KUALA LUMPUR – Berikutan kontroversi yang melanda restoran Raj’s Banana Leaf di Bangsar bulan lalu, lesen restoran itu dilaporkan telah dibatalkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kredit: Best Restaurant to Eat

Pengarah Jabatan Pembangunan Perlesenan dan Peniaga DBKL, Anwar Mohd Zain berkata, jawatankuasa itu memutuskan untuk membatalkan lesen itu selepas perbincangan dan mendengar pendapat daripada semua pihak.

“Kami meneliti penjelasan mereka dan mereka turut memberikan pandangan mereka. Kami melihat dari semua sudut,” katanya kepada The Star pada hari Isnin, 11 Jun.

“Oleh itu, jawatankuasa memutuskan bahawa keputusan yang terbaik adalah untuk membatalkan lesen itu,” katanya, sambil menambah bahawa lesen yang dibatalkan itu hanya memberi kesan kepada cawangan Bangsar dan tidak melibatkan cawangan lain di Lembah Klang.

Semuanya bermula apabila video pekerja restoran tersebut dirakam membasuh pinggan mangkuk yang kotor dengan menggunakan air lopak di jalanan.

Kredit: Channel News Asia

Berikutan dengan rakaman tersebut, pihak pengurusan restoran segera mengeluarkan kenyataan pada 29 Mei bagi memohon maaf dan memberi jaminan kepada pelanggan bahawa ia adalah insiden terpencil oleh kakitangan yang baru direkrut.

DBKL akhirnya mengarahkan restoran itu menutup premisnya pada 30 Mei dan dilaporkan bahawa kakitangan yang mewakili pemiliknya disoal siasat di dalam premis tersebut. Pekerja restoran juga dilihat menghadiri bengkel pengendalian makanan selepas penutupan premis berkenaan.

Kredit: The Rakyat Post

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mohd Amin Nordin kemudian berkata bahawa DBKL dilihat terlalu berlembut hati pada masa lalu, yang akhirnya membawa kepada banyak restoran yang mempunyai amalan kebersihan yang tidak baik.

Beliau memberitahu The Star bahawa dia mahu “premis itu ditutup selama-lamanya untuk menghantar mesej yang kuat kepada semua restoran yang lain di Kuala Lumpur”.

“Saya mahu menghantar mesej yang kuat kepada semua orang bahawa hal ini tidak boleh diterima, kami terlalu baik selama ini, dan itulah sebabnya kita menghadapi semua amalan buruk sebegini. Berita begini hanya akan memberi pandangan yang buruk kepada bandar ini.”

Minggu lepas, dua puluh orang pegawai dari Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya dan Jabatan Buruh menghabiskan masa selama dua jam memeriksa premis restoran tersebut.

Menurut The Star, Raj’s banana leaf menerima tiga notis pengendalian makanan daripada Kementerian Kesihatan kerana tidak mempunyai vaksin antityphoid untuk pekerja dan tidak menawarkan latihan pengendalian makanan. Di samping itu, notis itu turut dikeluarkan kerana restoran itu tidak didaftarkan dengan kementerian dan premis itu tidak bebas daripada makhluk perosak, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Era Baru

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 10 seconds