Masalah datang lewat ke tempat kerja adalah isu yang sentiasa membelenggu masyarakat setiap hari. Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Career Builder di Amerika Syarikat mendapati bahawa sebanyak 16% pekerja akan lewat sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu manakala 27% lagi lewat sekurang-kurangnya sehari dalam sebulan.

Bagi menangani masalah tersebut, kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja perlu memainkan peranan masing-masing demi memelihara produktiviti syarikat dan juga tugasan. Pekerja haruslah berusaha sehabis mungkin bagi menjaga kualiti syarikat manakala majikan pula perlu sentiasa mendorong para pekerja dengan memberikan motivasi dan bertolak ansur.

Sebaiknya, majikan perlu mengambil inisiatif yang lebih ‘lembut’ dengan memahami masalah dan punca kelewatan seseorang pekerja berbanding terus memarahi atau menjatuhkan hukuman. Pekerja juga pada masa yang sama perlu memikul tanggungjawab yang besar dengan menaikkan nama syarikat di samping mencari rezeki untuk meneruskan hidup.

Cikgu Mohd Fadli Salleh telah kongsikan mengenai kisah antara majikan yang menghukum pekerjanya tanpa mempunyai sifat bertimbang rasa dan rasional. Semoga kisah berjudul Punch Card Merah ini dapat dijadikan pengajaran dan pedoman buat kita semua.

“Awak dah tiga kali lewat bulan ini. Bulan depan saya tukarkan punch card awak warna lain. Menandakan kehadiran awak dah tiga kali lewat!”

Kredit: Siakap Keli

Keras seorang guru besar memarahi guru ini. Guru ini hanya menunduk dan mengangguk sahaja dengan redha. Ya, dia terlambat 3 kali dan itu termaktub dalam peraturan. Dia akur tanpa bantahan.

Dalam mesyuarat, hal ini dibangkitkan dan mana-mana guru yang bertukar warna kad disindir-sindir dan diperli. Tidak komitmen dan tidak berdisiplin kata guru besar yang tegas ini.

Masa berlalu. Teraju bertukar tangan. Diganti oleh guru besar lain yang tegas juga dalam bicara dan kata-kata. Namun bila berhadapan, guru besar baharu ini sangat santun dan berlemah lembut. Nasihat yang baik diberi, bukan ugutan atau sindiran kasar.

Beberapa bulan kemudian, sekali lagi punch card guru ini berwarna merah. Empat kali dalam sebulan. Dia dah redha jika kad bertukar warna bulan hadapan.

Kredit: Maskulin

Bulan seterusnya, kad dia masih warna yang sama. Seolahnya dia tidak lewat melebihi tiga kali. Maka diberanikan diri bertanya kepada guru besar baru itu.

“Puan, bulan lepas saya lewat lagi empat kali. Kenapa punch card saya tidak diturunkan darjat menandakan saya pernah lewat?”

Guru besar itu tersenyum. Diarahkan kerani mengambil punch card guru ini. Lantas ditunjuk dan berkata:

“Cikgu, cikgu lihat punch kad cikgu. Benarlah ada merah empat kali menandakan lewat dari sepatutnya. Lihat merah yang pertama, masanya 7:21 minit. Hanya lewat satu minit sahaja. Lagi pun masa itu kelas belum bermula. Kelas bermula jam 7:30 pagi. Begitu juga tiga lagi kelewatan cikgu. Smeuanya tidak lebih dari 7:30. Maka saya maafkan.”

Kredit: Success Under Pressure

“Lagi pun pagi-pagi jalan depan sekolah memang jem. Cikgu pula turunkan anak dulu di pra sekolah. Saya percaya sebenarnya cikgu dah berada dalam kawasan sekolah sebelum jam 7:15 pagi lagi kan?”

Mendengarkan kata-kata yang dikeluarkan oleh guru besar itu, guru ini berasa amat terharu kerana memiliki majikan yang sangat prihatin dan bertimbang rasa serta memahami.

“Puan, terima kasih banyak atas pertimbangan puan. Benar apa yang puan cakap. Saya berada dalam kawasan sekolah kadangkala lebih awal, namun untuk punch card itu memakan masa atas pelbagai faktor.”

Sambung guru besar itu lagi…

“Adalah kejam bagi saya menghukum guru-guru di bawah saya hanya sekadar warna merah 3 ke 4 kali ini. Cuba awak perhatikan waktu awak pulang. Awak layak pulang seawal jam 1:00 petang. Namun, hampir setiap hari awak berkorban masa demi sekolah dan anak-anak didik sampai jam 2 ke 3 petang.”

Kredit: Open Access

“Lewat satu minit diganti dengan tambahan 2 ke 3 jam setiap hari adalah sesuatu yang mengagumkan saya. Cikgu tidak pernah membangkitkan pengorbanan cikgu berada lebih masa di sekolah. Apa perlu saya bangkitkan kelewatan satu minit atas faktor teknikal? Saya belum sezalim itu cikgu. Itu bukan cara saya mentadbir sekolah. Terus berikan yang terbaik cikgu ya!”

Ternyata, pendekatan kepimpinan yang dilakukan oleh guru besar tersebut mampu menyuntik semangat pekerjanya untuk menyumbangkan bakti dengan lebih gigih. Seorang pemimpin yang berjaya tidak perlu sentiasa memarahi, mencari kesalahan, memaksa dan mengugut pekerja. Tetapi, pemimpin yang bagus boleh dilihat melalui para pekerjanya.

Jika pekerjanya bahagia bekerja bersama, maka mereka akan sentiasa berada di belakang pemimpin dan sama-sama ‘membakar diri’ demi menerangi hidup generasi muda.

Sumber: Mohd Fadli Salleh, Siakap Keli

Era Baru

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds