Masyarakat Malaysia baru-baru ini dikejutkan dengan perkahwinan antara lelaki berasal dari Gua Musang berumur 41 tahun, Che Abdul Karim Che Abdul Hamid dengan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun berasal dari Thailand. Sememangnya perkara itu menerima perhatian dan ketidak puasan hati orang ramai yang mahukan tindakan undang-undang dikenakan kepada Che Abdul Karim kerana mengahwini kanak-kanak.

Kredit: NST

Organisasi tempatan seperti Sisters in Islam (SIS) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) juga sangat menentang perkahwinan berkenaan dan di samping menegaskan bahawa perkahwinan melibatkan kanak-kanak bawah umur perlu diharamkan di negara ini dan pihak mahkamah juga tidak seharusnya memberi persetujuan untuk perkahwinan sebegitu.  

Menurut New Straits Times, “SUHAKAM sangat terkesan dengan aktiviti pedofilia di Malaysia yang boleh disahkan dengan ikatan perkahwinan antara orang dewasa dan kanak-kanak, dengan persetujuan hakim Mahkamah Syariah atau Ketua Menteri atau Menteri negeri, seterusnya menggalakkan keganasan seksual terhadap kanak-kanak.”

“Kami gusar sekiranya justifikasi agama menyokong perkahwinan sebegini mengikut undang-undang mungkin digunakan bagi melindungi golongan pedofilia dan jenayah seksual membabitkan mangsa perkahwinan di bawah umur. SUHAKAM juga percaya bahawa tiada usaha bersepadu dalam menghentikan perkahwinan kanak-kanak bawah umur dan toleransi sifar perkahwinan kanak-kanak mesti dikuatkuasakan di setiap lapisan masyarakat,” menurut kenyataan SUHAKAM.

Kredit: NST

Mengulas mengenai isu itu, Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan bahawa Che Abdul Karim sedang disiasat oleh pihak berkuasa di bawah Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 atas kesalahan ‘sexual grooming’.

Dalam pada itu, Mahkamah Syariah Gua Musang dilaporkan telah mengenakan denda kepada Che Abdul Karim kerana berkahwin dan mempunyai perkahwinan poligami tanpa izin mahkamah. Kedua-dua pertuduhan membawa kepada denda RM900 setiap satunya. Hal ini bermakna dia perlu membayar RM1,800.

Lelaki berusia 41 tahun itu mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut, yang dibuat di bawah Seksyen 19 dan Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan (No 6) 2002. Setiap caj tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau hukuman penjara sehingga 2 bulan.

Era Baru

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds