Dengan kecanggihan teknologi automobil, kini kita mempunyai pilihan untuk memiliki kereta dengan sistem tanpa kunci. Kita hanya perlu mengaktifkan sistem ini dan menggunakan pencucuh penekan butang untuk menghidupkan enjin kereta. Memasuki kereta dan menguncinya secara automatik telah menjadi perkara biasa bagi mereka yang berkemampuan memiliki kereta dengan sistem ini.

Namun begitu, kemudahan dan kecangggihan teknologi ini telah diambil kesempatan oleh para penjenayah dan kini pemilik kereta dengan sistem tanpa kunci mempunyai risiko yang tinggi dan terdedah menjadi mangsa kecurian kereta. Rakaman video di bawah adalah buktinya.

Kredit :  Youtube

Dalam kejadian pada hari Khamis (12 Julai 2018), sebuah kereta dengan sistem tanpa kunci telah dicuri oleh seorang penjenayah dan penggodam sistem kereta di waktu siang hari dalam jangka masa hanya 30 saat. Kereta Toyota Camry milik seorang lelaki telah dibawa lari dengan mudah semasa ia baru diletakkan di hadapan sebuah restoran di Kepong.

Dalam rakaman video CCTV, kelihatan pencuri tersebut yang berpura-pura sedang bercakap dengan telefon pintarnya, telah menggunakan alat penggodam berfrekuensi yang berada di tangannya sambil berlegar-legar di hadapan kereta tersebut. Selepas berjaya menggodam dan membuka pintu kereta tersebut, dengan lagak selamba dan licik, pencuri ini telah memasuki kereta dan membawanya lari dengan memecut laju.

Kredit :  Youtube

China Press melaporkan, anak perempuan pemilik kereta itu berkata, bapanya sedang makan di restoran berkenaan apabila kejadian berlaku. Mangsa baru sahaja berada di restoran tersebut selama 20 minit, dan kemudian berasa amat terkejut apabila mendapati keretanya yang diletakkan di hadapan restoran tersebut telah tiada. Mangsa kemudian telah membuat laporan polis berikutan insiden kecurian kereta tersebut.

The Straits Times dalam laporannya pada awal tahun ini, memetik pencuri kereta kini dengan mudah boleh memecah masuk sebuah kereta dengan sistem tanpa kunci, dengan hanya menggunakan satu alat penggodam berfrekuensi untuk memecah kod sistem kereta dan ia berada di pasaran dengan harga di antara RM50 ke RM150 sahaja. Alat ini berupaya membuka pintu kereta dan menghidupkan enjinnya dengan menggodam informasi pengecaman frekuensi radio (RFID).

Bagi pemilik kereta dengan sistem tanpa kunci, diharap anda lebih berwaspada dan di bawah adalah beberapa langkah bagi mencegah atau mengelak kereta anda daripada menjadi sasaran pencuri kereta.

1. Pasang alat keselamatan yang memerlukan halangan fizikal untuk dibuka.

Kredit :  Lazada

Cuba anda kembali semula ke zaman silam dengan membeli pengunci stering yang biasa digunakan sebagai alat keselamatan dan kecurian kereta. Dengan cara ini, walaupun pencuri dapat memasuki kereta dan menghidupkan enjin, tetapi dia akan mengambil masa yang lama untuk membuka pengunci stering kereta atau langsung tidak boleh memandu kereta tersebut. Penjenayah akan berfikir dahulu untuk memasuki kereta yang dikunci dengan pengunci stering kerana ia akan membuang banyak masa mereka ketika mencuri.

2. Pasang alat pengesan dan penjejak kenderaan di dalam kereta.

Kredit :  Evo GPS Tracker

Dengan memasang alat penjejak kenderaan, ia boleh membantu anda menjejak lokasi di mana kereta anda berada walaupun ia telah dicuri. Alat penjejak ini berfungsi sama seperti alat dengan sistem GPS yang biasa, supaya anda akan menyedari kereta anda tidak berada di tempat yang biasa anda meletaknya, sekiranya ia dicuri.

3. Gunakan kantung penghalang isyarat untuk kekunci fob.

Kredit :  Amazon.com

Anda boleh mencuba dan membeli kantung Faraday untuk menyimpan kekunci fob kereta anda. Kantung Faraday mengandungi alat untuk menghenti dan menghalang sebarang isyarat yang tidak diingini untuk memecahkan kod yang terdapat di dalam kekunci fob anda, sekaligus ia akan menghalang sebarang cubaan penjenayah untuk mengesan dan menggunakan isyarat tersebut untuk memecah masuk kereta anda.

4. Matikan pengaktifan sistem memasuki kereta tanpa kunci.

Kredit :  Newsonia

Sekiranya anda merasakan kesemua kaedah di atas tidak berkesan, anda boleh menghubungi pengedar kereta untuk memastikan sebarang perisian dan sistem di dalam kereta anda sentiasa dikemas kini dan berada dalam keadaan terkini, oleh kerana pada masa ini para pembuat kereta sedang berusaha keras untuk mencipta satu sistem keselamatan kereta yang selamat daripada kejadian kecurian. Pastikan anda memeriksa dan melihat sama ada sistem tanpa kunci itu boleh dimatikan dan dihidupkan seperti mana yang dikehendaki oleh anda.

Diharap pemilik kereta dengan sistem tanpa kunci sentiasa berhati-hati dan tidak cuai menjaga kereta masing-masing kerana para penjenayah di luar sana sentiasa mengambil kesempatan dan melihat peluang untuk melakukan jenayah kecurian.

Lihat video kecurian kereta yang licik dalam masa 30 saat di bawah:

Sumber : Youtube /World of Buzz

Era Baru

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds