Isu perkahwinan bawah umur di antara seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun kini heboh diperkatakan dan mendapat perhatian pelbagai pihak. Walaupun kanak-kanak ini tinggal di negara jiran, itu bukan menjadi persoalannya. Kanak-kanak tidak sepatutnya berkahwin pada usia mereka yang masih mentah dan belum sempat menikmati zaman kanak-kanak yang sepenuhnya.

Isu ini mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk seorang pegawai perubatan, Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak yang berpendapat hubungan seks di usia muda boleh membawa kepada risiko mendapat kanser serviks di masa hadapan.

Kredit : The Star

Dr. Muhammad Izzat menegaskan, para ibu bapa perlu membuka mata dan minda dalam membuat sesuatu keputusan seperti perkahwinan bawah umur yang seperti ini. Ibu bapa perlu menjadi warga yang berilmu dan tidak buta undang-undang. Mengahwinkan anak pada awal usia remaja bukan satu tindakan yang tepat. Di bawah adalah penjelasan Dr. Muhammad Izzat dalam hal ini.

Perkahwinan di bawah umur dan mengadakan hubungan seks seawal usia remaja akan meningkatkan peluang dan risiko mendapat kanser serviks.

Kita sudah sedia maklum, pada hari ini terdapat ramai remaja belasan tahun atau yang masih bersekolah sudah berani melakukan hubungan seks luar nikah. Ada yang sudah berkahwin di awal usia 15 tahun dan ada pula yang telah terhamil anak pertama pada usia 12 tahun.

Saya kurang pasti adakah mereka ini sudah benar-benar matang dan bersedia untuk berumah tangga, atau sekadar hanya mahu mencuba dan bersuka-suka mengadakan hubungan seks.

Kanak-kanak dan remaja masih berkelakuan keanak-anakan, masih kurang berilmu dan tidak tahu bagaimana untuk mengelakkan risiko menjadi hamil serta mendapat penyakit bawaan kelamin. Apabila hubungan ini terlanjur, ia akan menyebabkan si anak gadis ‘termengandung’, dan dia menjadi pesakit saya. Yang paling muda, yang pernah dirawat oleh saya adalah kanak-kanak berusia 12 tahun!

Kredit : Siakap Keli

Sekiranya seorang anak gadis yang tidak mempunyai ilmu ini tidak mengetahui kemungkinan yang akan berlaku sekiranya mereka melakukan hubungan seks seawal usia remaja, maka saya merasakan peranan ibu bapa dan penjaga itu sangat penting dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak. Ibu bapa dan penjaga perlu memberikan maklumat berkenaan pendidikan seks di kalangan remaja. Mereka perlu diterangkan secara ilmiah dan cara yang betul supaya anak-anak ini faham dan sedar akan risiko yang akan dialami.

Perlu diingatkan berkali-kali disini, melakukan hubungan seks pada usia di awal remaja mendedahkan remaja perempuan yang terbabit kepada risiko mendapat kanser serviks jenis invasif di kemudian hari. Mengapa saya berkata demikian?

Sistem ketahanan dan imuniti pangkal rahim ( ‘transformation zone’, seperti gambar di bawah ) anak-anak remaja ini tidak lagi matang untuk melawan segala jangkitan kuman, lebih-lebih lagi apabila dijangkiti virus HPV yang menyebabkan kanser serviks. Maka pangkal rahim mereka akan mudah dijangkiti virus HPV dan seterusnya mengubah sel-sel yang normal pada pangkal rahim menjadi tidak normal sehingga boleh berubah menjadi kanser.

Kredit : Siakap Keli 

Sekiranya wanita yang sudah matang dengan beberapa tahun jarak usia itu pun boleh terdedah kepada kanser serviks, sungguhpun ‘transformation zone’ pada pangkal rahim mereka sudah matang, apatah lagi bagi anak-anak remaja ini!

‘Transformation zone’ pada pangkal rahim ini menjadi matang pada usia seorang remaja itu mencapai 20 tahun, dan sekiranya ibu bapa mahu mengahwinkan anak gadis mereka juga, kahwinkan selepas umur mereka mencapai 20 tahun. Bukan semasa usia mereka belasan tahun.

Ini tidak termasuk untuk menceritakan hal kesihatan mental anak-anak gadis remaja yang sudah menempuhi alam rumah tangga, mengalami kesulitan ketika kehamilan dan melahirkan anak kelak. Apa yang akan berlaku di waktu usia muda, mereka sudah terpaksa menjaga anak. Satu cerita yang panjang.

Jangan mengambil jalan mudah, dengan melepaskan tanggungjawab setelah menikahkan anak gadis di awal usia remaja. Kanak-kanak itu tidak mengerti apa-apa. Yang perlu dipersalahkan ialah ibu bapa yang perlu membuka mata dan minda.

Sumber : Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan, Kesihatan Wanita dan Kehamilan / Siakap Keli

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN

Video Popular

Ad will display in 09 seconds