PUTRAJAYA – Pada 30 Julai ini, pihak kerajaan akan membentangkan laporan penuh berkaitan hasil siasatan tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370 kepada semua ahli keluarga, waris mangsa serta masyarakat umum.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, pembentangan laporan tersebut turut akan diumumkan secara terperinci kepada ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada keesokan harinya, 31 Julai 2018.

Kredit: Malaysia Gazette

“Kabinet Rabu lalu meluluskan permohonan saya untuk bentang laporan MH370 kepada keluarga mangsa dan umum. Ketika ini, keluarga dan waris mangsa sudah dihubungi bagi menghadiri taklimat tertutup pembentangan itu pada pagi 30 Julai.”

Tambah Anthony lagi, “Pembentangan akan dilakukan oleh Ketua Penyiasat Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH370, Datuk Kok Soo Chon dan beliau akan memberikan sidang media pada sebelah petang selepas pembentangan itu.”

Anthony turut menegaskan bahawa segala informasi mengenai siasatan kehilangan pesawat MH370 itu akan didedahkan sepenuhnya tanpa menyembunyikan sebarang maklumat.

Kredit: mStar

“Kita juga akan buat cetakan 1,000 naskhah laporan itu dengan keluarga dan waris mangsa akan diberikan satu set laporan beserta lampiran data. Media yang hadir bagi sidang media juga akan diberikan satu set laporan selain laporan sama turut diberikan kepada semua kedutaan asing di negara ini.”

“Bagi masyarakat umum, laporan boleh diakses menerusi laman web kementerian pada hari sama selepas taklimat kepada keluarga dan waris mangsa.”

Kredit: Reuters

Pesawat MH370 dilaporkan hilang dari radar pada tanggal 8 Mac 2014 dan sehingga kini masih belum berjaya ditemui lagi, Pesawat yang membawa 239 penumpang termasuk anak kapal itu dilaporkan sedang membuat perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Sumber: BH OnlineReuters, mStar, Bernama News Channel/Facebook

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds