Berikutan Persidangan Nikkei yang sedang berlangsung di Tokyo, Jepun, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia akan tetap mesra dengan China, yang dilaporkan telah melabur berbilion dolar semasa kerajaan yang digemudi oleh Datuk Seri Najib Razak sebelum ini, tetapi beliau turut menegaskan hasratnya untuk tidak akan “berhutang dengan China.”

Kredit: BERNAMA

Dr Mahathir yang pergi ke Tokyo untuk lawatan rasminya yang pertama sejak memenangi pilihan raya bulan lalu, berusaha untuk memulihkan idea kumpulan ekonomi Asia Timur yang katanya akan berguna dalam menghadapi kekuatan ekonomi China yang kian melonjak.

“Kita perlu berurusan dengan China sama ada kita suka atau tidak, kita mesti menanganinya sebagai satu kumpulan,” kata Dr Mahathir di Tokyo.

Dr Mahathir walau bagaimanapun, menegaskan bahawa beliau tidak menentang perjanjian seperti Perjanjian Perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), tetapi beliau berkata TPP perlu dirundingkan semula agar negara yang mempunyai ekonomi yang lebih kecil seperti Malaysia boleh bersaing dengan negara gergasi China dan Amerika Syarikat.

Dr Mahathir, 92, kembali memegang jawatan Perdana Menteri pada bulan lepas selepas kemenangan pilihan raya yang mengalahkan Dato Seri Najib Razak, berjanji untuk menghapuskan rasuah dan menjamin kos hidup yang lebih rendah.

Keputusannya untuk melawat Jepun buat pertama kali dilihat oleh beberapa penganalisis sebagai contoh keinginan kerajaan untuk meletakkan jarak antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Kerajaan baru ini turut mengatakan bahawa beberapa syarikat China mungkin dikaitkan dengan skandal rasuah dana kerajaan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dipercayai menyumbang kepada kejatuhan Najib. Pun begitu, di Tokyo, Dr Mahathir tidak merujuk kepada mana-mana isu hangat 1MDB.

Dalam satu sidang akhbar, Dr Mahathir ketika merujuk kepada pelaburan dan projek Cina semasa era Najib, yang menurutnya akan meninggalkan negara Malaysia dengan hutang berbilion dolar.

“Itu adalah cara beliau untuk mengadakan persahabatan dengan China,” kata Dr Mahathir. “Kami akan bersahabat dengan China, tetapi kami tidak mahu berhutang dengan China” tegasnya.

Kredit: BERNAMA

Sejak Malaysia berada dalam tampuk pimpinan Dr Mahathir semula, kerajaan baru telah mengkaji semula manfaat binaan landasan keretapi tempatan bernilai US $14 bilion yang dibina oleh syarikat-syarikat China, dan telah menarik diri dari projek rel berkelajuan tinggi dengan negara jiran, Singapura.

Dalam hal yang lain, Dr Mahathir turut menyatakan hasratnya untuk memulakan projek kereta kebangsaan yang baru untuk mengikuti jejak langkah Proton, sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1983 semasa tempoh pemerintahannya yang pertama dahulu.

Proton yang terkenal sebagai jenama nasional bagaimanapun telah mengalami pelbagai pergelutan sejak tahun kebelakangan ini. Dilaporkan bahawa sebuah syarikat China, Geely telah membeli 49.9% daripada Proton pada tahun lepas.

Bercakap tentang hal ini, Dr Mahathir menyatakan bahawa Malaysia mempunyai kemahiran dan teknologi yang diperlukan untuk mereka bentuk dan menghasilkan kereta baharu, tetapi beliau menambah bahawa beberapa bahagian kereta secara relatifnya sangat mahal dan boleh diperolehi daripada negara lain, termasuk Jepun.

Mengenai masa depan politiknya sendiri, Dr Mahathir berkata beliau akan tetap berkhidmat selagi rakyat Malaysia mahukannya.

“Saya bersedia berkhidmat, jika itu adalah kehendak rakyat, selagi mereka mahukan saya, tetapi sudah tentu saya tidak tahu berapa lama saya akan bertahan,” katanya.

Era Baru

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 10 seconds