Bermula hari ini, 12 Julai, Kementerian Pengangkutan (MoT) akan mengawal selia industri e-hailing dan semuanya akan tertakluk kepada syarat pelesenan yang sama seperti pemandu teksi.

Kredit: Malay Mail

Dalam satu sidang akhbar pada Rabu (11 Julai) yang lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata bahawa langkah yang diambil ini bertujuan untuk memberi kesaksamaan kepada industri teksi dan industri e-hailing agar kedua-duanya mempunyai persaingan yang sihat dan mampu memberi manfaat kepada pengguna secara sama rata.

Berdasarkan tinjauan dan penyelidikan, kerajaan telah memutuskan untuk tidak melarang perkhidmatan e-hailing dijalankan kerana 52% daripada 46,000 responden mengesahkan bahawa mereka lebih memilih perkhidmatan e-hailing berbanding perkhidmatan teksi. Sehingga hari ini, terdapat kira-kira 200,000 pemandu e-hailing aktif berbanding dengan 67,000 pemandu teksi di negara ini.

Kredit: Astro Awani

Selepas mengambil kira banyak aduan dari pemandu teksi dan pemandu e-hailing, MoT telah memutuskan untuk mengenakan syarat yang sama kepada perkhidmatan e-hailing di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017.

Syarat yang dikenakan kepada syarikat e-hailing termasuklah:

  1. Pemandu atau syarikat pengurusan perkhidmatan e-hailing perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
  2. Syarikat e-hailing mesti mendaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan membayar fi yang ditetapkan.
  3. Semua jenama kenderaan boleh digunakan untuk perkhidmatan e-hailing selagi ianya mempunyai taraf tiga bintang oleh ASEAN NCAP.
  4. Kenderaan e-hailing mesti menjalani pemeriksaan PUSPAKOM secara berkala sekurang-kurangnya sekali setahun untuk kenderaan berdaftar yang berusia lebih dari tiga tahun (akan dikenakan caj RM55 untuk setiap pemeriksaan).
  5. Pemandu perlu memohon lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan diperiksa rekod jenayah.
  6. Pemandu, penumpang dan pihak ketiga mestilah mempunyai perlindungan insurans.
  7. Pemandu perlu menghadiri kursus selama 6 jam (dengan bayaran RM200) sebelum mereka boleh menerima penumpang.

Kredit: imoney

Ini pula kesan syarat baharu yang dikenakan kepada penumpang dan pemandu

  1. Komisen maksimum 10% boleh dikenakan untuk perkhidmatan e-hailing yang disediakan oleh pemandu teksi.
  2. Komisen maksimum 20% boleh diambil dari pemandu e-hailing yang menggunakan kenderaan persendirian.
  3. Harga lonjakan (surge pricing) akan ditetapkan pada dua kali jumlah tambang maksimum.
  4. Penumpang atau pemandu perlu memuat naik gambar IC atau pasport untuk mendaftar sebagai pengguna untuk melindungi keselamatan pemandu e-hailing.

Disamping itu, Loke menambah bahawa pemeriksaan meter untuk teksi akan dikurangkan kepada setahun sekali berbanding dua kali setahun sebelum ini. Pemandu teksi yang ingin menyertai industri e-hailing pula akan dibantu oleh kerajaan dengan pemberian geran.

Kredit: LCCT

Beliau turut berkata bahawa MoT kini sedang meneliti aduan yang mengatakan Grab sedang memonopoli pasaran tetapi mereka masih belum mencapai sebarang kesimpulan.

Semua syarat baharu ini berkuatkuasa mulai 12 Julai, tetapi moratorium selama satu tahun akan diberikan kepada pemandu dan syarikat untuk mematuhi syarat baharu yang ditetapkan.

Era Baru

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds