KUALA LUMPUR – Tabung Solidariti Bebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak yang diwujudkan sejak 4 Julai yang lalu telah berjaya mengumpul jumlah wang kutipan sebanyak RM489,166 setakat pukul 10 pagi, 9 Julai 2018. Pada jam 10.04 pagi, baki jaminan berjumlah RM500,000 daripada ikat jamin berjumlah RM 1 juta telah diserahkan oleh anak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kredit : AFP

Malaysia Kini melaporkan Nooryana Najwa Najib dan adik lelakinya, Noorashman Najib tiba di mahkamah pada jam 10.04 pagi untuk melunaskan jumlah baki jaminan tersebut yang telah ditetapkan tempoh sehingga jam 3 petang, Isnin, 9 Julai 2018 (hari ini) oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Sofian Abdul Razak pada 4 Julai yang lalu.

Kredit : Malaysia Kini

The Star melaporkan, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor kemudian tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 11.43 pagi dan telah disapa dan disorak oleh para penyokong dengan laungan , “Bebas Najib”.

Datuk Seri Najib Razak telah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Julai yang lalu terhadap tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta. Separuh jumlah ikat jamin berjumlah RM500,000 telah dibayar secara tunai pada 4 Julai yang lalu oleh dua penjamin yang merupakan anak Datuk Seri Najib, Nooryana Najwa dan Noorashman.

Kredit : NSTP/Luqman Hakim Zubir

Malay Mail melaporkan melalui kenyataan Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Razlan Rafii, Tabung Solidariti Bebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak yang ditubuhkan telah mencapai objektifnya iaitu bagi membayar baki wang jaminan bekas Perdana Menteri itu dan ia telah mencukupi.

Menurutnya, “Bukan sahaja ahli UMNO dan orang ramai yang telah menyumbang, tetapi kita juga telah mendapat derma daripada rakan di Singapura, Brunei dan Indonesia. Mereka yang menyumbang merasakan sudah tiba masa untuk membalas jasa Datuk Seri Najib yang banyak membantu mereka seperti memberi rumah PPRT dan BR1M.”

Kredit : Malaysia Kini /Alyaa Alhadjri

Kelmarin, beberapa pemimpin dan ahli Wanita UMNO telah menyerahkan sumbangan mereka yang bernilai RM261,286 bersama dua utas gelang tangan kepada bekas Perdana Menteri itu bagi tujuan mencukupkan jumlah wang jaminan tersebut.

Antara yang hadir semasa menyerahkan sumbangan tersebut ialah Nurulhidayah Ahmad Zahid yang merupakan anak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang telah memuat naik pertemuan bersama bekas Perdana Menteri dan isterinya itu di dalam akaun Instagramnya. Dalam rakaman tersebut, Datuk Seri Najib telah menyatakan perasaan terharunya atas sumbangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Wanita Umno.

Kredit : Berita Harian

Nurulhidayah menulis, “Bagi saya, biarlah beliau diadili di mahkamah dengan seadil-adilnya. Suka atau tidak, perlu diakui beliau pernah menjadi Perdana Menteri yang telah sedaya upaya berkhidmat untuk kita semua. Ada pun khilaf yang berlaku, tidak layak untuk kita menghukum, apa lagi menghina.”

Tulis Nurulhidayah lagi, “Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban yang ditanggung Najib sekeluarga.”

Manakala FMT melaporkan Ketua Wanita Umno, Dr Noraini Ahmad pula berkata, “Saya berasa bangga dan tersentuh dengan pengorbanan yang telah dilakukan oleh ahli Wanita UMNO untuk membantu Datuk Seri Najib.” Menurutnya lagi, sumbangan itu telah dikumpul oleh ahli sayap di seluruh negara.

Sumber : Malaysia Kini/The Star/ Malay Mail/FMT/SAYS

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL VIDEO

Video Popular

Ad will display in 09 seconds