Hari Falun Dafa Sedunia disambut meriah oleh para pengamal Falun Dafa di seluruh dunia, diraikan pada 13 Mei setiap tahun semenjak diperkenalkan kepada umum pada tahun 1992. 13 Mei juga merupakan tarikh lahir pengasas Falun Dafa, Encik Li Hongzhi.

Setiap tahun sambutan akan diadakan dengan meriah apabila para pengamal  Falun Dafa dan orang awam akan berkumpul serta mengadakan beberapa aktiviti seperti senaman meditasi, tarian klasik, nyanyian, tarian naga, tarian gendang pinggang, persembahan pancaragam, bacaan puisi serta pameran seni oleh para pengamal mengenai kekejaman dan penindasan terhadap pengamal Falun Gong di China.

Kredit : Samira Bouaou/ The Epoch Times

Bagi pengamal Falun Dafa, sambutan Hari Falun Dafa Sedunia bukan sekadar sambutan dan perayaan tetapi ia juga sebagai hari memperingati kekejaman dan penindasan yang telah dilakukan oleh rejim pemerintah di China yang telah mendera dan membunuh para pengamal Falun Gong bermula tahun 1999. Hari Falun Dafa Sedunia bertujuan memberi kesedaran kepada dunia bahawa kekejaman dan penindasan terhadap pengamal Falun Dafa yang hanya membawa budaya yang baik serta kedamaian ini wajar dihentikan dengan segera.

Kredit : Samira Bouaou/ The Epoch Times

Sambutan Hari Falun Dafa Sedunia yang telah diadakan di National Mall, Washington, Amerika Syarikat pada 5 Mei 2018 telah mengumpulkan beberapa orang pengamal Falun Dafa yang telah terselamat daripada penganiayaan dan penindasan rejim pemerintah di China dengan menceritakan pengalaman ngeri yang dialami mereka.

Kredit : Samira Bouaou/ The Epoch Times

Liu Dexi mula mengamalkan Falun Dafa semenjak September 1998 di China. Sebelum menjadi pengamal Falun Dafa, Liu Dexi seorang yang kurang sabar dan pemarah. Falun Dafa telah mengajarnya menjadi sabar dan jujur dalam perniagaan dengan mengamalkan prinsip sejati, baik dan sabar. Liu Dexi menentang kempen penindasan dan penganiayaan pengikut Falun Gong yang telah dilakukan oleh rejim komunis China, yang diarahkan oleh Jiang Zemin.

Kredit : Samira Bouaou/ The Epoch Times /Liu Dexi

Akibatnya beliau telah dipenjarakan di kem tahanan buruh dan didenda beberapa kali semenjak tahun 1999. Setelah menderita dan diseksa di dalam kem buruh selama beberapa tahun, akhirnya Liu Dexi telah berjaya melarikan diri ke Amerika Syarikat bersama isterinya apabila anak perempuannya yang menuntut di Universiti Maryland menghantar jemputan menghadiri majlis tamat pengajian. Semenjak itu, Liu Dexi dan isterinya mendapat perlindungan di Amerika Syarikat.

Seorang lagi pengamal Falun Dafa yang terselamat dan berjaya melarikan diri ke Amerika Syarikat, Zhang Huidong mula mengamalkan Falun Dafa apabila melihat perubahan kesihatan ibunya yang sebelum ini kurang baik dan lemah. Lalu Zhang Huidong mula melakukan senaman Falun Dafa bersama dua orang adik perempuan, isteri dan kakak iparnya.

Kredit : Samira Bouaou/ The Epoch Times / Zhang Huidong

Kemudian, keharmonian keluarganya menjadi kucar kacir setelah arahan menangkap pengamal Falun Gong telah dikeluarkan pada tahun 1999. Semua ahli keluarga Zhang telah dipenjarakan di kem tahanan buruh dan diseksa. Ibu Zhang Huidong menerima hukuman 3 tahun penjara, tetapi telah meninggal dunia seminggu kemudian. Dua orang adik perempuannya telah menerima hukuman dua tahun penjara, manakala isterinya telah menghabiskan masa selama 3 tahun di dalam penjara. Kakak ipar Zhang Huidong telah meninggal dunia setelah berada selama sebulan di dalam penjara.

Minghui.org melaporkan daripada pengalaman yang telah diceritakan pengamal Falun Dafa yang ditahan di dalam kem tahanan buruh, sebanyak 4,213 kematian telah dicatatkan akibat penyeksaan dan penderaan. Jumlah kematian mungkin lebih daripada itu apabila jumlah mereka yang hilang begitu sahaja tidak dapat direkodkan.

Kredit : Samira Bouaou/ The Epoch Times

Ini berikutan dakwaan pengambilan organ yang telah diambil secara paksa daripada tahanan dan pengikut Falun Dafa semenjak tahun 2000 untuk diagihkan kepada 865 hospital di China. Para penyelidik melaporkan, tahanan yang terselamat memberitahu ramai yang menjadi mangsa pengambilan organ secara paksa apabila jantung, hati, buah pinggang, kulit dan kornea mata mereka telah diambil dan diagihkan sebelum mayat mereka dibakar sebagai penghapusan bukti jenayah yang telah dilakukan.

Kredit : Samira Bouaou/ The Epoch Times

Hari Falun Dafa Sedunia diraikan setiap tahun sebagai memperingati mereka yang telah terkorban dan penindasan ke atas pengamal Falun Dafa di China harus dihentikan dengan segera.

Perarakan perayaan Hari Falun Dafa Sedunia disambut meriah di Pulau Pangkor, Perak

Bersempena Hari Falun Dafa Sedunia yang disambut setiap tahun oleh pengamal Falun Gong di seluruh dunia pada tanggal 13 Mei, satu perarakan memperingati pengenalan Falun Dafa kepada umum yang memasuki ulang tahun ke-26 juga telah diadakan di Pulau Pangkor, Perak.

Perarakan merayakan Hari Falun Dafa Sedunia telah diadakan dengan jayanya dan meriah di Pulau Pangkor pada 20 Mei 2018.

Falun Dafa, yang juga dikenali sebagai Falun Gong adalah ajaran dan amalan senaman secara spiritual yang menggabungkan latihan meditasi secara lembut bersama amalan penanaman jati diri dan peningkatan nilai moral berlandaskan prinsip kebenaran, belas kasihan dan tolenrasi dengan penyemaian prinsip Sejati-Baik-Sabar di dalam diri.

Acara perarakan Hari Falun Dafa Sedunia di sekitar Pulau Pangkor dimulakan dengan persembahan kawat pancaragam Tian Guo.

Kemudian diikuti oleh perarakan pasukan pari-pari jelitawan.

Acara perarakan berjalan dengan lancar dan meriah.

Perarakan mencuri tumpuan dan semakin meriah apabila tarian naga dipersembahkan.

Tidak ketinggalan pemain gendang pinggang mengambil tempat dan mempersembahkan tarian gendang pinggang yang mempesonakan.

Perarakan diteruskan dengan kemunculan pasukan pemegang bendera.

Dan akhir sekali perarakan perayaan Hari Falun Dafa Sedunia menjadi lengkap dengan kehadiran  pasukan pengamal senaman Falun Dafa.

Perarakan perayaan Hari Falun Dafa Sedunia berlangsung dengan meriah dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk tempatan.

Rata-rata penduduk Pulau Pangkor yang ditemu bual telah menyatakan perasaan teruja dan gembira apabila mereka telah diberi peluang melihat perarakan meriah yang jarang sekali diadakan di pulau tersebut.

Penduduk Pulau Pangkor, Wang Wen Bing telah menunggang motosikal selama 4 jam untuk pulang ke kampungnya. Semasa berada di jeti untuk menaiki feri, beliau telah bertemu dengan pelatih Falun Gong yang kemudian mendapat tahu para pelatih Falun Gong dalam perjalanan ke Pulau Pangkor untuk mengadakan perarakan. Wang kemudian mengambil keputusan untuk mengikuti perarakan dan membantu mengedarkan risalah kepada penduduk. Setelah perarakan selesai, Wang juga membantu memberi air kepada pelatih.

Wang berkata, “Kami amat berbangga dengan kehadiran anda semua ke Pulau Pangkor untuk mengadakan perarakan dan persembahan tarian naga dengan gaya putaran dan gemalai yang hebat itu menunjukkan kegigihan anda semua.” Wang pernah melihat perarakan Falun Gong beberapa tahun yang lalu. Wang Wen Bing juga amat tertarik dengan persembahan kesemua pasukan perarakan. Katanya, “Tidak kira muzik Barat yang dipersembahkan pasukan pancaragam Tian Guo atau persembahan pasukan gendang pinggang, semuanya amat menghiburkan.”

Wang juga menyatakan rasa kekaguman yang sangat tinggi terhadap pasukan pari-pari dan pasukan gendang pinggang. Wang berkata, “Walaupun keadaan cuaca agak panas dengan cahaya matahari yang terik, para pelatih bermain gendang pinggang dengan bersunguh-sungguh dan menunjukkan senyuman dengan hati yang tulus ikhlas.” Katanya lagi, beliau tidak dapat menggambarkan perasaannya dengan lebih lanjut kecuali dapat merasai dan melihat sendiri para pelatih Falun Gong telah melakukan satu perkara yang amat baik secara bersungguh-sungguh.

Sebaik perarakan berakhir, Wang Wen Bing (tengah, berbaju kelabu) telah merakamkan gambar kenang-kenangan bersama para pelatih Falun Dafa sebagai satu simpanan memori berharga.

Sepanjang perarakan diadakan, para pelatih Falun Gong telah mengedarkan risalah berunsur informasi dan kebenaran mengenai Falun Gong kepada penduduk setempat.

Seorang penduduk Pulau Pangkor bernama Encik Liong yang berumur 64 tahun berkata beliau amat gembira melihat perarakan Falun Gong atau Falun Dafa. Beliau tidak pernah melihat perarakan yang sebegini meriah. Encik Liong pernah mendengar mengenai Falun Gong melalui media tetapi pada hari ini, beliau berasa amat bertuah dapat bertemu dengan ramai pengamal Falun Dafa. Selepas menemui pelatih Falun Gong, Encik Liong baharu mengetahui insiden membakar diri di Dataran Tiananmen pada tahun 2001 adalah berita palsu.

Seorang penduduk di Pulau Pangkor bernama Encik Osman yang merupakan seorang nelayan, berasa gembira melihat perarakan tersebut. Beliau berasa terkejut mendengar rejim komunis di China telah bertindak mengambil secara paksa dan hidup-hidup organ pengamal Falun Gong yang disifatkannya sebagai satu perbuatan yang tidak berperikemanusiaan. Dan ia perlu dihentikan segera. Katanya, “Ini perbuatan yang zalim, mana boleh merampas organ mereka, manusia tidak akan boleh hidup lagi. Semua ini mesti dihentikan!”

Latihan senaman di Kuala Lumpur

Sebelum hari perarakan, sebahagian pelatih Falun Gong dari Kuala Lumpur dan Selangor telah berkumpul di Taman Tasik Permaisuri di Kuala Lumpur pada 6 Mei 2018 untuk mengadakan latihan senaman Falun Gong. Setelah senaman selesai, pelatih Falun Gong telah mengirimkan ucapan Selamat Hari Jadi dan terima kasih kepada Mahaguru Li Hongzhi kerana telah membawa kebaikan Falun Dafa kepada masyarakat.

Kwan Chin Her merupakan seorang pengurus Teknologi Maklumat (IT) di sebuah syarikat swasta. Kwan Chin Her telah mengamalkan latihan Falun Gong selama 3 tahun dan banyak perubahan yang besar telah berlaku di dalam kerjaya mahupun keluarganya semenjak itu. Kwan Chin Her mendapati dunia sekelilingnya mengalami banyak perubahan. Setelah mengetahui kebaikan Falun Dafa, ayah Kwan juga telah turut serta menyertai Falun Dafa dan menyokongnya. Perkara yang paling ajaib, rambutnya yang beruban telah bertukar menjadi hitam.

Anak Kwan Chin Her mengalami ketagihan menggunakan iPad dan telefon pintar sehingga tidak menghiraukan perkara lain. Setelah Kwan memberi anaknya buku Zhuan Falun untuk dibaca dan mengikutinya menyertai senaman kumpulan Falun Dafa, tabiat ketagihan itu telah berjaya dibuang sepenuhnya. Isteri Kwan Chin Her telah melihat perubahan besar yang berlaku kepada suami dan anaknya sehingga beliau juga turut serta menyokong dan berlatih Falun Dafa.

Seorang pelatih bernama Julie Lowe berasal dari Taiwan dan menetap di Malaysia. Julie mengetahui kewujudan Falun Dafa pada tahun 1995 di Taipei. Sebelum menjadi pengamal Falun Dafa, Julie Lowe telah didiagnos dengan penyakit Lupus erythematosus yang tidak boleh dipulihkan. Semenjak itu, Julie tidak boleh terkena sinaran matahari. Julie mempunyai empat orang anak dan suaminya berasa amat bimbang dengan keadaan kesihatannya. Setelah menemui kebaikan Falun Dafa, Julie telah mencuba latihan senaman Falun Dafa sebagai pilihan terakhir setelah rawatan doktor menemui kegagalan.

Julie Lowe telah berlatih dengan bersungguh-sungguh apabila mengamalkan 5 set latihan senaman Falun Gong disamping mengamalkan prinsip ‘Sejati, Baik dan Sabar’ untuk memperbaiki dirinya. Prinsip tersebut telah menjadikan orang lain berasa senang berdamping dengan Julie dan ia juga telah berjaya menyelesaikan banyak masalah. Rakan-rakan Julie mendapati dirinya menjadi lebih positif dan sihat setelah mengamalkan prinsip ‘Sejati, Baik dan Sabar’.

Julie merasakan hadiah terbaik yang pernah diterimanya ialah mengamalkan latihan dan prinsip Falun Dafa dan beliau berterima kasih kepada Mahaguru Li Hongzhi kerana telah memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat. Katanya, buku Zhuan Falun boleh dibaca secara percuma di internet, dan Julie berharap lebih ramai  golongan masyarakat boleh mendapat manfaat dan inspirasi dari amalan Falun Dafa seperti dirinya.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds