KUALA LUMPUR – Bakal Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad telah sah menjadi Perdana Menteri ketujuh setelah selesai mengangkat sumpah di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 10 Mei 2018 tepat jam 10 malam.

Majlis angkat sumpah tersebut dilakukan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Balai Rong Seri, Istana Negara. Tun M, 92 tahun yang turut diiringi oleh isterinya, Tun Dr Siti Hasmah mencatat sejarah baharu apabila menjadi Perdana Menteri buat kali keduanya selepas memegang jawatan yang sama pada 16 Julai 1981.

Turut kelihatan hadir adalah Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Amanah Negara; Mohamad Sabu.

Menurut beliau yang lebih mesra dengan panggilan Tun M, majlis mengangkat sumpah ini harus dilakukan dengan kadar segera memandangkan terdapat desakan daripada pelbagai pihak untuk menubuhkan kerajaan baharu secepat mungkin sebaik sahaja mandat kerajaan sementara ditamatkan pada malam kelmarin (9 Mei 2018).

Tun M yang juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memaklumkan bahawa kesemua calon-calon PH yang bertanding dalam Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) atas tiket PKR dan empat lagi parti komponen gabungan PH telah menyatakan persetujuan untuk beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

“Apa yang saya tahu WARISAN sangat rapat dengan PH terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan saya sudah menghubungi Datuk Seri Shafie Afdal dua kali pagi ini. Shafie memaklumkan kepada saya bahawa dia sudah mengarahkan ahli WARISAN yang menang 14 kerusi Parlimen supaya menamakan saya sebagai PM baharu”.

Tambah Tun M lagi, semua ahli Parlimen PH telah menandatangani dan mengisytiharkan sokongan mereka untuk memilihnya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh.

Pada masa yang sama, Tun M turut menafikan andaian beberapa pihak yang mendakwa kelewatan pelantikannya sebagai Perdana Menteri adalah disebabkan tidak mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Perlembagaan tidak menetapkan syarat pelantikan Perdana Menteri adalah dalam kalangan individu disukai Agong atau tidak tetapi ia mestilah dari kalangan parti yang mendapat majoriti tertinggi dan itulah peraturannya,” jelas Tun M.

PH dijangka akan mengadakan perbincangan lanjut bagi menentukan calon Menteri Besar dan Ketua Menteri di negeri yang dimenangi mereka dalam masa terdekat.

Sumber: Harian MetroBerita Harian

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds