Negara-negara maju mula membincangkan mengenai pelaksanaan waktu kerja yang lebih pendek dan syarikat ini telah berani untuk mencubanya dan membuktikan bahawa hasil produktiviti pekerja menjadi lebih memberangsangkan!

Sebuah firma kewangan dari Australia yang dikenali sebagai Collins SBA baru-baru ini telah melaksanakan polisi bekerja untuk tempoh lima jam setiap hari kepada semua pekerjanya.

Menerusi polisi baharu ini, semua pekerja tidak kira sama ada berpangkat besar atau bergaji rendah akan dibenarkan pulang bekerja pada jam dua petang setelah menyelesaikan segala tugasan di pejabat.

Kredit: Hyger

Idea yang hebat dan menarik ini datang daripada pengarah pengurusan syarikat tersebut iaitu Jonathan Elliot. Dikatakan pada ketika itu Elliot sedang berada dalam keadaan yang sukar kerana perlu menjaga isterinya yang menghidap kanser dan juga bekerja pada waktu yang sama.

Akhirnya, Elliot menyedari bahawa walaupun bekerja untuk tempoh yang lebih pendek dalam sehari, dia masih mampu untuk menyelesaikan jumlah tugasan yang sama seperti mana hari-hari biasa.

Perkara ini sekali gus membuatkan Elliot merancang untuk mengubah tempoh pekerjaan daripada sembilan jam kepada hanya lima jam sahaja. Sebelum itu, Elliot telah melakukan penyelidikan dengan melihat beberapa syarikat Sweden lain yang turut menjalankan polisi lima jam waktu bekerja yang sama.

Kredit: Happy Ground

Akhirnya pada tahun 2017, firma ini mengambil keputusan muktamad untuk melakukan percubaan bekerja lima jam sehari selama tiga bulan.

Keputusan setelah tempoh tiga bulan mencatatkan perubahan yang sangat positif! Pengarah operasi firma tersebut iaitu Claudia Parsons dengan sukacitanya memaklumkan bahawa peningkatan prestasi boleh dilihat dalam kadar segera.

“Pekerja kami diberikan tugasan yang sama, menerima bayaran yang sama dan mempunyai tanggungjawab yang sama. Ideanya adalah jika anda boleh menyiapkan segala tugasan dalam tempoh lima jam, anda boleh pulang pada jam dua”.

“Perkara ini membuatkan pekerja menilai bagaimana mereka melakukan sesuatu dan cara untuk memperbaikinya agar menjadi lebih baik. Ia juga memotivasikan mereka untuk menilai setiap aspek dalam peranan masing-masing,” ujar Claudia.

Kredit: Family Sites Catalog

Polisi lima jam waktu bekerja ini bukan sahaja membuatkan produktiviti dan prestasi pekerja meningkat tetapi juga membolehkan mereka meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dengan melakukan aktiviti riadah dan sebagainya.

Justeru, keadaan mental dan kesihatan fizikal pekerja juga akan menjadi lebih baik sekali gus mengurangkan kadar cuti sakit yang harus diambil oleh pekerja.

Namun begitu, Claudia menegaskan bahawa bukan semua perusahaan boleh mengaplikasikan model pekerjaan yang baharu ini. Misalnya, restoran, kafe, kedai runcit dan syarikat media yang memerlukan tenaga kerja ramai selain waktu kerja yang lama untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan masing-masing.

Apa pandangan anda mengenai polisi ini? Adakah ianya sesuai untuk diaplikasikan kepada pekerja-pekerja di Malaysia?

Sumber: World of Buzz

Era Baru

Share
Kategori: GAYA HIDUP Kerjaya

Video Popular

Ad will display in 09 seconds