KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui bahawa China adalah rakan Malaysia dan mengalu-alukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) daripada ekonomi kedua terbesar dunia itu dan semua negara.

Dalam wawancara bersama Wall Street Journal semalam, Tun Dr. Mahathir berkata: “Kita tidak boleh menganggap datang ke Malaysia, kemudian membeli tanah-tanah yang banyak dan membangunkan bandar, dan membawa masuk orang asing ke negara ini sebagai FDI.”

Beliau menjelaskan, FDI adalah membawa modal, teknologi menubuhkan loji serta memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia hingga tahap eksekutif, serta menghasilkan barangan untuk pasaran domestik dan eksport.

Ditanya tentang projek di negara yang membimbangkan beliau, Dr Mahathir berkata terdapat tanah yang dijual kepada syarikat China untuk membina bandar-bandar besar.

“Satu bandar di selatan yang dapat menampung 700,000 orang. Itu adalah bandar-bandar yang sedang dibina dengan apartmen-apartmen mewah dan mahal sedangkan kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu untuk membelinya pada harga itu.”

“Malah, rakyat Malaysia yang menjadi kalangan orang miskin di negara ini tidak mendapat manfaat dengan pembangunan baru ini,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata bandar-banadar itu pastinya akan didiami oleh kebanyakan orang asing termasuk dari negara China. Sedangkan, kebanyakan negara termasuk Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah cuba mengelakkan daripada kebanjiran warga asing.

“Begitu juga dengan Malaysia, kami perlu mengawal ketat imigresen dan hanya menerima sejumlah angka sahaja,” tambah beliau.

Era Baru

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds