Sidang kemuncak antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan diktator Korea Utara, Kim Jong Un, yang dijadual berlangsung pada 12 Jun di Singapura, menjadi perhatian ramai dan mungkin akan menjadi salah satu peristiwa yang paling penting pada tahun 2018.

Kredit: NTD

Berikut adalah apa yang perlu diketahui tentang negara-negara lain selain dari Amerika Syarikat yang turut sama menerima tempias berikutan dengan sidang kemuncak ini.

Korea Utara

Walaupun ramai pakar berbahagi pendapat berkenaan dengan matlamat utama Korea Utara dalam persidangan ini, mereka kebanyakannya bersetuju bahawa dalam jangka masa pendek, Kim mahukan perjanjian damai dengan Amerika Syarikat, sambil dalam masa yang sama cuba untuk mengaut semua manfaat yang mungkin boleh diperolehi dari China dan Korea Selatan, antara lainnya.

“Korea Utara mahukan konsesi yang maksimum dari pentadbiran Trump, sambil ingin memberikan seminima mungkinnya ekuiti mereka,” kata Victor Cha yang merupakan ahli kerusi Korea di Pusat Pengajian Strategik & Antarabangsa, pada sidang Ahli Senat Hubungan Luar Negeri pada 5 Jun yang lalu.

Cha dan pakar lain mengatakan bahawa Korea Utara berhasrat untuk diiktiraf bukan hanya sebagai ahli komuniti antarabangsa, tetapi juga sebagai negara senjata nuklear. Korea Utara boleh bertolak ansur dalam sesetengah perkara tetapi yang pastinya mereka tidak akan melibatkan semua senjata mereka, terutamanya senjata nuklear dan peluru berpandu jarak jauh.

Mereka berpendapat bahawa sekiranya Trump berjaya dipujuk untuk menandatangani perjanjian damai dengan Kim, ia juga mungkin akan memberi kesan yang agak negatif kepada semua negara di rantau Asia Timur.

Dasar Amerika Syarikat yang menyeluruh terhadap sekatan kewangan, ancaman ketenteraan, dan diplomasi aktif akhirnya telah memaksa Kim untuk datang ke meja rundingan, menurut Sung-Yoon Lee, seorang profesor di Sekolah Undang-undang dan Diplomasi Fletcher di Tufts University, yang kelihatannya pesimis dengan masa depan rantau ini berikutan perjanjian AS-Korea Utara yang hangat dibincangkan kini.

“Berharap untuk melihat lebih banyak kerjasama dengan Korea Utara dalam beberapa bulan akan datang. Putin akan bertemu dengan Kim Jong Un, seterusnya, [Perdana Menteri Jepun] Shinzo Abe. Segala-galanya akan menjadi baik bagi Kim kerana lebih banyak wang yang akan disalurkan ke Korea Utara. Sehinggalah, Kim berasa seperti dia perlu menguji ICBM yang lain,” kata Lee.

Kredit: NTD

Korea Selatan

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in telah mengkreditkan strategi “tekanan maksimum” Trump untuk membawa Kim ke meja rundingan, penilaian yang mana ramai pakar turut sama bersetuju. Walau bagaimanapun, sejak beberapa bulan yang lalu, keraguan mula muncul, sama ada pentadbiran Moon komited untuk menyokong usaha A.S. untuk melucutkan senjata rejim Kim.

“Presiden Moon adalah seorang yang berpegang teguh dengan konsep hubungan yang baik [dengan Korea Utara]. Beliau percaya proses ini adalah satu-satunya cara untuk bergerak maju,” kata Sue Mi Terry, felo senior di kerusi Korea CSIS. “Bukannya pentadbiran Moon tidak mahukan nyahnuklear di Korea Utara, tetapi mereka juga memahami bahawa keadaan semasa adalah sangat rumit, dan mereka mempunyai harapan yang terhad.”

Para pemerhati mendapati bahawa majoriti penduduk Korea Selatan, terutama golongan muda, tidak suka terlibat dalam konflik tentera antara Amerika Syarikat dan Korea Utara. Namun, prospek menandatangani perjanjian damai formal untuk mengakhiri Perang Korea sedikit sebanyak telah membuat ramai warga Korea Selatan optimis mengenai sidang kemuncak Trump-Kim.

Terdapat juga suara yang signifikan dalam kalangan pelarian Korea Utara dan masyarakat sivil Korea Selatan yang mendesak agar isu hak asasi manusia dimasukkan ke dalam sidang kemuncak itu, menurut Rosa Park, pengarah program Jawatankuasa Hak Asasi Manusia di Korea Utara. Pada bulan April, Presiden Moon memilih untuk tidak memasukkan isu hak asasi manusia dalam perbincangan dengan Kim semasa sidang kemuncak antara Korea, konsesi yang mengecewakan kumpulan hak asasi manusia di seluruh dunia.

Kredit: NTD

China

Ketika Trump mengenakan “tekanan maksimum” pada Korea Utara pada tahun lalu, Beijing dan Pyongyang lebih bersemangat untuk menunjukkan hubungan yang rapat sesama mereka. Oleh sebab itu, ramai pakar berbahagi pendapat tentang negara ini.

“China, seperti Jepun, takut ketinggalan kerana mereka mempunyai kepentingan utama yang dipertaruhkan,” kata Jun Teufel Dreyer, profesor sains politik di University of Miami. “Jika Kim menyimpang dari skrip yang China cadangkan, ia boleh menyebabkan penguatkuasaan sekatan terhadapnya.”

Terdahulu, sokongan separuh hati China untuk sekatan U.N adalah kesan selepas pertemuan pertama Kim dengan Xi, kerana Beijing sekali lagi membenarkan Korea Utara menghantar buruh ke China dan membuka semula hotel di sana untuk menjana pendapatan bagi rejimnya.

Menurut Dreyer, China mempunyai kepentingan untuk melihat rejim Kim kekal kukuh.

“China pada umumnya menjadi pengaruh jahat buat Korea Utara,” kata penganalisis China dan Asia Timur, Gordon Chang. “Beijing sedang berusaha untuk mengantarabangsakan proses [sidang kemuncak A.S.-Korea Utara] dan masuk ke dalam perbincangan. Trump tidak sepatutnya membiarkan hal itu berlaku. “

Jepun

Jepun telah memohon jaminan dari Trump agar Amerika Syarikat tidak melupakan keselamatan Jepun dan kebimbangan lain pada sidang kemuncak Trump-Kim ini.

Taruhannya sangat tinggi sehingga Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pergi ke Washington pada 7 Jun yang lalu untuk bertemu dengan Trump. Kedua-duanya dilaporkan mempunyai pertemuan yang baik di mana Abe menegaskan keinginan Jepun untuk melihat Trump menangani “isu-isu yang luar biasa,” termasuk isu peluru berpandu Korea Utara dan senjata nuklear, serta penculikan warga Jepun.

Menurut Terry, Jepun sangat prihatin tentang senario di mana Trump mungkin akan menandatangani perjanjian damai dengan Kim, yang dapat memenuhi kepentingan keamanan A.S., dan dalam masa yang sama akan meninggalkan kepentingan Jepun. Sebagai contoh, Setiausaha Negara A.S., Mike Pompeo kerap menggunakan perkataan “tanah air” ketika membincangkan tentang ancaman ICBM Korea Utara dan senjata nuklear ke benua Amerika Syarikat, yang jelas tidak melibatkan Jepun sekali.

Jepun juga mahu Trump membangkitkan isu penculikan warga Jepun yang masih ‘terperangkap’ di Korea Utara. Kebanyakannya diculik oleh ejen Korea Utara pada akhir 1970-an dan awal tahun 1980-an, dengan hasrat untuk menggunakan mereka bagi mengajar ‘mata-mata’ Korea Utara tentang bahasa dan budaya Jepun. Rejim Kim mengakui telah melakukan sekurang-kurangnya 13 kes penculikan sedemikian. Tokyo pula percaya sekurang-kurangnya 17 rakyat Jepun telah diculik.

Kredit: NTD

Rusia

Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov bertemu dengan Kim di Pyongyang pada 31 Mei dan mengesahkan sokongan Rusia terhadap nyahnuklear di Semenanjung Korea adalah sebenarnya bersifat retorik.

“Hal ini tidak boleh dicapai dengan sekali tindakan sahaja. Tidak mungkin akan ada nyahnuklear yang segera – ianya perlu dilakukan secara berturut-turut,” kata Lavrov.

Para pemerhati telah mempersoalkan sejauh mana pengaruh Moscow terhadap rejim Kim, yang kebanyakannya bergantung kepada China dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Seorang diplomat kanan Rusia memberitahu The Epoch Times, bagaimanapun, Rusia berkongsi keinginan dengan China untuk tidak mahu melihat Korea Utara jatuh ke orbit Amerika Syarikat atau Korea Selatan, kerana mereka mempunyai sempadan kecil bersebelahan dengan negara itu, yang hanya beberapa batu dari bandar Vladivostok.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds