Jika anak anda masih lagi bayi, pasti anda akan duduk dan bermain gelongsor bersamanya. Hal ini kerana anda rasakan ia adalah langkah paling bijak dan selamat buat anak anda yang mahu bermain permainan gelongsor berkenaan. Tetapi ia berbeza dengan kisah ibu ini yang dikenali sebagai Heather Clare di mana dia memutuskan untuk berkongsi pengalaman ngeri yang terjadi pada bayinya bagi menimbulkan kesedaran buat para ibu bapa di luar sana.

Menerusi kenyaaannya di laman Facebook, Clare mengimbas kembali suatu ketika pada tahun 2015 di mana dia membawa anak kembarnya, Meadow dan Matthew yang berusia 12 bulan ke taman permainan. Ekoran risau akan keselamatan anaknya, dia mengambil keputusan untuk turut duduk sambil memangku anaknya menuruni gelongsor. Selesai sahaja dia menuruni gelongsor bersama Matthew, dia kemudian mengambil pula Meadow.

Sebelum sampai di bawah, Clare menyedari akan kaki Meadow berada di antara pahanya dan bahagian tepi papan gelongsor berkenaan. Suami Clare yang berada di bawah ketika itu berjaya merakamkan saat berkenaan yang ternyata mencederakan kaki kanan Meadow. Pasangan itu kemudian bergegas membawa Meadow ke hospital, dan tulang tibia dan fibula pada kaki kanan Meadow disahkan patah.

Kejadian berkenaan menyedarkan Clare. “Saya tidak menyangka itu akan berlaku. Saya fikir semua ibu bapa akan turut bersama menuruni gelongsor bersama anak mereka. Saya rasa setiap taman permainan perlu mempunyai notis amaran, tetapi saya tidak pernah nampak,” tulisnya.

Tidak dapat kita nafikan bahawa kanak-kanak sering menjadi mangsa kecederaan sewaktu bermain gelongsor. Menurut Akademi Pediatrik Amerika, lebih 350,000 kanak-kanak di bawah umur enam tahun cedera sewaktu bermain gelongsor di Amerika Syarikat antara tahun 2002 dan 2015. Peratusan tertinggi bagi kecederaan tersebut berlaku pada kanak-kanak berusia 12 hingga 23 bulan.

Kajian itu juga melaporkan bahawa 36% daripada kecederaan adalah patah pada bahagian bawah kaki, yang berlaku apabila kaki kanak-kanak berada di tepi atau bawah gelongsor, atau kaki terpusing dan bengkok ke dalam apabila berada di pangkuan ibu bapa, seperti yang terjadi pada Meadow. Hal ini membuatkan Dr. John Torres selaku wartawan perubatan untuk NBC News berkata ibu bapa tidak seharusnya duduk bersama dengan anak bagi menuruni gelongsor, sebaliknya perlu berdiri di sebelah gelongsor dan membiarkan anak menuruni gelongsor sambil memegang tangan mereka.

Meadow akan berumur 4 tahun pada bulan September ini dan kini dia telah pulih sepenuhnya. Dia tidak takut akan gelongsor. “Meadow tahu apa yang berlaku dan tidak akan sesekali menuruni gelongsor bersama orang lain, walaupun bersama abang kembarnya,” akhiri Heather.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP Keluarga

Video Popular

Ad will display in 09 seconds