Dalam beberapa minggu pertama, anda mungkin tertanya-tanya jika bayi anda mendapat susu yang secukupnya, terutamanya apabila bayi anda mahu menyusu setiap masa atau kelihatan tidak puas selepas menyusu. Apabila telah lepas satu atau dua hari pertama, bayi anda akan selalu berasa lapar kerana susu badan selesai dicernakan dalam masa dua jam.

Menurut babycenter, kebanyakan bayi baru lahir mahu menyusu 8 hingga 15 kali sehari pada tiga atau empat hari pertama kehidupannya dan 10 hingga 12 kali sehari selepas minggu pertama.

Bayi perlu diberi susu sekerap yang dia kehendaki. Kerja harian anda menjadi terbatas dalam beberapa minggu pertama semasa menyempurnakan rutin menyusukan bayi.

Namun, anda juga perlu tahu tanda-tanda bayi anda sudah kekenyangan susu untuk mengelakkan bayi anda daripada berasa tidak selesa akibat terlalu banyak minum susu.

Berikut adalah 6 tanda bayi anda terlalu kenyang minum susu:

#1. Tertidur.

Bayi akan berasa mengantuk dan mudah tertidur apabila sudah kenyang minum susu. Apabila bayi anda sudah tidur, anda perlu hentikan memberi susu dan biarkan bayi anda tidur.

Jika bayi anda tertidur tanpa melepaskan puting susu, lepaskan mulut bayi dengan perlahan atau selitkan jari bersih anda pada hujung mulutnya dan elakkan daripada membuat bayi terjaga. Anda juga boleh gantikan dengan puting palsu untuk membuatkan bayi tidur dengan lebih nyenyak.

#2. Melepaskan puting dan memalingkan muka.

Bayi akan melepaskan mulut daripada puting susu ibu dengan sendirinya apabila sudah kenyang.

Isyarat yang sama juga ditunjukkan oleh bayi minum susu botol. Jangan memaksa bayi anda untuk habiskan baki susu jika mereka menunujukkan tanda-tanda ini untuk mengelakkan terlebih susu.

#3. Kelihatan tenang.

Apabila bayi sudah kenyang dia akan terlihat lebih tenang dan selalunya meregangkan jari, tangan dan kaki serta mula kelihatan mengantuk.

#4. Minum dengan perlahan.

Setelah kenyang, bayi akan mula menghisap susu dengan perlahan dan mereka akan kerap berhenti menghisap susu.

#5. Menangis ketika menyusu.

Kredit foto: bellybelly.com.au

Terdapat juga bayi yang tidak mengantuk setelah kenyang malah menangis selepas disusukan. Ini menandakan dia sudah kenyang dan mungkin berasa tidak selesa.

Jika keadaan sedemikian berlaku, cuba tepuk belakang badan bayi dengan lembut untuk sendawakan dan tenangkannya agar dia berasa lebih selesa.

#6. Kelihatan tidak berminat.

Jika bayi anda kelihatan mula bermain-main, melihat sekeliling dan hilang tumpuan semasa menyusu. Bayi seakan-akan menolak dan mahu dilepaskan daripada pangkuan. Ini menandakan mereka sudah kenyang dan tidak perlu lagi disusukan.

Nutrisi pada peringkat awal kehidupan bukan sahaja merupakan penentu bagi kehidupan bayi, perkembangan fizikal dan mental semasa waktu kanak-kanak, malah ia juga adalah penentu kesihatan pada masa hadapan.

Sumber: SirapLimau

Era Baru

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds