Semakin tua bumi ini, semakin ramai individu yang melakukan kesalahan jenayah sama ada kecil mahupun ringan sehingga terpaksa meringkuk di dalam penjara. Menurut Institut Penyelidikan Polis Jenayah, terdapat lebih 10.35 juta individu sedang dipenjarakan di seluruh dunia termasuk yang ditahan reman atau mereka yang pernah melakukan jenayah dan disabitkan kesalahan.

Pada tahun 2000, jumlah keseluruhan banduan wanita telah meningkat sebanyak 50% manakala bagi banduan lelaki pula, populasinya meningkat sebanyak 18%.

Tetapi tahukah anda, bukan semua penjara di dunia hanya melibatkan bilik yang kecil, jaring besi dan tempat tidur yang keras. Ada juga penjara yang menyediakan kemudahan tertentu kepada banduannya seperti akses kepada peralatan muzik, permainan video selain menyediakan tisu tandas untuk kegunaan peribadi masing-masing.

Artikel ini akan mendedahkan pelbagai penjara di seluruh dunia yang menawarkan layanan tertentu kepada para banduan.

#1. Penjara Aranjuez, Sepanyol

Kredit: Associated Press,usatoday30

Penjara ini membenarkan pasangan dan anak-anak kepada banduan untuk tinggal bersama ahli keluarga mereka yang sedang dalam tahanan. Dengan hiasan dinding bertemakan karakter Disney, kemudahan nurseri dan juga taman, tujuan penjara ini ditubuhkan adalah bagi mengelakkan anak kecil untuk mengetahui bahawa ibu atau bapa mereka sebenarnya dipenjarakan.

#2. Penjara Bastøy, Horten, Norway

Kredit: Marco Di Lauro,Bastøy prison

Penjara ini adalah penjara yang paling rendah kawalan keselamatannya di Norway. Terletak di kepulauan Bastøy di Oslo Fiord, penjara ini menggunakan keseluruhan kawasan pulau untuk menempatkan para banduan.

Penjara ini turut menyediakan komuniti kecil dengan membina 80 buah bangunan, jalan raya, zon pantai, lanskap kebudayaan, padang bola, ladang dan juga hutan. Selain berfungsi sebagai penjara, kawasan ini juga mempunyai kedai, perpustakaan, pusat perkhidmatan kesihatan, gereja, sekolah dan sebagainya sedangkan para penghuninya merupakan pembunuh dan perogol.

#3. Penjara Luzira, Kampala, Uganda

Kredit: NTVUganda,Wikipedia

Di Luzira, semua banduan diterapkan dengan nilai kebertanggungjawaban untuk mengekalkan keharmonian di samping diarahkan untuk bercucuk tanam serta menyediakan makanan secara bersama.

Mereka turut menggalakkan sesama banduan untuk mempelajari pelbagai kemahiran seperti pertukangan.

#4. Penjara Wanita di San Diego, Cartagena, Colombia

Kredit: Jan Banning,foxnews

Banduan wanita dapat menikmati waktu malam yang menyeronokkan di Interno, sebuah restoran di penjara berkenaan dengan menjadi tukang masak, pelayan mahupun mencuci pinggan mangkuk.

Daripada hampir 180 banduan, seramai 25 daripada mereka yang bakal dibebaskan telah dipilih untuk menyertai program ini dengan harapan untuk memudahkan proses apabila mereka keluar dari penjara kelak. Kebanyakan banduan wanita di sini dipenjarakan atas kesalahan mencuri, penjualan dadah dan juga peras ugut.

#5. Penjara Halden, Norway

Kredit: Knut Egil Wang,The New York Times

Penjara Halden mempunyai tahap keselamatan yang paling tinggi di Norway. Ia terdiri daripada tiga unit dan menempatkan ramai banduan dari seluruh dunia. Penjara kedua terbesar di Norway ini telah ditubuhkan pada tahun 2010 dengan memfokuskan kepada proses pemulihan.

Dengan menyediakan pelbagai aktiviti kesukanan dan membolehkan banduan menikmati akses muzik selain berinteraksi dengan warden yang tidak bersenjata, banduan di Penjara Halden dapat menikmati kehidupan seperti di dunia luar.

#6. Penjara Norgerhaven, Veenhuizen, Belanda

Kredit: ANP,Norwegian Correctional Service

Kehidupan banduan di penjara ini agak selesa kerana diberikan kemudahan seperti katil, perabot, peti sejuk, televisyen serta bilik mandi. Bagaimanapun, kadar jenayah di Belanda adalah sangat rendah sekali gus membuatkan penjara ini mengalami ‘kekosongan’.

Justeru, pada tahun 2015, pihak penjara telah mencapai persetujuan bersama Norway untuk menghantar banduan dari negara Norway untuk mendapatkan hukuman di penjara ini.

#7. Penjara Onomichi, Jepun

Kredit: Prison Photography,Washington Post

Di Jepun, penjara ini menempatkan para banduan yang sudah berumur. Untuk itu, mereka mempunyai akses kepada kemudahan tongkat, makanan yang bersifat lembut dan mudah dicernakan selain menghabiskan masa masing-masing dengan menjahit serta mengait.

#8. Penjara Otago, Milburn, New Zealand

Kredit: Stephen Jaquiery,Otago Daily Times

Penjara ini turut mendapat gelaran ‘Milton Hilton’ kerana menyediakan ruang eksklusif serta mewah kepada para banduan. Bilik ini lebih kelihatan seperti bilik remaja dan membuatkan banduan lebih terbuka untuk menjadi ahli komuniti.

#9. Penjara HMP Addiewell, Lothian, Scotland

Kredit: Lorenzo Dalberto,hmpaddiewell

HMP Addiewell adalah sebuah penjara yang ditubuhkan untuk mendidik para banduan. Antara aktiviti yang disediakan adalah kaunseling, pekerjaan dan juga pembelajaran. Malah, banduan turut dibenarkan untuk menghubungi keluarga masing-masing dan ianya penting sebagai salah satu proses pemulihan diri.

#10. Penjara Champ-Dollon, Geneva, Switzerland

Kredit: swissinfo

Dibuka pada tahun 1977, fungsi utama penjara ini adalah untuk menahan ara banduan sebelum dibicara dan dijatuhkan hukuman. Namun, disebabkan berlaku lambakan serta peningkatan kes jenayah, penjara ini mengalami kesesakan penghuni yang kronik.

Pada tahun 2010 sahaja, sebanyak 115 kewarganegaraan telah dimasukkan ke penjara ini dengan hanya 7.2% daripadanya adaah banduan daripada Switzerland.

Sumber: Bored Panda

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds