Tiada satupun ibu bapa yang tidak berusaha memberi yang terbaik buat anak-anak. Tambahan pula bagi pasangan yang sudah lama menanti kehadiran cahaya mata selepas bertahun-tahun berusaha. Keterujaan menyambut kehadiran permata hati akan dilakukan dengan pelbagai persediaan awal seperti pakaian, set mandian bayi dan perapi, bilik tidur yang lengkap dengan segala keperluan, semuanya disediakan untuk keselesaan bayi yang disayangi.

Hal ini adalah sesuatu yang bagus kerana ibu bapa ini bersedia, namun lambakan produk bayi di pasaran mungkin tidak semuanya sesuai dengan bayi tersebut. Kita tidak mahu kerana sikap kita yang ghairah mencuba, bayi kecil yang tidak tahu apa-apa itu terseksa.

Sebaiknya, ibu bapa kaji dahulu kandungan produk yang ingin digunakan kepada bayi dan lebih baik, dapatkan pendapat doktor untuk pengesahan. Tiada siapa yang rugi dengan sedikit usaha ini.

Kredit: Rose Naz/Facebook

Rose Naz, melalui laman Facebooknya berkongsi cerita tentang penggunaan produk bayi seperti sabun, barut, bedak dan minyak pada bayi yang wajar diambil maklum oleh ibu bapa yang mempunyai bayi agar sentiasa berhati-hati.

Menerusi kiriman Facebooknya, beliau mengingatkan agar para ibu tidak terlalu ghairah menggunakan sabun pada kulit bayi yang baru lahir. Misalnya, bayi yang masih belum putus tali pusatnya lagi. Penggunaan sabun akan menyebabkan ruam pada kulit bayi sekiranya kulit bayi itu sensitif. Lebih malang lagi, ruam akan bertambah banyak dari hari ke hari dan akan menyebabkan penyakit pula.

“…Kalau sudah mula memakai sabun (pada bayi) dan ruam semakin banyak naik, jadi hentikanlah dahulu (penggunaannya) sebab kebarangkalian terjadinya septic spot itu adalah tinggi.”

Kredit: Rose Naz/Facebook

Selain itu, Rose turut mengingatkan agar ibu-ibu tidak memakaikan kain barut kepada bayi sehinggalah tali pusat bayi telah terputus. Hal ini kerana melalui pengalamannya, ramai ibu muda yang membarut bayi mereka walaupun bayi itu baru dilahirkan dan masih lagi mempunyai tali pusat. Perkara ini tidak bagus kerana darah dan nanah dari tali pusat bayi akan melekat pada kain barut dan sekiranya nasib tidak baik, tali pusat boleh tercabut ketika ibu membuka kain barut. Mengerikan!

Tambahan pula, cuaca di Malaysia yang lazimnya panas tidak sesuai untuk bayi berbarut kerana ia akan menyebabkan kulit bayi berkuap dan berpeluh seterusnya menyebabkan jangkitan kuman.

Katanya, kebanyakan ibu-ibu yang membarut bayi bimbang jika bayinya masuk angin, namun, hal ini tidak akan terjadi sekiranya teknik penyusuan yang betul diberikan pada bayi— bukannya disebabkan oleh bayi yang tidak dibarut.

Kredit: Rose Naz/Facebook

Kredit: Rose Naz/Facebook

Menerusi kirimannya juga, dia memberitahu ibu-ibu agar tidak terlalu ghairah ‘menempek’ bedak bayi pada kulit bayi kerana lazimnya bedak terkandung bahan seperti mica, paraben dan lain-lain lagi. Segala bahan ini boleh menyebabkan jangkitan pada kulit bayi. Apabila bayi sudah berumur sebulan dan keatas, barulah bayi itu boleh dipakaikan bedak sebegitu.

Kulit bayi adalah sesuatu yang sangat sensitif. Malahan, minyak telon juga dikatakan tidak semua jenama sesuai dengan kulit bayi. Ibu bapa perlu bijak memilih produk yang sesuai dengan kulit bayi.

Kredit: Rose Naz/Facebook

Sebaiknya, bayi boleh menggunakan produk-produk sebegini selepas 16 hari dari hari kelahiran atau lebih baik, sebulan. Ketahanan bayi adalah berbeza antara satu sama lain. Tidak semestinya produk yang tahan pada kulit bayi pertama akan turut sama tahan pada bayi yang seterusnya, begitulah analoginya.

Jika terdapat kesan-kesan permulaan ruam pada kulit bayi, segeralah berhenti menggunakan sabun atau lain-lain produk. Lazimnya masa yang diambil untuk pulih adalah beberapa hari sahaja.

Gambar-gambar yang dikongsi oleh Rose yang disertakan dalam entri ini adalah kesan dari penggunaan sabun, bedak bayi dan minyak telon yang tidak sesuai pada kulit bayi.

Diharapkan agar semua ibu bapa membuka mata tentang hal ini, jika tidak bernasib baik, septic spot yang dijangkiti oleh bayi anda juga boleh berjangkit pada anda.

Kredit: Rose Naz/Facebook

Anda pasti tidak mahu perkara yang sama berlaku pada bayi kesayangan anda, bukan? Lebih baik kita ambil langkah berhati-hati daripada menyesal di kemudian hari!

Era Baru

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular

Ad will display in 09 seconds