Sekali-sekala pada hari yang biasa, setiap orang pasti akan menemui peluang bertemu atau menyaksikan perkara normal yang berlaku dalam kehidupan manusia tetapi bukan di tempat yang sepatutnya. Dan oleh itu, ia menjadi satu situasi yang luar biasa bagi sesetengah orang. Seperti yang berlaku kepada seorang pelajar ini apabila mendengar seorang wanita sedang menjerit kesakitan di sebuah pusat membeli-belah di ibu negara dan ternyata wanita ini sedang terdesak untuk mendapatkan bantuan.

Kredit : Malay Mail

Seorang pemuda berusia 20 tahun sedang berjalan di sebuah pusat membeli-belah apabila dikejutkan dengan jeritan seorang wanita yang sarat mengandung dan sedang berbaring di atas lantai dalam keadaan kesakitan kerana mahu melahirkan bayinya. Wanita ini telah ditemui sedang terbaring pada pukul 10.30 pagi pada 14 Jun 2018 di The Intermark Mall di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Pelajar A-level dari Iraq ini yang dikenali sebagai Omar Abdulrahman Albayati telah bergegas mendapatkan wanita tersebut dan membantunya, yang kemudian diikuti oleh tiga orang lain yang melalui lokasi terbabit. Salah seorang daripadanya telah menawarkan tudung kepada wanita ini supaya dia boleh menjaga kehormatan dan maruahnya semasa sedang melahirkan anaknya di situ.

Kredit : Malay Mail

Omar berkata kepada Malay Mail, “Saya melihat seorang wanita muda, tidak pasti sama ada dia orang Malaysia atau Indonesia, sedang berbaring di atas lantai dan saya menyedari dia sedang sakit mahu melahirkan anaknya.”

Menurut Omar, dia telah memanggil ambulans melalui telefonnya sambil memegang kepala bakal ibu ini supaya dia berasa lebih selesa, sementara seorang wanita di antara tiga orang tidak dikenali itu, pergi mendapatkan bantuan daripada pengawal keselamatan di pusat membeli-belah tersebut.

Sebelum ambulans sampai, wanita ini telah melahirkan bayinya yang telah disambut oleh seorang lelaki berbaju hijau dan tidak dikenali. Tidak dapat dipastikan sama ada lelaki misteri ini adalah seorang doktor dalam profesionnya, tetapi sebaik sahaja wanita ini selamat melahirkan anaknya, lelaki tersebut telah beredar dari tempat kejadian dengan segera.

Omar berkata, “Seorang lelaki berbaju hijau telah membantu kelahiran bayi tersebut, tidak dapat dipastikan sama ada dia seorang doktor, tetapi dia telah membantu wanita tersebut melahirkan anaknya dengan selamat dan meletakkan bayi itu di atas dadanya, dia bagai malaikat.”

Tambah Omar lagi, “Selepas bayi itu dilahirkan, lelaki itu pergi begitu sahaja, semuanya berlaku dengan pantas.”

Ambulans telah tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.

Omar berkata, dalam keadaan yang kelam kabut dan pantas itu, dia tidak dapat melihat jantina bayi tersebut, tetapi bayi itu telah dilahirkan dalam keadaan yang selamat dan sihat.

Katanya, “Kelahiran itu berjalan dengan lancar. Ibu ini langsung tidak menjerit semasa sedang melahirkan anaknya.”

Sesungguhnya ia satu langkah yang berani dan wajar dilakukan oleh empat orang tidak dikenali ini demi membantu seorang ibu dan anaknya yang sedang mengalami keadaan yang sukar dan terdesak. Syukur proses kelahiran ini berjalan dengan lancar kerana kehadiran mereka yang tampil membantu.

Lihat video di bawah.

Sumber : Malay Mail/ World of Buzz

Era Baru

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds