NASIONAL

Saya dibersihkan daripada sebarang kesalahan – Anwar Ibrahim

Saya dibersihkan daripada sebarang kesalahan – Anwar Ibrahim

SEGAMBUT – Sidang media khas yang pertama buat Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah dibebaskan dari hukuman penjara telah diadakan sekitar jam dua petang tadi.

Terdahulu, Ketua Umum PKR itu tiba di Istana Negara kira-kira jam 11.50 pagi untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bagi mendapatkan pengampunan diraja.

Anwar yang segak berpakaian sut hitam dan kemeja putih turut ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Dalam sidang media khas tersebut yang diadakan di kediaman beliau di Bukit Segambut, Anwar memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memberikan pengampunan penuh kepada beliau tanpa sebarang syarat. Dalam erti kata lain, Anwar kini telah bersih daripada sebarang pertuduhan yang melibatkan dirinya sebelum ini.

Kredit: Bhavan Jaipragas/Twitter

“Saya sampaikan terima kasih kepada Tuanku kerana mengambil keputusan segera dan tegas untuk membebaskan sepenuhnya tanpa sebarang syarat.”

“Saya juga menemui Yang Berhormat Tun Dr. Mahathir di perkarangan istana dan saya sampaikan ucapan terima kasih kerana membantu dalam proses ini membolehkan Yang di-Pertuan Agong memperkenan kebebasan saya.”

Kredit: Serambinews.com

Tambah Anwar lagi, beliau memperoleh kebebasan dan pengampunan diraja ini bukanlah atas kesalahan yang pernah disabitkan sebelum ini. Tetapi beliau dan pimpinan Pakatan Harapan menuntut kebebasan disebabkan oleh berlakunya salah guna kuasa dan perjalanan kerajaan dahulu yang bercanggah dengan prinsip keadilan.

“Prinsip inilah yang diterima oleh Yang di-Pertuan Agong dalam membebaskan saya dan membersihkan sama sekali semua rekod lama.”

Pada masa yang sama, Anwar turut menyatakan sokongan beliau kepada pimpinan Tun Dr Mahathir dan isterinya, Dr Wan Azizah untuk menerajui pimpinan negara dan beliau akan terus memberikan sokongan sebagai rakyat biasa demi memastikan agenda perubahan mencapai kejayaan.

Walaupun beliau tidak akan memegang sebarang jawatan dalam Kabinet, beliau bersama-sama Perdana Menteri akan memastikan proses peralihan kuasa ini berjalan dengan lancar sekali gus membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pilihan pertama Pakatan Harapan untuk dilantik menjadi calon perdana menteri. Dijangka selepas tempoh kira-kira dua tahun, Tun Dr Mahathir akan memberi laluan dengan menyerahkan jawatannya kepada Anwar untuk menerajui kepimpinan negara sekali gus menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelapan.

Sementara itu bermula jam 5.30 petang Himpunan Merdeka Rakyat diadakan di Padang Timur, Amcorp Mall, Petaling Jaya bagi menyambut pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kredit: Rafizi Ramli/Facebook

Datuk Seri Anwar dijangka akan menyampaikan ucapannya mengenai kebebasan rakyat sekitar jam 10 malam dan pasti dataran Amcorp Mall akan dibanjiri dengan lautan manusia khususnya penyokong-penyokong beliau yang teruja dengan detik penuh bersejarah ini.

Sumber: YouTubeSAYS

Era Baru

Kategori:NASIONAL

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...