Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan bahawa sumbangan yang disalurkan kepada Tabung Harapan Malaysia akan hanya digunakan untuk membayar hutang kerajaan.

“Kita tidak akan menggunakannya bagi tujuan lain. Ini memang tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau turut berkata sekiranya jumlah tabung itu tidak mencukupi, kerajaan akan menampung baki yang diperlukan bagi melunaskan hutang tersebut.

“Jika jumlah tabung itu tidak cukup (untuk membayar hutang), kerajaan akan menambah jumlah selebihnya.

“Sebagai contoh, jika kita mahu membayar ansuran hutang kira-kira RM200 juta tetapi Tabung Harapan itu cuma ada RM50 juta, maka bakinya akan ditampung oleh kerajaan,” katanya dalam dalam temu bual dengan Bernama.

Tabung Harapan Malaysia mengumpul RM54.89 juta setakat 9 Jun, 2018, ditubuhkan pada 30 Mei lalu bagi membolehkan kalangan rakyat yang patriotik mahu menyalurkan sumbangan selepas mengetahui paras hutang kerajaan mencecah RM1 trilion.

Selain itu, penubuhannya juga membolehkan Kementerian Kewangan menguruskan sumbangan ikhlas rakyat itu secara sistematik dan telus.

Lim Guan Eng turut mengulas kritikan daripada PAS dengan berkata beliau tidak pasti jika PAS layak memberi pandangan sedemikian.

“Saya tidak pasti sama ada PAS berhak untuk bercakap mengenai pengurusan ekonomi. Ini kerana dari segi pengurusan ekonomi, PAS tidak ada rekod yang baik. Kelantan adalah di antara negeri yang selalu mengalami defisit sehinggakan perlu meminjam daripada kerajaan Persekutuan.

“Jika tidak meminjam daripada Kerajaan Persekutuan, mereka juga tidak dapat membayar gaji kakitangan kerajaan negeri. Oleh itu saya rasa PAS perlu menguruskan ‘rumah’ mereka sendiri terlebih dahulu. Tengok cermin dan tanya (diri) sendiri.”

Bagi memastikan aspek ketelusan, kerajaan akan melantik firma audit luaran.

“Ada pihak mencadangkan supaya mereka (firma audit luaran ini) memberi perkhidmatan itu secara percuma. Cadangan ini memang saya alu-alukan dan sokong. (Bagaimanapun) kita perlu mencari sebuah firma audit yang sudi menawarkannya secara percuma dan amat berterima kasih,” katanya.

Selain itu, terdapat kalangan warga Malaysia di luar negara yang menggesa kerajaan mendapatkan bantuan kedutaan asing bagi memudahkan mereka untuk memberi sumbangan derma kepada Tabung Harapan.

Menurut laporan, anak kelahiran Pulau Pinang, K. Gurunathan yang dilantik sebagai Datuk Bandar Pekan Kapiti di Wellington, New Zealand, akan menyumbangkan NZ$1,000 (kira-kira RM2,802) kepada Tabung Harapan.

“Sebagai rakyat Malaysia yang menolak politik ras, diskriminasi dan rasuah dan memulakan kehidupan demi masa depan di New Zealand, saya merayu kepada diaspora Malaysia di New Zealand dan serata dunia untuk sama-sama menyokong kempen ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, terdapat seramai 700,000 hingga sejuta rakyat Malaysia di serata dunia, termasuk 18,000 orang di New Zealand.

Sumber: Bernama

Era Baru

Share
Kategori: BISNES Ekonomi NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds