10 Julai lalu merupakan tarikh yang penuh bermakna apabila kesemua 12 pemain bola sepak remaja dan jurulatih mereka yang terperangkap selama 18 hari di dalam gua Tham Luang akhirnya berjaya dibawa keluar dengan selamat.

Kredit: SAYS

Operasi penyelamatan yang berlangsung selama tiga hari ini berjaya mencuri tumpuan dunia selain melibatkan lebih daripada 100 individu yang berusaha sehabis baik demi memastikan kesemua mangsa diselamatkan daripada gua berkenaan.

Antara anggota penyelamat yang tidak henti-henti bekerja keras dalam misi tersebut adalah 13 penyelam antarabangsa, lima penyelam Thailand, lima penyelam SEAL dan juga beberapa pakar gua sama ada dari dalam mahupun luar negara Thailand.

Kredit: SAYS

Walaupun misi ini telah diselesaikan, wajarlah bagi kami untuk kongsikan kepada anda semua beberapa sukarelawan yang turut sama menghulurkan bantuan dalam memastikan operasi menyelamat berjalan dengan lancar. Individu-individu ini bukanlah terlibat secara langsung dalam misi tersebut, tetapi tindakan murni mereka yang wajar dijadikan contoh kepada kita semua.

#1 Rawinmart Luelert

Kredit: BBC News / YouTube

Wanita ini secara sukarela menyumbangkan bantuan dengan mengutip pakaian seragam pasukan penyelamat untuk dibasuh dan dibersihkan. Tindakan ini dilakukan setelah beliau berasa tersentuh melihat gambar anggota penyelamat yang tetap memakai pakaian kotor mereka selepas empat hari bekerja tanpa henti.

Rawinmart dikatakan akan mengambil pakaian kesemua anggota penyelamat yang terlibat pada waktu malam untuk dibasuh sebelum menghantar kesemua pakaian itu pada keesokan harinya.

Kredit: BBC News / YouTube

“Nasib baik kami mempunyai pekerja, sukarelawan dan rakan yang boleh bekerja sepanjang malam,” kata Rawinmart kepada BBC.

Sementara itu, Rawinmart turut dibantu oleh Suwan Kankeaw yang bertanggungjawab dalam membersihkan pakaian penyelam Tentera Laut Amerika Syarikat.

“Saya tidak mempunyai keupayaan untuk membantu kanak-kanak tersebut keluar secara langsung. Tetapi, apa yang saya boleh lakukan ialah mencuci pakaian ini”.

#2 Doonnia Kakakhen

Kredit: BBC News / YouTube

Semasa peringkat awal operasi penyelamatan tersebut dijalankan, Doonnia sudah nekad untuk menyediakan juadah halal kepada semua anggota penyelamat. Pada awalnya, Doonnia menghidangkan kira-kira 100 hidangan.

Doonnia kemudiannya mengambil keputusan untuk menggandakan jumlah hidangan setelah mendapati terdapat beberapa kakitangan beragama Islam.

“Kadang-kadang jika saya membuat hidangan khas seperti briyani atau kari, saya membuat lebih banyak supaya semua orang boleh makan, bukan hanya Muslim”.

Kredit: BBC News / YouTube

Pada masa yang sama, seorang lagi tukang masak beragama Islam iaitu Sophia Thaianant turut memasak hidangan halal kepada semua anggota penyelamat. Sophia memaklumkan bahawa dia menerima sumbangan daripada orang Islam di Mae Sai dan juga individu beragama lain di seluruh Thailand.

“Masyarakat Muslim dan Buddha di Chiang Rai dan di tempat lain telah bersatu dan kami berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk melihat misi ini berjaya”.

#3 Sitthisak Sawanrak

Kredit: BBC News / YouTube

Sitthisak merupakan seorang sukarelawan yang memainkan peranan dalam membawa sesiapa sahaja yang ingin ke kawasan gua berkenaan dengan menggunakan motosikal secara percuma. Menurut Sitthisak, dia mengenali salah seorang kanak-kanak yang terperangkap dan merasa bertanggungjawab untuk menghulurkan bantuan dalam apa jua cara sekali pun.

Kredit: BBC News / YouTube

“Semua orang dari bandar ini menganggap kanak-kanak itu sebagai ahli keluarga mereka sendiri. Jadi, kami tidak berfikir dua kali untuk memberikan wang atau masa untuk membantu mereka keluar”.

#4 Raja Thailand, Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun

Kredit: LA Times

Raja Thailand turut memainkan peranan yang penting dengan mengarahkan penghantaran makanan melalui lori pada setiap pagi untuk membolehkan sukarelawan memasak makanan itu dan dijamukan kepada pasukan penyelamat.

Kredit: Kompas

“Kami sangat gembira kerana Raja bimbang tentang operasi menyelamat ini,” ujar salah seorang sukarelawan, Rattanaporn Tupbumrung.

Kredit: Twitter

Di samping itu, Raja Thailand turut menyediakan beberapa buah khemah di luar kawasan gua tersebut. Khemah-khemah itu dikatakan menyediakan perkhidmatan menggunting rambut dan mengurut serta bantuan kesihatan secara percuma.

Mulia sungguh hati mereka-mereka ini. Semoga kita juga dapat menunjukkan nilai murni yang sama kepada mana-mana individu yang memerlukan.

Sumber: SAYS

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL INSPIRASI VIDEO

Video Popular

Ad will display in 09 seconds