Musim durian kini melanda seluruh negara dan bagi penggemar Raja Buah ini, dapat menikmati keenakan isi durian yang harum dan berlemak adalah satu nikmat dunia yang tidak dapat disangkalkan lagi.

Memandangkan musim durian kali ini sangat meriah dan harganya juga agak murah, ramai yang mula mengolah dan menghasilkan resipi-resipi daripada durian. Antaranya membuat tempoyak, serawa, aiskrim durian, dodol dan sebagainya.

Terbaru di Thailand, tular satu resipi yang unik dan sangat mengecurkan air liur peminat tegar buah durian iaitu Pengat Bebola Durian. Juadah ini dikatakan mendapat sambutan yang hangat daripada penduduk Thailand dan telah dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook bernama Puan Nurhazirah M.Yunus.

Bahan-bahannya:

  • Durian
  • Tepung pulut
  • Santan
  • Gula merah/Gula Melaka
  • Daun pandan

Cara membuatnya:

  • Ambil 7 hingga 8 ulas durian dan buang bijinya. Lenyekkan isi durian di dalam mangkuk

  • Kemudian, gaulkan bersama tepung pulut sehingga adunan bertukar menjadi doh. Jangan ditambah dengan air bagi mengekalkan rasa manis durian. Gaul sebati sehingga adunan tidak melekat pada tangan

  • Seterusnya, bentukkan adunan menjadi bentuk yang anda inginkan

  • Panaskan air dalam periuk sehingga mendidih. Setelah itu, rebuskan bebola durian tadi. Angkat bebola yang terapung di permukaan air dan toskan airnya. Ketepikan

  • Untuk membuat kuahnya pula, masakkan santan pada api perlahan bersama dengan dua helai daun pandan. Jika anda menggunakan santan kotak, gunakan separuh daripada kotak kecil sahaja dan tambahkan sedikit air
  • Tambahkan dua ulas isi durian ke dalam kuah bagi mendapatkan perisa durian yang lebih kuat

  • Kemudian, maniskan kuah dengan sedikit gula merah atau gula melaka

  • Masukkan bebola durian yang telah siap direbus dan masak sehingga kuah mendidih

Resipi Pengat Bebola Durian kini siap untuk dijamu kepada keluarga tersayang. Anda juga boleh menyejukkan hidangan ini di dalam peti sejuk. Selamat mencuba!

Sumber: Puan Nurhazirah M.Yunus

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Resipi

Video Popular

Ad will display in 09 seconds