KUALA LUMPUR — Kerajaan akan memperkenalkan semula cukai jualan & perkhidmatan (SST) di mana 6% dikenakan terhadap cukai perkhidmatan. Manakala cukai jualan sebanyak 10%, menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata bahawa SST akan dilaksanakan pada 1 September jika akta tersebut diluluskan selepas dibentang di Parlimen bulan depan.

“Kerajaan mengalami kerugian hasil sebanyak RM21 bilion setiap tahun jika kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah 0%. Sebaliknya, pengenalan semula SST, kenaikan harga minyak dan dividen daripada syarikat akan menambahkan hasil kerajaan persekutuan pada tahun 2018.” jelas Lim.

“Ia merupakan kadar yang sama dikenakan sebelumnya. Ia bagi mengisi kembali jurang yang ditinggalkan oleh GST. Selain itu, hasil kerajaan sebanyak RM21 bilion dapat dipenuhi dalam tempoh setahun.

“Inilah saatnya kita patut mengurangkan pembelanjaan dan ketidakcekapan dengan membuat simpanan,” tambahnya.

Lim berharap agar usaha ini disokong oleh orang ramai dan pengusaha-pengusaha syarikat di luar sana.

Hal ini kerana hasil cukai berkenaan digunakan untuk membiayai pembangunan dan pentadbiran negara selain turut mengurangkan ketidaksamaan yang wujud dalam kalangan masyarakat. “Cukai yang kami kenakan adalah perlu untuk membantu menyelamatkan negara.”

“Kita akan menggunakan cara lebih bertoleransi. Ini bukan bermaksud kerajaan tidak tegas dalam mengutip cukai sebaliknya kita akan serahkan kepada undang-undang sekiranya mereka tidak mahu membayar cukai,” katanya.

“Sebagai contoh, jika sesetengah syarikat tidak mampu membayar cukai pada tahun ini dan berniat untuk menangguhkan bayaran pada tahun hadapan, pegawai yang diberikan tanggungjawab perlulah bersikap fleksibel. Ia boleh dibincang tetapi secara bersih. Bukannya memberi rasuah. Menjalankan kerja dengan ‘bersih’ adalah amat penting. Ia perlu dilakukan di pejabat LHDN pada waktu pejabat dan bukannya diluar waktu pejabat,” jelasnya lagi.

Lim berharap agar pelaksanaan cukai oleh kerajaan akan mencerminkan ketelusan terhadap penggunaan hasil cukai terbabit supaya rakyat dapat membayarnya dengan rela tanpa sebarang kemusykilan. “Hasil cukai akan digunakan untuk memberi manfaat kepada rakyat. Sudah terbukti bahawa jika rakyat mempercayai kerajaan menggunakan hasil cukai dengan betul, maka rakyat akan membayar lebih. Harapnya keadaan ini dapat dikekalkan,” akhirinya.

Sumber: NST Online/The Star Online/Bernama News Channel(Facebook)

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: BISNES Ekonomi NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds