ramai telah dinasihatkan supaya tidak mendekati kawasan pantai ekoran amaran tsunami singkat. Amaran tsunami dikeluarkan ekoran gelombang ombak mencapai ketinggian 15 sentimeter di tiga buah kawasan.

Kredit : Ahmad Subaidi /Antara/ BBC Indonesia

Menurut laporan ABC News, seorang saksi di Kepulauan Gili berkata beberapa ribu orang dikatakan telah melarikan diri dan berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull telah menghubungi Presiden Indonesia, Joko Widodo untuk menawarkan bantuan yang perlu bagi membantu Indonesia menangani bencana tersebut.

Kredit : Sonny Tumbelaka/ AFP/ BBC Indonesia

Malcolm Turnbull membuat kenyataan dengan mengesahkan tiada laporan dari mangsa yang melibatkan warga Australia setakat ini. Namun mengesahkan ramai pelancong Australia berada di Lombok dan merasakan gegaran termasuk menterinya, Peter Dutton yang berada di Lombok kerana menghadiri persidangan menangani keganasan.

Peter Dutton dalam Twitternya berkata, delegasi Australia telah selamat dipindahkan dari hotel oleh pihak polis dan pihak berkuasa Indonesia serta berada dalam keadaan yang baik.

Kredit : ABC News

Laporan terkini Berita Harian melaporkan kira-kira 1,200 orang pelancong dan penduduk tempatan sudah dipindahkan dari Kepulauan Gili dengan baki 700 orang masih menunggu untuk dipindahkan. Beberapa hotel di pulau itu didapati telah rosak teruk akibat gempa bumi tersebut. Demikian menurut jurucakap agensi Pengurusan Bencana Negara Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho.

Kredit : Ahmad Subaidi /Antara/ Pos Kupang

Menurut Sutopo, tiada korban dan cedera yang membabitkan rakyat asing dilaporkan dalam kejadian gempa bumi kali ini. Katanya, “Proses mengumpul dan mengemaskini data mangsa sentiasa diteruskan dan jumlah kematian dijangka terus meningkat ekoran kerja mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan.”

Kredit : AFP

Indonesia sentiasa terdedah kepada kejadian gempa bumi dan letusan gunung berapi yang aktif kerana negara ini terletak di zon Lingkaran Api Pasifik. Gempa bumi sering berlaku di Indonesia dengan meragut jumlah korban nyawa yang tinggi.

Lihat video di bawah.

Kredit: Happy With You/Youtube

Kredit: Maryuni Style/Youtube

Kredit: Buletin TV3

Sumber : AFP, BBC Indonesia, ABC News, Express UK, Berita Harian, Siakap Keli, Buletin TV3Happy With You/YoutubeMaryuni Style/Youtube

 

Share
Kategori: Asia GLOBAL VIDEO

Video Popular

Ad will display in 09 seconds