Hari ini, 10 Julai 2018 merupakan tarikh bagi ulang tahun kelahiran Perdana Menteri kesayangan rakyat, Tun Dr Mahathir Mohamad. Di usia 93 tahun, negarawan ini kelihatan masih gagah untuk melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai pemimpin negara sekali gus berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang baharu dari pelbagai aspek.

Di tarikh yang penuh bermakna ini, anak beliau iaitu Marina Mahathir telah memuat naik satu entri di Facebook pada tengah malam tadi untuk menyampaikan ucapan hari jadi yang sangat penuh dengan kasih sayang serta penghormatan.

Dalam tempoh tidak sampai 12 jam (sehingga artikel ini ditulis), entri berkenaan telah pun mencapai lebih daripada 21,000 jumlah ‘like’  dan hampir 6,000 kali perkongsian!

Kredit: Facebook

“Selamat hari lahir yang ke-93 kepada bapa kesayanganku. Tiada siapa yang betul-betul tahu apa yang diperlukan untuk kembali bertarung demi menyelamatkan Malaysia tercinta. Saya bangga dengan banyak perkara yang ayah telah capai tetapi tiada yang lebih membanggakan daripada melihat ayah masih sanggup mendengar dan belajar daripada rakan sekerja yang baharu.”

Marina turut memasukkan beberapa tanda pagar (hashtag) yang mengharapkan bahawa dia juga akan mewarisi kekuatan dan semangat bapanya demi negara ini.

Pada masa yang sama, para netizen turut mengambil kesempatan untuk memberikan ucapan ulang tahun kepada Perdana Menteri. Rata-ratanya melontarkan rasa kagum dan bangga mereka terhadap pemimpin negara itu.

Kredit: Facebook

“Selamat ulang tahun Tun. Terima kasih kerana sanggup mengambil cabaran demi menyelamatkan Malaysia. Kami mungkin tidak akan bersetuju dengan setiap langkah yang Tun ambil, tetapi saya percaya Tun mempunyai alasan yang rasional. Kami akan terus menyokong Tun untuk mencapai visi yang lebih besar,” komen salah seorang pengguna Facebook.

Seorang lagi netizen menulis, “Selamat hari jadi kepada bapa anda, Marina. Terima kasih kerana sudi kongsikan beliau dengan 32 juta rakyat. #bapakitasemua”.

Kami di Era Baru turut ingin mengambil kesempatan ini dengan mengucapkan Selamat Ulang Tahun Kelahiran yang ke-93 kepada Tun. Semoga Tun terus diberkati dan dipanjangkan umur demi keluarga, agama, bangsa dan rakyat.

Sumber: Facebook

Era Baru

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds