SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi universiti awam pertama negara yang mencipta sejarah dengan melancarkan UiTMSAT-1, nano-satelit pertama ke angkasa.

Nano-satelit berkenaan merupakan ciptaan bersama BIRDS-2 (Joint Global Multi-Nation) dengan Bhutan dan Filipina yang diterajui oleh Kyushu Institue of Technology (KyuTech) di Jepun.

Pelancaran nano-satelit buatan sendiri dengan kos yang lebih rendah merupakan objektif utama UiTM sekali gus menyumbang kepada rancangan jangka panjang UiTM untuk menjadi perintis dalam bidang aeroangkasa.

Kredit: Blog Amanz

Dua pelajar pasca siswazah UiTM yang mewakili Malaysia iaitu Syazana Basyirah Mohamad Zaki dan Muhammad Hasif Azami merupakan antara 10 pelajar yang bertanggungjawab dalam merealisasikan pembinaan dan pelancaran tiga nano-satelit BIRDS 2: UITMSAT-1. Pada masa yang sama, pelajar dari negara Bhutan dan Filipina pula masing-masing bertanggungjawab dalam menghasilkan BHUTAN-1 dan MAYA-1.

Menurut Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said, pihak universiti amat berbangga dengan kejayaan dalam pelancaran UiTMSAT-1 di Stesen Tentera Udara Cape Canaveral, Florida, Amerika Syarikat menerusi roket SpaceX Falcon 0 sekitar jam 5.46 petang tadi waktu tempatan.

“Alhamdulillah, sudah dilancarkan. Kita menunggu pertengahan Ogos ini apabila UiTMSAT-1 akan dibawa Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dan dijadualkan dilepaskan ke orbit pada jarak 400 kilometer dari permukaan bumi.”

Kredit:  iss.jaxa

“Terima kasih kepada pasukan yang membangunkannya, terutama dua pelajar kita di sana serta semua pihak terbabit dalam penghasilan satelit nano ini. Saya amat kagum dengan pencapaian ini.”

Tambah beliau lagi, “Pelancaran UiTMSAT-1 ini menandakan permulaan kepada UiTM untuk lebih serius dalam pembangunan teknologi angkasa lepas sekali gus membuktikan kemampuan warga kita dalam bidang ini.”

Antara yang turut hadir dalam menyaksikan lintas langsung pelancaran roket SpaceX Falcon 9 yang membawa satelit itu adalah Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM, Prof Dr Mohd Nasir Taib; Timbalan Naib Canselor Akademik UiTM, Prof Dr Mohamad Kamal Harun dan Pengarah Pusat Komunikasi Satelit UiTM, Prof Dr Mohamad Huzaimy Jusoh.

Kredit: Kosmo

“Satelit ini mempunyai enam misi, antaranya pengambilan imej, menguji korelasi lokasi satelit, ujian cip Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), mengukur medan magnetik di angkasa untuk data pemetaan geomagnetik di rantau Asia Tenggara serta komunikasi radio,” ujar Mohamad Huzaimy.

“Data yang diperoleh daripada satelit ini akan disalurkan ke Pusat Satelit Komunikasi UiTM untuk tujuan penyelidikan.”

Beliau turut menyatakan bahawa UiTMSAT-1 akan mengorbit bumi pada kelajuan melebihi 23,000 kilometer dan melintasi ruang angkasa Malaysia sebanyak lima kali sehari.

Sumber: BH OnlineKosmo

Era Baru

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds