Kita sedia maklum dengan beberapa kes sardin dalam tin keluaran luar negara yang mengandungi cacing dan meragukan cara pembuatannya walaupun terpampang logo ‘Halal’ di atas label tin. Kini ramai yang berasa geli dan was-was untuk memakan sardin di dalam tin dan telah berhenti membelinya.

Jadi, bagi mereka yang masih teringin memakan sardin tetapi tidak mahu membeli sardin di dalam tin, resipi sardin buatan tangan sendiri ini mungkin satu penyelesaian terbaik buat anda yang suka memasak di rumah. Dijamin bersih dan lebih berkhasiat. Apa kata anda mencuba resipi ini dengan cara-caranya di bawah :

Bahan-bahan

Ikan Sardin yang dipilih dan dibeli di pasar.

Bawang besar

Bawang putih

Tomato

Cili merah

Cara-cara

1.Cuci Ikan Sardin dengan bersih. Potong kepala, ekor dan sirip, serta yang paling penting buang semua isi perutnya.

2.Potong beberapa labu bawang besar atau beberapa ulas bawang merah dan sedikit bawang putih, mengikut cita rasa anda. Lagi banyak bawang, lagi manis sos sardin nanti.

3.Potong cili merah dan tomato. Sukatan menurut cita rasa juga. Jika suka rasa masam yang lebih, letak tomato lebih. Cili letakkan sedikit sahaja, secukup rasa pedas.

4.Basuh dengan bersih semua bahan ini.

5.Kisar semua bahan di dalam mesin pengisar.

6.Sediakan periuk bertekanan tinggi. Masukkan sedikit minyak masak mengikut suka dan rasa anda. Asal jangan terlebih.

7.Masukkan ikan Sardin, bahan yang telah dikisar dan sedikit garam secukup rasa. Kacau sedikit kesemua bahan menjadi sebati, dengan lembut. Tutup periuk dan sedia untuk dimasak.

8.Tekan periuk tekanan tinggi selama 60 minit. Sesudah masak tambahkan masa dalam 30 minit hingga 60 minit. Jika mahu ikan sardin lebih lembut, tambahkan masa 60 minit. Sesudah siap masak, tulang ikan akan menjadi lembut dan sedap di makan.

9. Selesai dimasak, biarkan sardin buatan sendiri ini sejuk seketika dan boleh dimasukkan di dalam bekas-bekas kecil untuk disimpan secara sejuk beku. Anda boleh memanaskan kembali apabila mahu memakannya kelak dan mengolah dengan apa-apa resipi yang disukai.

Resipi yang mudah dan paling bersih tanpa was-was dan ragu-ragu. Selamat mencuba!

Sumber :  Haf Mansor / Sirap Limau

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Resipi

Video Popular

Ad will display in 09 seconds