Tiara diraja mempunyai keistimewaannya yang tersendiri kerana selalunya, ia akan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Salah satu koleksi tiara yang terbesar dan paling bernilai adalah milik Ratu Elizabeth II.

Baru-baru ini semasa dalam majlis perkahwinan antara Putera Harry dan Meghan Markle, Ratu telah menghadiahkan sebuah tiara yang sangat memukau dan menarik perhatian daripada seluruh penduduk dunia!

Kaum wanita pasti teruja untuk melihat gambar-gambar tiara diraja yang menakjubkan ini di samping kisah benar di sebalik setiap tiara tersebut.

#1. Tiara perkahwinan Meghan Markle.

Kredit: Reuters

Tiara yang bertatahkan batu berlian ini dipakai oleh Meghan Markle pada majlis persandingannya dan telah dipinjamkan oleh Ratu. Pada asalnya, tiara ini adalah milik Ratu Mary iaitu nenda kepada Ratu Elizabeth.

Kerongsang di bahagian tengah tiara ini dihasilkan pada tahun 1893. Ia sebenarnya dihadiahkan kepada Ratu Mary (Puteri Victoria Mary) daripada wilayah Linkoln sebagai hadiah perkahwinan.

#2. Tiara perkahwinan Kate Middleton.

Kredit: East News

Tiara ini dikenali sebagai Tiara Cartier Halo dan menjadi pelengkap kepada rupa Kate Middleton semasa hari perkahwinannya. Tiara ini dihasilkan pada tahun 1936 dan dihadiahkan oleh Duke of York (kemudian dikenali sebagai Raja George VI) kepada Duchess of York (Ratu Elizabeth).

Setelah itu, ia dihadiahkan pula kepada puteri Elizabeth semasa ulang tahun kelahiran yang ke-18.

#3. Tiara perkahwinan Puteri Diana.

Kredit: East News

Tiara ini mempunyai kedudukan yang istimewa dalam senarai kerana ia adalah dimiliki oleh keluarganya. Bahagian tengah tiara ini telah diberikan sebagai hadiah perkahwinan oleh neneknya.

Pada bahagian hujung pula dipercayai berasal dari Frances Manby yang juga dikenali sebagai Viscountess of Montagu. Pada tahun 1930-an, bentuk tiara ini akhirnya disempurnakan dan menjadi tiara perkahwinan dalam keluarga Spencer.

Walaupun Ratu memutuskan untuk meminjamkan Diana salah satu tiara dari koleksinya, Diana tetap mahu meneruskan tradisi keluarganya dengan memakai tiara di atas.

#4. Tiara Puteri Mahkota Victoria.

Kredit: East News

Puteri Mahkota Sweden ini telah menggayakan sebuah tiara yang kaya dengan sejarah. Ia merupakan salah satu tiara paling tua yang masih digunakan dan dipakai semasa hari perkahwinan kerabat diraja Sweden.

Pemilik pertama tiara ini merupakan isteri pertama Napoleon iaitu Josephine. Tiara ini kemudiannya dibawa ke Sweden oleh cucu Josephine ketika dia mengahwini Raja Oscar I.

#5. Tiara berlian Luxembourg.

Kredit: East News

Tiara ini dipakai oleh Puteri Claire yang kini bergelar suri hati kepada Putera Félix dari Luxembourg pada tahun 2013. Tiara ini dihasilkan daripada batu berlian dengan hiasan berbentuk daun anggur daripada perak dan emas serta beri berlian.

Tiara ini dikatakan berasal dari abad ke-19 dan merupakan sebahagian daripada asas keluarga diraja Luxembourg.

#6. Tiara The Girls of Great Britain dan Ireland.

Kredit: East News

Ini adalah tiara yang paling terkenal dalam koleksi tiara diraja British kerana ianya dipakai oleh Ratu Elizabeth II. Tiara ini dihadiahkan oleh Ratu Victoria Mary semasa hari perkahwinannya dan nama tiara ini adalah bersempena dengan komuniti wanita yang meraih sumbangan bagi menghasilkan tiara tersebut.

#7. Tiara Fleur-de-Lys.

Kredit: Reuters

Ini merupakan salah satu koleksi tiara daripada Ratu Victoria Eugenia dari Sepanyol. Ia merupakan hadiah pemberian suaminya semasa majlis perkahwinan mereka yang diadakan pada tahun 1906.

Tiara ini dihiasi dengan berlian bulat yang besar di samping mempunyai tiga motif fleur-de-lis yang merujuk kepada simbol rumah Bourbon.

Semasa pemerintahan Sepanyol dijajah, Victoria Eugenia telah membawa lari tiara berkenaan. Namun, apabila takhta Sepanyol kembali pulih, tiara ini telah dihadiahkan kepada Sofia, permaisuri kepada Raja Juan Carlos.

#8. Tiara Puteri Mako.

Kredit: East News

Puteri Mako dari Jepun mula menghadiri majlis-majlis rasmi pada usia 20 tahun dan telah dihadiahkan dengan barangan kemas istimewa untuk upacara yang istimewa ini. Tiara berkenaan telah dihasilkan khusus untuk Puteri Mako oleh sebuah firma di Jepun bernama Wako.

Sebelum Puteri Mako berkahwin dengan teman lelakinya yang merupakan rakyat biasa, tiara ini akan disimpan di dalam bilik kebal maharaja. Perkahwinan mereka yang kini dilaporkan akan ditangguhkan sehingga tahun 2020 ini boleh menyebabkan Puteri Mako kehilangan gelaran dan takhtanya.

#9. Tiara mutiara yang antik.

Kredit: East News

Keluarga diraja Belanda sangat bangga dengan koleksi barangan kemas mereka. Bagaimanapun, tiara mutiara yang antik ini tetap menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai tiara pertama buat Ratu Maxima.

Tiara ini direka pada tahun 1900 dan mempunyai bentuk yang sama dengan mahkota yang dipakai oleh Anna Pavlovna.

#10. Gandik Diraja milik Sultanah Terengganu.

Kredit: East News

Mahkota tersebut yang kini menjadi milik Sultanah Nur Zahirah diperbuat daripada platinum dan berlian pada tahun 1984. Keistimewaan tiara ini adalah memandangkan sistem monarki di Malaysia membuatkan Agong dipilih setiap lima tahun, maka tiara ini juga akan beralih tangan kepada pemilik lain.

Sumber: BrightSide

Era Baru

Share
Kategori: GLOBAL HIBURAN

Video Popular

Ad will display in 09 seconds