Rakyat Malaysia kini berasa bangga memiliki Perdana Menteri Malaysia yang ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Senario politik negara telah berubah sepenuhnya di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan, tetapi semua dapat merasakan masa depan negara akan menjadi lebih baik di bawah kepimpinan negarawan terunggul ini.

Kredit foto: Malaysian Access

Pasti ramai yang menyayangi dan menyanjungi Tun Dr. Mahathir Mohamad, tetapi sejauh mana pengetahuan anda mengenai Perdana Menteri Malaysia ke- 4 dan ke- 7 ini? Di bawah adalah 11 fakta menarik mengenai Tun Dr. Mahathir Mohamad yang wajib diketahui oleh setiap warga Malaysia.

1. Tun Dr. Mahathir merupakan pemimpin negara tertua di dunia  menyandang  jawatan Perdana Menteri pada usia 92 tahun.

Kredit foto: KINIBIZ

Setelah secara rasmi menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada 10 Mei 2018, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi pemimpin negara yang tertua di dunia pada usia 92 tahun. Ratu Elizabeth II kini berada di tempat kedua dengan perbezaan umur 285 hari.

2. Sebelum menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-7, Tun Dr. Mahathir sudah bersara selama 15 tahun dari karier politik dan memimpin kerajaan.

Kredit foto: TODAYonline

Fakta ini sukar untuk dipercayai terutama bagi mereka yang berkecimpung di dalam dunia politik, kerana Tun Dr. Mahathir telah bersara secara rasmi dari jawatan Perdana Menteri ke- 4 pada 31 Oktober 2003. Walaupun tidak lagi terbabit dalam urusan kerajaan , ini tidak bermakna beliau tidak boleh bersuara lantang dan mengkritik kerajaan terdahulu. Tindakan Tun Dr. Mahathir kembali ke arena politik dan memimpin kerajaan amat mengejutkan, tetapi kepentingan negara itu lebih diutamakan.

3. Tun Dr. Mahathir bertemu isterinya Tun Dr. Siti Hasmah semasa mereka melanjutkan pengajian di universiti yang sama.

Kredit foto: Instagram

Kita semua berasa kagum dengan perhubungan romantis kekal utuh pasangan Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah yang menjadi idaman semua pasangan yang telah berkahwin. Mereka bertemu jodoh ketika menjadi pelajar perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura, yang kini dikenali Universiti Malaya.

4. Semasa di universiti, Tun Dr. Mahathir merupakan penulis aktif untuk akhbar The Straits Times.

Kredit foto: Instagram

Ramai yang tidak tahu Tun Dr. Mahathir merupakan penulis berbakat besar semasa di zaman mudanya. Tun Dr. Mahathir sudah mula menulis sejak di bangku sekolah lagi yang kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris. Kita semua berasa kagum dengan cara bijaksana Tun Dr. Mahathir bercakap dan berhujah seperti mana gaya penulisannya yang telah diasah sejak sekian lama.

Semasa di universiti, Tun Dr. Mahathir menggunakan nama pena ‘C.H.E. Det’ dan menulis artikel untuk akhbar The Straits Times di Singapura. Kebanyakan artikel Tun Dr. Mahathir pada masa itu banyak menyentuh tentang keadaan semasa negara dan pandangan serta pendapatnya tentang isu-isu berkaitan orang Melayu.

5. Tun Dr. Mahathir merupakan pemimpin pertama di dunia yang mempunyai laman blog sendiri.

Kredit foto: Chedet

Walaupun sudah berusia dan dikatakan sebagai ‘orang lama’, kita berasa kagum dengan diri Tun Dr. Mahathir yang tidak mahu berasa ketinggalan dari era teknologi moden dan terkini. Tun Dr. Mahathir merupakan satu-satunya pemimpin negara di dunia yang mempunyai laman blog sendiri yang telah wujud sejak tahun 2008. Laman blog ‘Chedet’ ini sentiasa aktif dan dikemas kini setiap hari sehingga kini.

6. Tun Dr. Mahathir bertanggungjawab membangunkan pelbagai projek infrastruktur di Malaysia yang ikonik dan menjadi asas untuk terus digunakan oleh generasi kini.

Kredit foto: Shutterstock

Tun Dr. Mahathir dikenali sebagai ‘Bapa Pemodenan’ negara walaupun ada pemimpin negara terdahulu yang cuba memadam dan menafikan gelaran itu. Tetapi itu adalah hakikat. Semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir telah bertanggungjawab memberi idea dan membina beberapa projek infrastruktur di Malaysia yang ikonik seperti Terowong SMART, KL Sentral dan Menara Berkembar Petronas yang merupakan menara berkembar tertinggi di dunia. Tidak terkecuali Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya yang cantik dan tersergam indah itu terbina hasil daripada ideanya yang futuristik.

7. Tun Dr. Mahathir pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam kerajaan terdahulu.

Kredit foto: Malay Mail

Tun Dr. Mahathir bukan calang-calang pemimpin yang telah membuat rakyat berasa yakin dan mempercayai kredibilitinya untuk memimpin Malaysia sekali lagi. Bagi mereka yang masih ragu-ragu dan kurang berpengetahuan mengenai jawatan yang pernah disandang oleh Tun Dr. Mahathir dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini, di bawah adalah ringkasannya :

1. Menteri Pelajaran

2. Menteri Perdagangan dan Industri

3. Menteri Pertahanan

4. Menteri Dalam Negeri

5. Timbalan Perdana Menteri

6. Menteri Kewangan

7. Perdana Menteri Malaysia yang Ke-4

8. Tun Dr.Mahathir adalah mentor kepada pemimpin negara, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kredit foto: Malay Mail

Semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr. Mahathir adalah mentor kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudian menjadi Timbalan Perdana Menteri. Percaturan Datuk Seri Anwar yang tersilap kerana tidak sabar menjadi Perdana Menteri telah menyebabkan dirinya dipecat dan kemudian menjadi ketua pembangkang.

Semasa menjadi ketua pemimpin Barisan Nasional, Tun Dr. Mahathir menjadi mentor kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga membawa kejayaan kepada dirinya menjadi Perdana Menteri pada tahun 2008. Namun, akibat skandal rasuah dan 1MDB, Tun Dr. Mahathir tidak dapat bertahan lagi melihat kehancuran kepada negara yang sedang dibawa oleh Datuk Seri Najib lalu beliau bertindak keluar parti dan menyertai pakatan pembangkang pada tahun 2016.

9. Tun Dr.Mahathir merupakan satu-satunya Perdana Menteri Malaysia yang mengetuai dua parti pemerintah yang berbeza.

Kredit foto: Instagram

Terdahulu Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke-4 di bawah UMNO dan Barisan Nasional. Dan kini beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-7 di bawah Pakatan Harapan. Satu-satunya pemimpin yang telah berjaya menyandang jawatan Perdana Menteri dari dua parti yang berbeza.

10. Dalam usia yang telah lanjut, Tun Dr. Mahathir terlibat dalam kemelut politik paling hebat dan berjaya memenangi Pilihan Raya Umum paling sengit dalam sejarah negara.

Kredit foto: The Straits Times

Pilihan Raya Umum menyaksikan kemenangan dramatik pakatan pembangkang yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir. Tidak pernah dalam sejarah rakyat bangkit menyatakan sokongan yang besar kepada Pakatan Harapan yang telah dinafikan oleh kerajaan terdahulu. Pelbagai percubaan dilakukan untuk menggagalkan PRU14 dan menghalang proses demokrasi seperti persempadanan semula dan mewartakan Akta Antiberita Tidak Benar yang menghalang kebebasan bersuara.

Namun segala percubaan tidak berhasil apabila sejarah baharu Malaysia telah tercipta dengan Tun Dr. Mahathir memimpin rakyat supaya bangkit dan menegakkan kebenaran yang akhirnya telah berjaya melalui proses pilihan raya yang berjalan dengan lancar dan aman.

11. Tun Dr. Mahathir merupakan satu-satunya tokoh pemimpin tersohor dan ‘pelindung’ Asia yang masih hidup.

Kredit foto: Macau Daily Times

Bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dan Presiden Indonesia, Suharto, Tun Dr. Mahathir dikenali sebagai pemimpin tersohor yang membimbing dan mencorakkan kepimpinan generasi terkini dalam politik dan memacu negara masing-masing menjadi kuasa ekonomi di Asia. Kini dengan ketiadaan dua tokoh tersohor tersebut, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi satu-satunya pemimpin yang digelar ‘pelindung’ pemimpin generasi terkini Asia.

Sumber: WORLD OF BUZZ

Era Baru

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds