Ekonomi, NASIONAL

Cukai GST ditetapkan pada kadar sifar berkuat kuasa 1 Jun

Cukai GST ditetapkan pada kadar sifar berkuat kuasa 1 Jun

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sebelum ini adalah pada kadar enam peratus dikurangkan sehingga kadar sifar (0%) bermula 1 Jun.

Penetapan tersebut tidak meliputi barang dan perkhidmatan yang disenaraikan di Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014 yang kekal dikecualikan daripada GST.

Peniaga juga perlu memastikan harga barang dan perkhidmatan yang ditetapkan adalah mematuhi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Pada masa yang sama, kenyataan daripada Kementerian Kewangan juga menegaskan semua peniaga yang berdaftar perlu mematuhi peraturan tersebut dan masih perlu mengikuti beberapa peraturan semasa seperti pengeluaran invois cukai, penghantaran penyata cukai dan tuntutan kredit cukai input.

Kenyataan itu dibuat sejurus selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa beliau telah mengarahkan kerajaan menghentikan kutipan GST.

Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyatakan akan membayar balik cukai tersebut kepada rakyat yang membuat tuntutan.

“Kami dapati, kerajaan sebelum ini telah mengutip cukai lebih daripada jumlah yang perlu dibayar,” kata beliau dalam satu sidang media di ibu negara.

Pemansuhan GST merupakan sebahagian daripada 10 manifesto kerajaan baru Pakatan Harapan yang berjanji akan melaksanakannya dalam tempoh 100 hari selepas mendapat mandat memerintah negara.

Untuk penjelasan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Kastam Diraja Malaysia di talian 1 300 88 8500 atau 03-7806 7200 (Pusat Panggilan Kastam).

Era Baru

Kategori:Ekonomi NASIONAL

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...