Semua benda boleh didapati di pasaran China, bukan? Misalnya, di pasar tradisional Hohhot. Pasar berkenenaan hanya mengambil masa selama 5 jam perjalanan dari Beijing dan ia ternyata sebuah kejiranan yang sedikit aneh berbanding kawasan lain di sana. Hal ini kerana anda sukar untuk melihat haiwan seperti kucing dan anjing terbiar berkeliaran di situ. Mengapa pula ya?

Persoalan tersebut dapat dijawab setelah beberapa keping gambar yang berjaya dirakamkan di pasar berkenaan. Realitinya amat memeritkan kerana haiwan khususnya diperlakukan dengan sebegitu dahsyat di sana. Terdapat banyak gerai yang menjual pakaian seperti jaket yang diperbuat daripada bulu kucing pelbagai corak mengisi ruangan pejalan kaki di Hohhot! Selain itu, pelbagai barangan eksotik turut dijual seperti tanduk antelop, anak anjing yang dikurung, kuku harimau dan sebagainya.

Anda akan dapat lihat notis seperti “Bulu kucing sebenar. Dilarang sentuh jika tidak mahu beli.” diletakkan oleh para peniaga bagi mengelakkan pengunjung memegang serta merosakkan jaket bulu kucing mereka. Sesiapa sahaja yang mengunjung ke sana pasti akan segera perasan akan corak pada bulu jaket yang dihasilkan. Hal ini kerana, lazimnya corak pada kucing seperti tortoiseshell, tabby, hitam dan putih dapat dilihat dijual di mana-mana. Oleh kerana pelancong asing jarang berkunjung ke sana, jaket bulu kucing itu dapat dibeli dengan harga serendah RM133 sahaja termasuklah di lapangan terbang!

Menurut pengarah People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) United Kingdom, saban tahun ada sahaja kucing yang ditangkap, digantung, dibiarkan berdarah dan mati, atau ditambat dengan dawai, dan bilangannya adalah tidak terkira. Hal ini disebabkan oleh bulu kucing boleh digunakan untuk menghasilkan pakaian dan boleh dieksport ke luar negara. Sungguh pun dasar berkaitan dengan layanan terhadap haiwan telah digubal, namun kekejaman terhadap haiwan sukar dikawal khasnya di kawasan luar bandar. Oleh itu, penduduk di Hohhot cenderung untuk bertindak sesuka hati apabila melibatkan perniagaan berorientasikan keuntungan.

Selain bulu kucing, terdapat juga penjual yang menjual jaket dan sarung tangan kulit anjing. Anak anjing yang dikurung juga dijual di pasar berkenaan. Jika tidak bernasib baik, mungkin anak anjing berkenaan akan menerima nasib yang sama seperti kucing.

Ternyata ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana China merupakan pengeksport terbesar di dunia yang mengeksport barangan bulu dan kulit haiwan. Apa yang menyedihkan adalah produk sebegini dibenarkan untuk dieksport ke Eropah dan Amerika Syarikat.

Tonton video di bawah:

Sumber: Dailymail
Era Baru

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds